Cerpen: Sakti Itu Di Hujung Jari
Ada orang bertanya, macam mana saya boleh rasa nak gigih untuk menulis blog.
Sebenarnya, antara cerita yang menginspirasikan saya adalah, kisah seorang Homeless yang menulis blog, dan akhirnya ditemui oleh sebuah syarikat penerbitan, dan kemudiannya orang itu kini sudah mempunyai banglo.
Saya di dalam hati ketika itu berkata, mengapa benda itu tidak mampu terjadi kepada aku?
Jawapan: Sebab aku tak berusaha keras macam Homeless itu, mungkin.
Hari ini, saya teringat semula hari-hari saya terkesan dengan cerita Homeless itu.
Maka saya buat cerpen ini.
Semoga bermakna.
Enjoy!
Cerpen: Sakti itu Di Hujung Jari.
Matahari memanah. Terasa keterikan makhluk gergasi itu menyimbah pada wajahnya. Terpisat-pisat dia membuka mata.
“Urgh…” Hari baru. Dan dia benci hari baru.
Perlahan-lahan dia menolak tubuh untuk duduk. Bersila sambil menggaru-garu leher. Memandang keliling ‘rumah’nya. Terbina daripada beberapa kotak kadbod yang kalau ditiup angin kuat, akan runtuh. Dia tidur di sini saban hari bertilamkan beberapa kain terbuang yang dikutipnya semula.
Perutnya berkeroncong. Dia mengusap bahagian jasad yang menginginkan sesuatu untuk diisi itu. “Hem, kalau bukan sebab kau, aku tak akan keluar punya.”
Perlahan-lahan dia mengambil satu tin besi, dan keluar dari ‘rumah’nya itu.
“Sufyan, baru bangun?” Satu suara menyapa dari arah belakang, membuatkan langkahnya terganggu. Segera dia menoleh.
Kelihatan seorang lelaki tua, berkulit gelap, kurus kering, berpakaian lusuh lagi kotor dengan rambut panjang tidak terurus, sedang tersenyum kepadanya. Dia tersengih sahaja. “Macam itulah Pak Rama.”
“Bagus-bagus, orang muda memang patut rajin. Nanti kalau ada lebihan, jangan lupa dikongsi.” Pak Rama tertawa senang.
Dia hanya mampu tersengih kelat. Ini namanya apa? Pengemis mengemis pengemis? Tak boleh buat kawan betul Pak Rama ni. Dia menggeleng. Terus bergerak keluar dari lorong kotor tersebut.
Ya, dia adalah seorang pengemis, yang tidak punya rumah, juga tidak mengetahui siapakah keluarganya yang sebenar, dan saban hari kehidupannya diisi dengan cabaran dan dugaan untuk meneruskan hayatnya.
Dia sudah tidak lagi mampu menghidu bau busuk. Dia juga betah untuk berlapar selama empat-lima hari. Dia tidak lagi peduli sama ada makanan yang diperolehi bersih atau kotor. Dia juga biasa dengan pakaian carik-carik, dan rambutnya yang berserabut.
Dia pengemis. Sampah masyarakat.
Tetapi ada satu nyalaan di dalam hatinya. Dia ingin berubah.
Persoalannya, bagaimana?
*****
“Bang, duit bang. Bantu saya, saya dah lama tak makan.” Tetapi lelaki bersut itu tidak mempedulikannya. Sekadar berlalu begitu sahaja.
“Kak, bantu saya kak. RM1 pun jadilah.” Tetapi perempuan berlengan panjang berambut tocang itu juga tidak mempedulikannya.
Dia tidak betah duduk begitu sahaja. Matahari sudah mula menggelincir, sedang dia masih tidak mempunyai apa-apa untuk mengisi perutnya. Dia bergerak ke restoran berdekatan. Ramai orang di situ.
Di sapanya meja pertama, dia tidak diendahkan. Disapa meja kedua, dia dihalau. Disapa meja ketiga, dia ditengking.
“Hoi, kau ni buat aku hilang selera makan lah!”
Dan sebagaimana yang dijangka, dia didekati oleh beberapa pekerja di restoran. “Hei, jangan masuk restoran ini lagi. Kau menganggu perniagaan kami!”
Tetapi dia perlu berjuang juga untuk kehidupannya. “Bang, kesianlah dengan saya. Saya dah lama tak makan. Berilah saya sedikit makanan. Sesuap nasi pun tak mengapa.”
“Ah!” Seorang pekerja lelaki menolaknya dengan kuat. Tubuhnya yang kurus kering itu terus jatuh tersungkur. Seluruh isi kedai melihatnya. Tetapi tiada wajah kasihan. Semuanya bersama muka kurang senang dengan dirinya.
“Keluar!” Seorang lagi pekerja lelaki meninggikan suara. Tangan pekerja itu menunjuk ke arah jalan besar.
Dia perlahan-lahan bangun. Kemudiannya selangkah demi selangkah, sambil memegang perut, keluar dari kawasan restoran tersebut. Dia perlu mencuba nasib di tempat lain pula nampaknya.
“Ehem.” Kedengaran bunyi deheman dari arah berlawanan. Perlahan-lahan dia menoleh. Kelihatan seorang lelaki dengan rambut tersisir kemas, berkaca mata hitam, berkot dan berseluar kemeja hitam, dan berkasut hitam berkilat. Yang cerah pada lelaki ini hanyalah kulitnya, dan baju kemeja putih yang dilindungi kot.
Ini nak apa pula? Nak menghina aku? Tetapi ayat itu tidak keluar. “Bantu saya bang.” Ayat itu yang keluar, bersama nada hina dan wajah memohon belas.
“Mari.” Lelaki itu mengajaknya. Berpaling dan bergerak ke arah kedai tempat dia dihalau tadi.
Begitu sahaja? Ah, pedulilah! Dia rasa gembira, terus bergerak membuntuti lelaki tersebut. Namun sebaik sahaja dia kembali ke restoran tersebut, dia disambut dengan wajah-wajah yang kurang menyenanginya.
“Tidak mengapa, dia bersama saya. Saya bayar makanannya. Berikan dia apa yang dia mahu.” Lelaki itu bersuara.
Dia membesarkan mata. Tidak percaya. Pemurahnya lelaki ini!
“Saya mahu Nasi Ayam Goreng, dan air Jus Tembikai!” Dia pantas menjerit. Peluang ini tidak boleh dilepaskan.
Salah seorang pekerja di kedai tersebut mencatit, dan terus pergi.
“Mari duduk. Siapa nama kamu?” Lelaki itu mempersilakan.
“Nama aku Sufyan. Siapa nama tuan yang pemurah ini?” Dia teruja untuk mengetahuinya.
Lelaki itu tersenyum. Perlahan-lahan kaca mata hitam itu diturunkan. Terserlah wajah lelaki itu yang bersih. “Nama saya Salman Ainuddin.”
“Aaah.” Dia tidak kenal pun. Tetapi jauh di dalam hatinya, dia rasa lelaki ini seperti malaikat penyelamat buatnya. “Terima kasih tuan. Saya amat-amat berterima kasih.”
Salman menggeleng. “Rezeki itu daripada Allah. Kalau bukan Allah SWT yang memberikan rezekiNya kepada saya, pastinya saya tidak mampu memberikan apa-apa kepada kamu, Sufyan.”
Sufyan tersenyum bersama keluhan. Allah. Entah sudah berapa lama dia tidak menyebut nama itu. Entah sudah berapa lama dia tidak lagi menyembah Tuhan itu.
“Nasi Goreng Ayam dan Jus Tembikai.” Pesanannya sampai. Tanpa menunggu lama, Sufyan terus makan dengan lahap. Tanpa segan silu dengan Salman di hadapannya.
“Sufyan.” Suara Salman perlahan kedengaran di tengah kerakusannya menjamah makanan.
“Ya?” Dia acuh tidak acuh.
“Aku ingin bertanya, selepas makanan ini, apa yang akan kamu lakukan?”
Dan pergerakannya terhenti. Perlahan-lahan wajahnya diangkat. Butir-butir nasi yang masih melekat pada bibir, tidak dihiraukan. Dia seperti tersentak dengan soalan itu. Ya, selepas makanan ini, selepas ini, apa yang dia akan lakukan? Dia tahu akan jawapannya. Jawapan itulah yang membuatkan dia tersentak.
Mengemis lagi. Itu jawapannya.
Dia memandang mata Salman. Dia yakin Salman tahu akan jawapannya. Tetapi nyata mata itu bukan mata mengejek. Itu mata memberikan harapan.
“Tidakkah kamu merasakan, ada sesuatu yang perlu diubah pada diri kamu?”
Sufyan menunduk. Mengangguk.
“Tetapi aku tidak tahu bagaimana hendak berubah. Aku sudah menjadi pengemis semenjak lari dari rumah semasa tingkatan empat. Sekarang sudah berapa tahun? 10? Aku seakan-akan telah tersekat di dalam kehidupan ini. Aku hanya mampu mengharapkan keajaiban sahaja. Mungkin akan ada satu hari nanti, orang seperti kamu yang memberikan aku wang yang banyak.”
Dia melihat Salman sekadar tersenyum mendengar jawapannya.
“Dan selepas kamu mendapat duit yang banyak, dengan keadaan diri kamu yang sekarang, agak-agak apa yang akan terjadi dengan duit itu?” Salman menyoal. Dan soalan itu sekali lagi membuatkan jiwanya terentap.
Dalam keadaan dirinya sekarang, segunung wang pun, akan habis begitu sahaja. Dan dia akan kembali mengemis semula. Dia adalah seorang yang tidak pandai menguruskan wang. Pernah satu hari dia mendapat RM100 daripada pemberian orang, tetapi RM100 itu dihabiskan dalam satu malam sahaja.
Matanya dan mata Salman kembali bertaut.
“Kamu tahu Sufyan. Sakti itu di hujung jari manusia.” Salman berbicara tenang.
Dia tidak faham. Sakti itu di hujung jari manusia? Boleh keluar duit ke?
Salman kelihatannya mengerti ketidak fahamannya. “Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu berusaha mengubah dahulu apa yang ada di dalam diri mereka. Surah Ar-Ra’d ayat 11. Ini bermaksud, di hujung tangan manusia, ada kesaktian untuk mengubah kehidupannya. Keajaiban itu, hanya berlaku sekiranya manusia menggerakkan usaha.”
“Jadi? Apa yang mesti aku lakukan? Usaha apa?”
Dia melihat senyuman Salman melebar. “Kau reti menaip dengan komputer?”
“Pandai.” Sekurang-kurangnya dia masih ingat.
“Bagus. Aku akan ajar kau berblog.”
Blog? Apa itu blog? “Blog itu apa? Surat ke?” Dia tidak mengerti.
“Blog ini, lebih kurang macam diari. Tetapi di dalam internet. Jadi, kau taip kisah kehidupan kau setiap hari di dalam internet.”
Dia mengerutkan dahi. “Apa gunanya?” Dia tidak nampak maknanya.
“Itu adalah usaha. Moga-moga dengan itu, kehidupan kamu berubah.”
“Aku tak ada duit. Macam mana aku hendak ada komputer, internet dan sebagainya?”
Salman tertawa. “Aku akan berikan kamu duit. RM2 setiap hari untuk kau berblog di Cyber Cafe setiap hari.”
“Baik kau bagi aku duit terus untuk hidup. Buat apa suruh aku berblog?”
—————————————————-
Versi penuh cerpen ini hanya boleh anda ikuti dengan membeli Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta.

imrankhairman
Assalamualaikum…
perkongsian cerita yang amat menarik. Banyak manfaatnya saya dapat dari sini. Terima kasih atas nukilan karya ini
nurshanis
Assalamualaikum….Alhamdulillah…menarik…
alia_amalina94
Assalamualaikum. Saya tersentuh dengan cerita akhi di atas. “Sungguh, Sakti itu di hujung jari manusia. Keajaiban tidak akan datang bergolek daripada Allah SWT, tanpa manusia itu berusaha.”
naimulfirdaus
kena ziarah hampir 300 blog sehari rupanya untuk promosi kepada orang lain..
terima kasih.
nurhamiza
subhanallah..cerpen yg penuh dgn informasi, tentang kehidupan, tentang kita.
syukran ya akhi.
teruskan menulis
Ariffah9
subhanallah.
bagaimana perancangan Allah atas hamba-Nya, scara tidak disangka2.
Husna Sani
salam.
the second round reading this story.
kadang-kadang orang-orang hebat/luar biasa itu sebenarnya mempunyai sejarah kehidupan yang hampir sama jalan kisahnya dan tarafnya dengan orang-orang biasa.
yang berbezanya, mereka berusaha n berjuang menjadi luar biasa.
andai ini kisah benar, semoga Allah sentiasa memelihara Sufyan, Salman n Qayyim dan semoga masih ada manusia-manusia seperti ini di zaman penuh fitnah n dusta.
wallahu’alam
nur az-zahara
salamalaik,perkongsian yang sangat menarik dan menyentuh hati sekaligus memberi inspirasi kpd saya untuk terus memperjuangkan diri dalam bidang penulisan yang telah sekian lama terkubur.Sungguh..!Insyaallah..
dba
bestnya2!…..
thumbs up!…..subhanallah….Allah pasti bantu…pasti!
hazarulhisham
Termotivasi membaca ini
Kak Ana
Alhamdulillah di atas perkongsian cerita yang sungguh menarik. Semoga ianya memberikan manafaat kepada semua yang membacanya.
mujahidahannisa
nampak perkara tu biasa tapi boleh dijadikan tauladan kpd org lain..
nurhamiza
sakti itu di hujung jari.
semuanya bermula dari dalam diri
cahayaMu
salam.. macam mana nak beli kumpulan simfoni cinta ne?