Sabtu, 25 Mei 2013   |   15 Rejab 1434H   |   14 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Karya » Novel » Hero » Novel: Hero ~ 13 ~ Jauh Di Pangkal Hati

About The Author


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

Number of Entries : 427

Novel: Hero ~ 13 ~ Jauh Di Pangkal Hati

Cover Novel Hero. Harga: RM20.00. Keluaran: Galeri Ilmu Sdn Bhd.

~13~

-Jauh di pangkal hati-

Afam memandang  ke bawah. Kotaraya Angsana mula bergelap apabila mendekati tengah malam. Namun bangunan-bangunan gergasi masih mengekalkan cahaya mereka menyebabkan Kotaraya Angsana tetap indah dipandang dari atas menara tempat Hero berada. Afam duduk di atas sfera yang terdapat di atas menara ini. Sfera itu seakan-akan antena gergasi untuk menara ini. Menara tertinggi merangkap tertinggi di Asia ketika ini. Menara Keimanan namanya, atau lebih dikenali dunia sebagai The Tower of Imaan. Dibina semasa Kotaraya Angsana di dalam pembinaan sebagai tamparan kepada seluruh dunia, menyatakan bahawa negara Islam, orang-orang Islam sedang bangkit mencapai kejayaan.

Itulah yang Afam tahu berkenaan pembinaan menara ini. Mana tidaknya, semasa dia di Amerika Syarikat, berita berkenaan Kotaraya Angsana dan menara ini kecoh di sana. Hingga ada pihak ekstremis yang menyebarkan propaganda menyatakan ketakutan mereka bahawa bandar ini bakal melahirkan teroris-teroris yang menganggu keamanan dunia. Lebih-lebih lagi, apabila umum mengetahui Elemen Baru menjadi asas pada perjalanan Kotaraya Angsana.

Menara ini terkenal sebagai pusat Kotaraya Angsana, dan Pusat Penyelidikan Elemen Baru bawah seliaan syarikat ayahnya, Syarikat Amir&Co terdapat di bahagian bawah tanah bangunan ini. Menara Keimanan ini menjadi antara tempat terhangat sebagai kunjungan orang ramai dan pelancong. Seni binanya yang amat hebat, hampir sahaja membuatkan pakar-pakar senibina dari luar negara histeria. Ditambah pula teknologi yang diperolehi daripada Elemen Baru, menyebabkan Menara Keimanan menjadi antara kawasan perlancongan termoden di dunia setakat ini.

Dan Afam tidak mengerti mengapa pada hari ini, dia ingin meluangkan masa untuk berada di atas menara ini. Menara yang setiap kali dilihat, disebut, akan membawanya kembali mengenang Ayahnya. Angin sangat kuat di tempat tertinggi di atas menara tidak membuatkannya rasa ingin berubah tempat. Entah mengapa, dia hendak berada di sini. Pada ketika ini.

Skrin di dalam helmet Hero menunjukkan jam.

11.59 minit, 57 saat.

58 saat.

59 saat.

12.00 malam. Hari baru. Dan hari…

Wajah Pak Arbi muncul pada skrin. Wajah lelaki lebih separuh abad itu manis dengan senyuman. Afam sekadar tersengih. Tahu apa yang hendak diucapkan lelaki itu.

“Selamat hari lahir, Amir Faheem bin Amir Muiz. Semoga menjadi hamba Allah yang soleh, dan membesar dalam keimanan. Semoga umur ini dipanjangkan untuk menjadi lebih taat kepada Allah. Ini doa Pak Arbi dan Mr Umayer. Dia pun ada di sini.” Pak Arbi bersuara.

Afam tersenyum. “Pak Arbi dan Mr Umayer tak berputus asakah? Setiap tahun ucap benda itu. Saya solat pun tak.”

Pak Arbi menggeleng. “Tak akan sesekali berputus asa. InsyaAllah, Pak Arbi yakin, satu hari nanti Afam akan menjadi hambaNya yang baik.”

“Bukti?”

“Sekurang-kurangnya Afam sedang mempertahankan, apa yang dipertahankan oleh orang yang berusaha menaikkan agamaNya dan berusaha menjatuhkan orang yang cuba menghalang kerja-kerja mereka.”

“Kotaraya Angsana, dan Syaitan Bertopeng?”

Pak Arbi mengangguk.

“Apa-apalah Pak Arbi.” Afam malas hendak memanjang bicara dengan Pak Arbi. Lebih-lebih lagi pada hari lahirnya. Hari ini, umurnya menjejak 24 tahun. Sedar tidak sedar juga, sudah lima bulan dia berkahwin dengan Husna.

Husna. Entah perempuan itu tahu atau tidak akan tarikh lahirnya. Tiba-tiba merasakan bahawa dia inginkan isterinya itu memberikan ucapan hari lahir kepadanya. Afam terasa aneh. Apa perasaan ini?

“Ha, kamu inginkan hadiah apa tahun ini?” Pak Arbi bertanya ceria.

“Hem, menarik. Saya rasa, saya sudah dapat semua benda. Kalau tak pun, semua benda saya boleh beli. Jadi, saya hanya nak Pak Arbi buat satu perkara sahaja.”

“Apa dia?” Pak Arbi terus dengan senyuman.

“Pak Arbi, apa kata Pak Arbi cerita pada saya sejarah Pak Arbi dan Mr Umayer? Saya tidak pernah tahu sejarah Pak Arbi dan Mr Umayer. Ayah dan Ibu pun tidak pernah cerita. Sebenarnya, macam mana Pak Arbi dan Mr Umayer boleh jadi kawan baik Ayah? Yang 10 orang jutawan itu bolehlah saya nampak kaitannya. Kawan baik Ayah semenjak remaja. Pak Arbi dan Mr Umayer? Sampai boleh setia dengan Ayah sebegini rupa. Apa ceritanya?” Panjang Afam membuat permintaan dengan menimbulkan persoalan-persoalan.

Suara Pak Arbi seakan lenyap. Sunyi mengisi senggang. Lama. Deru angin sunyi.

“Pak Arbi?” Afam kehairanan. Mengapa tiba-tiba diam? Sedangkan sedang rancak berbual.

“Ah, ada panggilan untuk kamu Afam.” Tiba-tiba Pak Arbi bersuara.

Afam dapat melihat pada skrin, nombor yang naik. Bukan nombor dia. Afam mengeluh di dalam hati. Eh, kenapa aku mengeluh? Afam tersenyum kelat sambil menggeleng. Panggilan itu diangkat.

“Assalamu’alaikum, Selamat Hari Lahir Afam.” Suara Makcik Amirah Maisarah kedengaran.

“Terima kasih makcik.”

“Di mana tu?”

Afam menoleh kiri dan kanan. Pastinya dia tidak akan menjawab di atas Menara Keimanan. “Em, luar.”

“Kamu ni Afam…”

Sengih Afam muncul semula. Dia tahu apa yang Makcik Amirah fikirkan. Pastinya dia disangka sedang berfoya-foya di mana-mana kelab malam. Sebenarnya, tiada yang tahu bahawa dia telah berhenti ke tempat sedemikian semenjak dia menyarung sut Hero. Tiada masa. Dia terpaksa mengorbankan itu untuk menjatuhkan apa yang dibencinya. Syaitan Bertopeng dan orang-orang yang korup.

“Makcik, janganlah risau. Benda-benda haram itu saya tak sentuh. Tak berzina, tak minum arak. Janji.”

“Pegang perempuan bukan mahram, berjoget dengan mereka, hisap rokok, semua itu haram juga, sayang.” Lembut Makcik Amirah bersuara. “Lebih-lebih lagi, kamu sudah beristeri. Tidak kesiankah pada Husna?” Suara itu seakan kecewa.

Hati Afam rasa pedih. Husna lagi. Sebentar, mengapa dia perlu rasa seperti bersalah? Dahulu, dia tidak rasa apa-apa pun sekiranya Makcik Amirahnya meluahkan perasaan sedemikian.

Ah, hati aku pun sudah kelam kelibut.

“Makcik, saya memang macam ini. Bukannya boleh buat apa dah.”

“InsyaAllah Afam, makcik doakan Allah bimbing kamu, dan mempermudahkan jalan kamu untuk rapat denganNya.”

Afam ketawa.

“La, apa yang lawaknya?” Suara Makcik Amirah seperti kehairanan.

“Pak Arbi pun baru sebut benda yang sama. Makcik Amirah, kahwin sahajalah dengan Pak Arbi tu. Dua-dua pun solo.” Afam ketawa lebih galak.

“Hish, kamu ni. Ke situ pula. Ha, sudahlah. Lewat malam dah ni. Sengaja makcik berjaga, nak ucap selamat hari lahir pada kamu.”

“Terima kasih makcik.”

Talian diputuskan.

“Afam,” Suara Pak Arbi muncul bersama wajahnya yang kelihatan tegas. Tawa Afam muncul lagi. Seronok menyakat Pak Arbi dan makciknya. Dengan Pak Arbi, dia dapat melihat wajah lelaki itu memandangkan Pak Arbi berhubungan dengannya menggunakan skrin besar di ruang bawah tanah, mempunyai kamera yang memang bersambung terus dengan alat telekomunikasinya di sini.

Ketika ini, satu mesej muncul di skrin Afam. Mesej menyatakan bahawa ada satu mesej pesanan ringkas baru masuk ke kantung mesej. “Wah, hebat alat telekomunikasi ciptaan Mr Umayer ni. Mesej yang masuk dalamtelefon bimbit kita pun boleh muncul dalam skrin ni.” Afam memberikan arahan untuk membuka bahagian ‘inbox’.

“Mr Umayer, Afam. Genius.”

“Saya buat-buat tidak dengar!” Kedengaran suara Mr Umayer sayup-sayup.

Dan bicara mereka berdua itu tidak didengari Afam yang seakan telah terserap ke dunia lain apabila membaca mesej yang baru diterimanya.

“Kepada suamiku, Amir Faheem bin Amir Muiz. Selamat hari lahir. Semoga Allah mengangkat semua masalah awak, mempermudahkan semua urusan awak, dan menggolongkan awak dalam kalangan yang diredhaiNya. Amiin – isterimu, Husna.”

Mata Afam mengerdip beberapa kali. Hatinya seakan dibasahi air.

Terkesan. Mesej itu dibaca berulang kali.

“Afam?” Suara Pak Arbi memanggilnya buat entah kali ke berapa, baru berjaya menariknya kembali ke alam realiti. “Ya Pak Arbi?”

“Ada masalah.” Afam menggantikan mesej tadi dengan skrin analisa. Beberapa pergerakan aneh berjaya dikesan. “Mereka kelihatan sedang berusaha menarik perhatian kamu dengan hendak meletupkan beberapa buahy bangunan.”

“Apa kata ada orang ajar mereka supaya menjerit: Hei Hero, keluarlah! berbanding mereka buat benda yang bukan-bukan. Hu, paling kurang masa hari lahir saya, janganlah ada orang buat jenayah! Apalah.” Afam menggaru helmetnya yang memang sudah pasti tidak gatal.

“Mana ada penjenayah yang tahu hari lahir kamu.”

“Ya, ya.” Afam berdiri di atas sfera itu. Mendepangkan dua belah tangannya. Dan perlahan-lahan menjatuhkan dirinya.

Memecut laju membelah udara. Mengejar penjenayah yang mencalar malam ini.

Sementara mesej Husna bermain-main di dalam hatinya.

- isterimu, Husna.

Hatinya terkesan. Terasa tumpah segala cinta dan kasih sayang perempuan itu kepada dirinya. Dia boleh memahami kasih sayang Pak Arbi kepadanya kerana lelaki itu menjaganya semenjak kecil. Dia boleh memahami kasih sayang Makcik Amirah kepadanya, kerana perempuan itu adalah adik kandung bapanya, menjadikan dia makcik kepadanya. Afam pula tidak pernah kurang ajar dengan mereka berdua dan amat mengasihi mereka.

Tetapi Husna. Dia selama ini suka menyindirnya, memerlinya, menyakatnya, memperlekehkannya. Dia tidak pernah melayan Husna sebagai isteri. Hak yang dipenuhi kepada Husna hanyalah memberikannya wang, makan minum, tempat tinggal. Itu sahaja. Tubuh perempuan itu tidak pernah disentuh. Kasih sayang tidak pernah diberi. Cinta tidak pernah diungkap. Hatta berbaik dengan perempuan itu pun tidak pernah diusahakan. Atau lebih benarnya, dia tidak pernah ambil peduli.

Namun perempuan itu kekal tabah di sisinya. Sering mengingatkannya. Tidak jemu menegurnya. Dan tidak pernah henti menunjukkan kasih sayang kepadanya.

Itulah yang membuatkan jiwanya kebelakangan ini merasakan bahawa, dia perlu kepada semua itu.

Ketika dia teringat akan perkahwinannya dengan Husna. Satu nama muncul.

Ayah.

*****

“Sampai bila agaknya kita perlu sembunyikan hal kita daripada Afam?” Pak Arbi bersuara.

Mr Umayer yang sedang sibuk mengkaji pergerakan Akama dan Syaitan Bertopeng mengangkat wajahnya seakan tidak memahami. Dia bukannya tidak mendengar soalan Afam tadi.

“Dia sudah 24 tahun, Umayer.” Pak Arbi menyuarakan rasa bersalahnya.

“Pak Arbi, saya kira, kalau dia tahu, dia akan sukar menerima hakikatnya. Mungkin kita akan dipersalahkan.”

“Jadi sampai bila?” Pak Arbi bertanya dengan perhatiannya sudah digalihkan semula kepada Afam di skrin besar. Hero sedang bertempur dengan lima penjenayah sekaligus. Nampak sengit.

“Sampai dia boleh terima dahulu apa yang Datuk Amir Muiz cuba berikan padanya.”

“Islam? Itu tersangat besar. Dan kita tidak tahu bila dia mampu menyerap semua itu.”

“Jika begitu, kita sekadar tunggu penyusunan Allah.” Mr Umayer menghela nafas. Jawapannya membuatkan Pak Arbi menoleh kepadanya semula. Jawapan itu tidak dijangka oleh Pak Arbi daripada seorang genius seperti Mr Umayer.

“Mengapa?” Mata Mr Umayer dan mata Pak Arbi bertemu. “Hidayah adalah milik Allah, Pak Arbi. Yang boleh menerima orang macam kita, adalah orang yang tidak terikat dengan dunia. Seperti Datuk Amir Muiz, seperti Prof Abdullah, Tengku Muhammad, Datuk Johari, dan mereka yang telah pergi itu.”

“Kamu tidak percaya kepada Afam?”

“Saya hanya tidak percaya, Afam yang kita kenal ini mampu menerima hakikat keadaan kita.”

Pak Arbi menghela nafas panjang. Memandang semula skrin. Hero sedang melancarkan lasernya pada dua musuh yang cuba menyerbunya dari hadapan. Salah satu musuh cuba menyelinap dari belakang dan menebarkan jaring. Kelihatan jaring itu bukan jaring biasa. Analisa pada skrin terus menunjukkan bahawa jaring itu diperbuat dari titanium. Namun belum sempat jaring itu memerangkap Hero, Hero telah membuka mantelnya seluas-luas menyebabkan jaring itu tidak mampu menyelimut penuh tubuh Hero.

“Dia sudah semakin cekap dengan sut itu.” Pak Arbi bersuara perlahan.

“Kita tidak akan mampu menyarung sut itu, dan bergerak selincahnya.” Mr Umayer meleret senyuman. Daripada data-data yang sedang terapung, kertas-kertas nota yang berselerak di atas meja bulat itu, dia menggalihkan perhatiannya kepada skrin besar.

Kelima-lima penjenayah telah tumbang. Hero sedang menghisap rokok, sambil mengikat kelima-lima penjenayah tersebut. Kemudian, satu persatu dicucuh dengan rokok tersebut.

“Bagaimana agaknya dengan proposal Tengku Amiri kepada Afam?” Pak Arbi kembali memandang Mr Umayer.

“Menyerahkan teknologi Hero kepada SEG?”

Pak Arbi mengangguk.

“Jangka panjangnya, memang sekiranya orang-orang yang diproses memenuhi skuad itu, kita boleh berikan teknologi ini kepada mereka. Tinggal tempoh hari, kita rasa terdesak hendak menumbangkan Syaitan Bertopeng, menyebabkan kita menyuakan Afam sut itu.” Mr Umayer menyatukan kedua belah tangannya pada perut. Duduk santai.

“Tetapi perjalanannya akhirnya menjadi panjang dan serumit sekarang.” Pak Arbi mengeluh.

“Memang inilah jalan perjuangan Pak Arbi.” Mr Umayer membaca satu firman Allah SWT: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

“Pertolongan Allah itu dekat.” Pak Arbi mengulang. Terasa dekat ayat itu. Mengubat kegundahan hatinya. Sebenarnya, dia tidak sepatutnya mengeluh dengan apa yang berlaku.

“Pak Arbi khilaf, Umayer.” Pak Arbi tertawa kecil. Tawa yang kelihatan seperti sakit. “Diri ini sudah tua. Dan berharap hari-hari akhirnya aman. Tidak sangka kita telah membawa musibah kepada mereka yang melindungi kita. Dan sekarang kita sedang mempertaruhkan nyawa anak penyelamat kita. Diri ini khilaf, Umayer. Khilaf.” Menunduk. Mata Pak Arbi berkaca.

“Pak Arbi, saya percaya dengan segala keputusan Pak Arbi selama ini. Saya ikut Pak Arbi selama ini. Inilah dia mungkin kemuncak ujian Allah kepada kita, Pak Arbi. Allah hendak tengok bagaimana kita lalui semua ini, membuktikan keimanan kita kepadaNya. Kita kena yakin, dan terus yakin sambil berusaha.”

Pak Arbi tersenyum kelat. Air matanya sudah mengalir membasahi pipi. “Mana kamu dapat kekuatan sebegini, Umayer?”

“Tempoh hari, saya sudah rasa seperti hendak membunuh diri. Meluahkan rasa bersalah tidak terhingga kepada Prof Abdullah, Tengku Muhammad dan Datuk Johari. Merekalah yang memberikan kekuatan ini. Kita sepatutnya buat sesuatu yang memberikan manfaat kepada Islam, Pak Arbi. Dan kita tahu, kalau kita dedahkan diri kita kepada Afam, ini bukan memberikan manfaat. Tetapi mungkin hanya mudarat. Dan bukanlah musibah yang kita dapat ini, kerana kita Pak Arbi. Allah memang hendak menguji kita, menguji 10 Jutawan Malaysia, Afam dan penduduk Kotaraya Angsana seluruhnya.”

Air mata Pak Arbi terus mengalir. Kata-kata Mr Umayer menusuk ke pangkal jiwanya.

“Pak Arbi memang sudah tua, Umayer.” Menggeleng.

“Haha, Pak Arbi, saya kelihatan macam sangat muda pula. Sedangkan usia kita hanya berbeza 15 tahun sahaja.” Mr Umayer kembali memerhatikan kajiannya.

“Adakah perjuangan ini ada kesudahannya, Umayer?” Pak Arbi bertanya, suara perlahan.

“Ada.” Mr Umayer menjawab tanpa memandang.

“Sama ada kita hidup mulia, atau mati sebagai syuhada’.”

Senyuman Pak Arbi berbunga semula.

*****

3.00 pagi. Terasa ingin pulang awal pula hari ini. Biasanya, dia hanya akan kembali selepas pukul 5.00 pagi. Tetapi dia merasakan seperti Husna ada menyediakan sesuatu untuknya. Walaupun dia tidak punya bukti untuk itu, tetapi entah mengapa hatinya seakan memberontak menyatakan bahawa Husna ada menyediakan sesuatu.

“Apa kenalah dengan aku ini?” Afam berbicara sendiri. Hairan dengan perasaannya yang dirasakan berserabut. Akhirnya, niatnya untuk pulang dimatikan. Dia menghidupkan butnya, pergi ke satu tempat.

Ibu Pejabat Polis Kotaraya Angsana.

Turun di kawasan lapang bumbung bangunan pejabat polis itu, dia menghubungi seseorang. Satu-satunya orang yang dia percaya di dalam kawasan ini. Inspektor Ikhwan.

Tidak sampai seminit, pintu untuk ke kawasan lapang itu terbuka.

“Assalamu’alaikum Hero.” Inspektor Ikhwan mengangkat tangan.

“Ya.”

“Ada apa mencari aku? Aku masih tidak punya maklumat berkenaan pergerakan Syaitan Bertopeng yang terbaru.” Inspektor Ikhwan sendiri kehairanan. Lebih-lebih lagi, Hero berani datang ke sini. Sedang pihak polis memburunya!

“Kita pergi tempat lain. Bangunan biasa.” Hero memeluk Inspektor Ikhwan, dan tanpa memberikan amaran, dia terus memecut membelah udara. Inspektor Ikhwan menjerit terkejut.

Tidak sampai beberapa waktu, mereka sampai ke bangunan pencakar langit tempat mereka berdua sering berjumpa.

“Bagaimana?” Hero memandang Inspektor Ikhwan. Rambut lelaki itu sudah berserabut. Tubuh lelaki itu menggigil.

Segera tubuh Hero ditampar tolak dengan kedua tangannya. “Lepas ini, jangan buat macam itu lagi!” Inspektor Ikhwan kemudian mengemaskan rambutnya dengan kedua belah tangan. Dadanya masih berdegup kencang. Terkejut. “Paling kurang, bagitahulah hendak terbang.”

Afam di dalam sut Hero tersenyum. Pertama kali melihat Inspektor Ikhwan menggelabah sedemikian.

“Ada apa sebenarnya?” Inspektor Ikhwan bertanya selepas dirinya sedikit tenang.

“Aku…” Hero bersuara. Namun seakan teragak-agak.

Inspektor Ikhwan mengangkat kening. “Kau… apa?”

“Aku rasa lemah.”

Riak wajah Inspektor Ikhwan berubah. Menjadi simpati. Dia melangkah ke tebing bumbung. Duduk di situ. Menepuk kawasan kosong di sisinya, isyarat mengajak Hero duduk di sebelahnya.

“Sini, aku ada. Sedia mendengar.” Seperti sahabat karib, Inspektor Ikhwan memanggil dengan lembut.

Afam di dalam sut terasa seperti hendak menangis.

Malam ini, dia hendak meluahkan kegundahan hatinya.

Yang selama ini dia bekukan kerana degil tidak mahu mengakui kebenaran.

Atau sebenarnya, dia sendiri tidak tahu apakah kebenaran yang sebenarnya.

Itulah punca kegundahannya.

*****

“Kami sudah pulang!” Kedengaran suara penuh ceria, memasuki pejabat Eljurano Demase. Eljurano memandang ke hadapan.

Knight, Bishop dan Rook melangkah masuk.

“Bagaimana?” Cuib Jun Pyo yang berada di sisi Eljurano bertanya.

“Semua sudah selesai. Tinggal, kita perlu menunggu ‘alat utama’ kita tiba untuk membuatkan perancangan kita sempurna.” Rook bersuara dingin.

“Oh, kita ada tetamu?” Bishop bersuara seperti menyindir apabila melepasi kerusi di hadapan meja Eljurano.

“Hahaha, hihihi, huhuhu.” Akama memandang Bishop dengan mata maniak.

Bishop mendengus tidak suka.

“Kau kata, rancangan ini tidak boleh dipecahkan.” Rook mengeraskan suaranya. Wajah benci melihat Akama.

“Entah bagaimana, dia dapat maklumat tersebut.” Eljurano Demase memandang Akama.

Akama ketawa berdekah-dekah.

“Abang kau.” Rook menepuk bahu Knight. Knight buat muka toya.

“Jadi, bebaskan rakan-rakan kita dalam tawanan polis, rampas Amir&Co, tawan Menara Keimanan dan sekaligus meletakkan Elemen Baru di bawah kekuasaan kamu ya?” Akama berdehem.

“Ada masalahkah? Hendak turut serta?” Bishop menjawab sebelum Eljruano sempat bersuara. Kini punggung perempuan itu bersandar pada meja Eljurano, dia menghadap ke arah Akama. Wajah meluat.

Akama ketawa. Menggeleng berkali-kali. “Aku ada rancangan lain.”

“Kau ini, penuh dengan rancangan.” Eljurano tersengih.

“Aku hendak mencuba pendekatan yang lebih menarik.”

“Apa pendekatan itu?” Knight berminat untuk mengetahui.

Akama memusingkan kerusinya, menghadap Knight dan Rook di belakang. “Oooo, dia akan jadi tidak menarik apabila diberitahu.” Menggerakkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan.

Knight menjelirkan lidah. “Aku benci lelaki ini.” Dia memandang Rook. Rook menggaris garisan malas pada bibir.

“Selagi itu mempermudahkan jalan kami, kau buatlah apa yang kau suka.” Jun bersuara.

Akama terus ketawa.

“Nantikan rancangan menarik ini ya. Aku akan lakukan apa yang tidak boleh dilakukan oleh kamu semua.” Akama bangun, dan terus pergi dari pejabat itu.

Eljurano memakukan pandangannya pada belakang Akama, sehingga lelaki itu lesap.

“Masalah.” Dia mendesis.

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top