Motivasi: Daripada kegagalan kita belajar.
Ramai orang takut untuk silap. Silap dan salah kadangkala dipandang sebagai sesuatu yang amat negatif dalam kehidupan insan. Ya, kalau kita lihat secara sekali lalu – silap dan salah – sememangnya adalah negatif.
Tetapi sebagai manusia, kita tak akan mampu mengelak diri daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tidak kira sehebat mana pun kita mempersiapkan diri, akan wujud juga keadaan-keadaan di mana kita melakukan kesilapan.
Ramai orang fobia dengan kesalahan dan kesilapan. Kerana mereka takut, ada celoreng hitam dalam perjalanan kehidupan mereka. Namun sebenarnya, kegagalan, kesilapan, kesalahan bukanlah sesuatu yang negatif 100%.
Kita patut memandang kegagalan, kesilapan dan kesalahan itu daripada luar kotak kebiasaan.
Kita ingat kita dah faham
Kadangkala, kita bersedia hingga sampai tahap kita merasakan bahawa kita telah faham atau merasakan bahawa kita telah mampu melakukan terhadap sesuatu perkara.
Untuk soalan periksa kita rasa kita sudah boleh jawab semua jenis soalan. Untuk tugasan kerja kita rasa kita mampu melakukan apa sahaja yang mendatang.
Namun tiba-tiba, kita melakukan kesilapan. Apa yang kita faham rupanya tidak tepat. Apa yang kita siap sediakan rupanya tidak kena dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan. Kita telah tersalah. Kita gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Kita gagal dalam melakukan kerja yang terbaik.
Di sini kalau keimanan itu wujud bersama kita, pertama sekali kita akan pulang bersangka baik kepada Allah SWT.
“Mustahil Allah nak zalim pada aku.”
Hal ini kerana, jelas wujud di dalam Hadith yang ke-24, dalam Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi Rahimahullah: Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim.
Maka kita akan melihat semula kesilapan kita itu.
“Kenapa aku silap? Di mana aku silap? Macam mana aku boleh tersilap.”
Dan ketahuilah, apabila kita muhasabah semula, kita akan mendapat satu perkara baru. Pengajaran baru. Yang mana sekiranya Allah izin kita tidak silap dalam kesilapan kita tadi, kita tidak akan mempelajari pengajaran tersebut. Kita tidak akan mengetahuinya. Namun dengan kasih sayang Allah SWT, dengan hikmahNya yang tersangat luas, Allah ingin kita melihat sesuatu. Sebab itu disilapkan kita.
Tidakkah kita memerhatikan?
Keberanian mengambil risiko
Apabila mempunyai rasa tidak takut untuk melakukan kesilapan, tidak takut untuk gagal, maka kita akan mempunyai kekuatan untuk mengambil risiko. Semestinya mengambil risiko sekiranya boleh, kita patut elakkan. Namun akan wujud situasi-situasi di mana, walaupun selepas perkiraan yang rapi, tetap wujud risiko yang menanti. Maka di situlah ketidak takutan untuk melakukan kesilapan tadi memberikan kekuatan untuk mengecas keberanian kita dalam mengambil risiko tadi.
Hal ini kerana, kita yakin bahawa, sekiranya kita tersilap, kita akan mempelajari sesuatu yang baru lagi.
Membaca kehidupan, kadangkala 1000 kali lebih bermakna dari membaca buku
Akhirnya apabila mendalami perkara ini, yakni belajar daripada kesilapan ini, kita akan melihat bahawa kesilapan, kegagalan, kesalahan, itu semua adalah pelengkap kepada kehidupan. Orang yang memerhatikan kesilapannya semula, kegagalannya semula, akan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi, kepekaan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak pernah peduli akan kegagalan mereka.
Inilah dia apa yang suka saya katakan sebagai ‘membaca kehidupan’. Bukan sekadar bergantung kepada teori-teori di dalam buku semata-mata. Namun melihat juga apa yang telah kita lalui di dalam kehidupan kita.
Belajar daripada kesilapan, belajar daripada kegagalan, itu semua banyak membantu untuk membina satu peribadi yang lebih mantap.
Tidak semestinya perlu silap dahulu. =)
Ada orang akan berkata kepada saya:
“Kalau macam itu, kita tak payah susah-susah belajar. Biar gagal dulu. Lepas gagal baru belajar.”
Saya tersenyum dan tertawa. Beginilah, mudahnya saya katakan begini:
“Kalau ada orang yang dah pernah terjun dalam api, dan kemudian cakap api itu panas, bersama bukti yang kukuh menunjukkan kecelakaan yang boleh dibawa oleh penerjunan ke dalam api(ada kesan kulit terbakar pada tubuh dia dan sebagainya), agak-agak wujudkah keperluan untuk kita turun ke dalam api juga?”
Tidak semestinya kita perlu silap dahulu. Belajar daripada kesilapan orang lain juga adalah salah satu seni. Namun, apabila tiba masanya bila kita tidak lagi mempunyai pilihan melainkan berhadapan dengan risiko untuk melakukan kesilapan, maka jangan takut. Bersangka baiklah kepada Allah SWT, dan bergeraklah.
Kalau berjaya itu alhamdulillah. Kalau gagal itu, kita belajar lagi. Dan semestinya, bila kita gagal, kita akan nampak sesuatu yang selama ini rupanya kita tidak perasan, melainkan apabila kita gagal.
Kadang-kadang, kejayaan atas angin kita itu, tak punya makna.
Tahukah apa itu kejayaan atas angin? Itulah dia kejayaan palsu.
Contoh, kita berjaya di dalam peperiksaan bukan kerana kita pakar atau faham dalam mata pelajaran tersebut. Tetapi bernasib baik. Bernasib baik kerana sudah ada soalan bocor. Nasib baik kerana apa yang kita baru baca pada malam peperiksaan masuk. Nasib baik kerana, pensyarah tambahkan markah. Nasib baik kerana, kita sudah buat banyak latih tubi, dan jenis-jenis soalan tersebut masuk periksa.
Ini adalah kejayaan yang pada saya tak ada maknanya. Sebab kita sebenarnya tidak akan mampu memanfaatkan ilmu di dalam hal ini. Kita sebenarnya tidak pakar. Kita sebenarnya bodoh. Kita hanya bernasib baik. Berbelas A, atau segulung ijazah tidak bermakna sekiranya kita berjaya demikian.
Maka, dalam situasi ini, pada saya, kalau kita gagal, kalau kita tidak mendapat markah yang baik, kadangkala itu lebih baik. Moga-moga apabila kita gagal itu, kita tergerak untuk belajar lagi, melihat semula mengapa kita gagal. Di mana kita gagal. Agar kita belajar lebih banyak lagi. Faham dengan lebih baik lagi.
Sebab itu kadang-kadang, orang-orang yang bermarkah rendah lebih memahami mata pelajaran, atau pengkhususan dalam kos yang diambilnya. Kerana bila mereka mendapat markah yang rendah, mereka mengulangkaji semula. Belajar semula. Memahaminya semula. Berbanding mereka yang ‘bernasib baik’, cemerlang dan kemudian tidak melihat semula.
Penutup: Melihat kembali hikmah dalam kegagalan. Belajar dari kesilapan.
Pernah seorang pakcik berkata kepada saya, selepas saya kemalangan kenderaan.
“Memang begitulah. Nanti lepas ni, mesti lebih cekap bawa kereta.”
Saya tertawa. Tetapi memang betul. Selepas kemalangan itu, saya jadi lebih cekap. Lebih cermat. Lebih peka. Lebih sensitiv apabila memandu. Tidak leka dan lalai.
Belajar daripada kesilapan.
Tetapi apakah kita mesti ‘mengkemalangankan’ diri kita baru nak sedar?
Tidak semestinya. Kita boleh mula belajar daripada kemalangan orang lain dahulu. Namun begitulah, kadangkala kita dah belajar dah daripada kemalangan orang lain. Kita dah usaha dah untuk cermat. Kita rasa kita dah paling sensitiv dah. Namun, apabila Allah izin kita kemalangan juga, akan terbukalah pintu-pintu ‘kecacatan’ yang selama ini rupanya kita tidak lihat.
Maka daripada kemalangan itu kita belajar lagi. Menjadi yang lebih baik lagi. Lebih baik dari apa yang kita rasa selama ini kita telah baik.
Dan begitulah dalam hal-hal yang lain. Kegagalan, kesilapan, kesalahan, semua itu hakikatnya adalah pengajaran halus daripada Allah SWT. Daripada semua itu, kita belajar,mengambil iktibar. Menjadi yang lebih baik lagi.

naimulfirdaus
kadangkala kejayaan menempuhi kegagalan adalah lebih berharga daripada kejayaan yang awalnya.
Hilal Asyraf
benar. Sebab daripada kegagalan itu, ada pengajaran yang besar.
syeraho
saya pernah merasakan ‘gagal’ semasa trial spm. ‘gagal’ yg saya maksudkan bukan gagal dalam subjek tersebut, tetapi gagal menacapai sesuatu, di mana dalam kelas saya semuanya mengalami peningkatan kecuali saya. semua gembira dengan kenaikan markah mereka hasil daripada usaha mereka kecuali saya. memang sedih namun alhamdulillah saya bukan jenis yang mudah terbawa-bawa dengan kekecewaan.
kini saya tahu, ‘gagal’ saya ketika itu supaya tidak ‘gagal’ mencapai kejayaan yg cemerlang dalam spm. =)
sunmin
Teringat juga masa spm dulu dimana saya adalah pelajar yang lemah. Kekurangan ini dipandang negatif oleh guru-guru dan juga sebahagian rakan-rakan. seketika saya dipulaukan sehingga melalui zaman remaja sendirian. namun saya nekad dalam diri untuk melakukan yang terbaik dan buktikan pada diri sendiri yang saya juga mampu untuk berjaya macam mereka. akhirnya saya tergolong antara 10 pelajar yang mendapat markah tertinggi. percayalah, jika kita betul2 berazam untuk belajar dari kegagalan insyaAllah kita akan menemui kejayaan..
Hilal Asyraf
Alhamdulillah. Benar. Kalau kita tanamkan di dalam diri kita untuk belajar daripada kegagalan, kita akan bangkit lebih tinggi dari yang sebelumnya.
Hilal Asyraf
Itulah dia caranya Allah mendidik dan memberikan bantuanNya kepada kita.
Kadang-kadang kegagalan adalah tarbiyah halus daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
alin
Allahuakbar…
Hilal Asyraf
Subhanallah, walhamdulillah.
nurhamiza
Nah…inilah yang dikatakan ‘setiap yang terjadi ada hikmahnya’
tapi hikmah itu hanya untuk ‘orang yang melihat/berfikir’ sahaja.
Semoga kita semua diberi nikmatNYA untuk menjadi orang yg begitu.
Aminnnn.
Hilal Asyraf
Hikmah Allah itu luas dan besar. Kadangkala, yang berfikir juga tak melihat. =)
ummuzuliah
“membaca kehidupan” emm banyak maknanya…
Hilal Asyraf
Ya. Siapakah hari ini yang membaca kehidupan?
Sama-sama kita muhasabah.
Syazwani Samad
saya pernah mengalami kegagalan, namun saya belajar daripada kegagalan itu juga. walaupun adakala saya fobia juga dengan kegagalan namun saya sedar kita takkan lari dari mengalami kegagalan. tiap2 kejadian Allah jadikan pasti ada hikmahNya. Alhamdulillah, dengan kegagalan itulah yang menjadikan saya lebih kuat untuk meneruskan hari seterusnya.
Hilal Asyraf
Alhamdulillah. Sama-samalah kita belajar daripada kegagalan, menjadikan kita lebih kuat lagi dari yang sebelumnya.
waniey1303
allahuakbar…
saat saya mencari2 tntg masalah ini
akhirnya artikel ini membantu..
kata2 tntg peperiksaan tu btul2 kena pada diri saya..
dulu pernh memberi nasihat pada seseorg sama seperti di atas…
dan kali ni saya temuinya utk kekuatan diri..
syukran jazilan
alhamdulillah….
Hilal Asyraf
Alhamdulillah. Allah jugalah yang memberikan hidayah. Kita manusia hanya berusaha. Semoga Allah redha.
Syihabudin Ahmad
Pohon kebenaran untuk dipanjangkan artikel ini dalam salah satu Risalah bulanan Unit Biah Solehah PMRAM , Cawangan Dumyat, Mesir. ~perlu kebenaran segera,untuk artikel bulan JUN 2011. wallahualam.
Hilal Asyraf
Sila-sila. Memang di Langit Ilahi ini, semua artikelnya dibenarkan copy, walau tanpa izin. Cuma perlu dinyatakan sahaja artikel itu daripada kami.
Lutfi
jazakallah khair…
Hilal Asyraf
Afwan. ^^
miSs LiLaC
jzzk akhi ats prkongsian. mmberi smgat sblum final exam. i’Allah, bersgka baik dgan Allah.
Hilal Asyraf
Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.
adysuR
Ya. Belajar bukan hanya dari buku tetapi dari kehidupan di sekeliling juga.
Hilal Asyraf
Semestinya adysuR.
nymoz
jzkk ~! =)
Hilal Asyraf
May Allah bless.
wardatul insyirah
daripada kegagalan kita belajar.smoga saat ni kegagalan untuk membina hati akan membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka….=)
Hilal Asyraf
InsyaAllah amiiin. ^^
tiha
Salam
Baru sahaja melawati website ini selepas mengenali penulis melalui solat terawih di Masjid Sultan Ismail, UTM dan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh salah seorang rakyat palestin dan terjemahan daripada Hilal Asyraf sendiri(betolkan sekiranya salah: tarikh 9/8/2011). Mungkin pertemuan ke website ini telah ditentukan Allah dalam usaha menempuh kehidupan dunia n kebahgiaan akhirat. Di sini, terima kasih diucapkan ,moga sama2 dapat diamalkan ilmu ini amin…
nur zulaikha
kegagalan di tempatkan di dlm IPTA..Ada hikmahnya yg Allah ingin berikan dan ujian buat sy utk berdiri lebih teguh…
tibb
kegagalan dlm satu paper menyebabkan terpaksa ulang tahun,namun saya masih berharap keputusan dpt berubah..andai kata tidak,saya redha:)..perkongsian menarik dan bermanfaat..semoga hati2 insan tenang dgn ujian Allah
puteri nazifah
Salam…syukran atas perkongsian..:)