in Catatan Hilal

Kebelakangan ini, saya sering dihujani mesej yang bertanya akan bagaimana buku-buku lama saya, boleh didapatkan.
 
Novel-novel lama, seperti VT, Sinergi, Hero, Takdir, Relasi, Terasing, ramai yang mencari.
 
Dukacita saya maklumkan, setakat pemerhatian saya, buku-buku tersebut telah habis stoknya di pasaran. Dan, berdasarkan sembang-sembang saya dengan syarikat buku yang menerbitkannya, di tangan mereka juga telah habis stok. Mereka tidak dapat cetak lagi kerana masalah ekonomi di pihak mereka, ditambah dengan tiadanya ‘demand’ yang tinggi. Ya, ramai yang bertanya, tetapi taklah ramai sampai 2000-3000 orang. Maka untuk mereka cetak sedikit-sedikit, itu akan menambah kos. Buku-buku tersebut pun sudah terlalu lama usianya, jadi permintaan pun berkurangan, promosi untuk karya-karya saya pun saya lihat taklah seberapa sangat, banyak bergantung kepada saya sendiri untuk mempromosikannya. Saya pula setiap tahun ada buku baru, jadi buku-buku lama semakin terabai. Itu semua menjadi faktor mengapa permintaan menurun dan seterusnya mengakibatkan kehabisan stok serta tiada usaha bersungguh-sungguh untuk cetak semula.
 
Tetapi saya insyaAllah ada perancangan tersendiri. Seperti berikut:
 
 
1. Saya sedang mengusahakan syarikat penerbitan sendiri – Hilal Asyraf Resources.
 
2. Selain ingin menerbitkan sendiri karya-karya baru, insyaAllah saya ada rancangan untuk menerbitkan semula karya-karya lama.
 
3. Lebih baik, karya-karya lama yang akan saya terbitkan semula itu bukanlah ‘direct copy’. Saya akan kemas kini, perbaiki kelemahan-kelemahan sebelum ini, dan mungkin akan tambah baik perjalanan ceritanya dengan membuat perubahan melalui pengurangan atau penambahan terhadapnya. Mungkin juga karang cerita baru daripadanya.
 
4. Namun itu semua bukan dalam masa terdekat. Setakat ini, jadual yang saya telah atur adalah seperti berikut:
 
2016 – Novel Pemburu
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 1
 
2017 – Novel VT versi tulis semula(nama baru: Avant-garde)
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 2
Kumpulan Cerpen Soldadu Ilahi
 
2018 – Novel trilogi Takdir versi tulis semula.
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 3
Kumpulan Cerpen MATRI
 
2019 – Novel Relasi versi tulis semula.
Novel Terasing versi tulis semula.
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 4
 
2020 – Novel Sinergi versi tulis semula.
Novel Hero versi tulis semula.
Novel Hikayat Satria-Satria Sejati 5
 
Itu akan menjadi fokus saya 5 tahun ini insyaAllah, sebagai produk-produk terbitan Hilal Asyraf Resources. Jadi, memang makan masa bagi mereka yang mencari novel-novel lama saya, tetapi insyaAllah saya yakin versi tulis semula lebih berbaloi. Tambahan, bila saya terbitkan sendiri, lebih mudah para pembaca hendak mendapatkannya terus daripada saya, berbanding tercari-cari di kedai-kedai, bukan? 🙂
 
Jika rakan-rakan perasan, Novel Hikayat Satria-Satria Sejati kelihatan ada setiap tahun. Ya, itu projek terbesar saya. Tidak pasti mampu atau tidak untuk saya sambung ceritanya hingga ke lima buah novel, namun setakat ini rangka sudah ada. Penulisan Novel Lagenda terpaksa saya tangguhkan, kerana setakat ini idea Novel Hikayat Satria-Satria Sejati lebih solid dalam rangkaan saya. Tambahan, saya rasa seperti ‘redundant’, kerana Hikayat Satria-Satria Sejati itu dikembangkan dari idea asal untuk Novel Lagenda. Mungkin, Novel Lagenda akan jadi cerita lain satu hari nanti. Siapa tahu.
 
Berdasarkan perancangan di atas, rakan-rakan boleh lihat yang saya akan mula memberikan fokus yang lebih besar terhadap bahagian fiksyen, berbanding non-fiksyen. InsyaAllah saya akan masih menghasilkan buku motivasi(non-fiksyen), tetapi mungkin setahun hanya satu. Dan saya tidak masukkan dalam senarai kerana, buku-buku non-fiksyen akan diterbitkan oleh PTS. InsyaAllah buku non-fiksyen saya yang akan terbit dalam masa terdekat ialah Buku Dosa & Insan: Perjalanan Menuju Tuhan.
 
Saya ingin memberikan fokus kepada karya fiksyen kerana sasaran saya dalam medan ini, besar.
 
Saya berharap, karya saya dapat bersaing dengan karya-karya ‘mainstream’ sedia ada(yang jenis TV3 pilih untuk jadikan drama tu). Saya mahu karya-karya yang boleh memberikan inspirasi kepada generasi baru. Karya-karya yang mampu menyuntik imiginasi mereka untuk fikir perkara yang baik-baik. Karya yang mampu membuatkan para pembaca memilih untuk hidup berprinsip, berwawasan, bercita-cita untuk menjadikan diri bermanfaat. Saya mahu karya yang menghidupkan jiwa, tutup sahaja novel itu, rasa tergerak untuk buat perubahan yang baik kepada diri dan orang sekeliling, habis sahaja baca novel itu, rasa lebih dekat dengan Allah SWT, rasa tersentuh dan ingin melakukan refleksi terhadap diri. Itu yang saya mahu.
 
Dan saya berharap, satu hari nanti saya dapat hasilkan sebuah karya yang mampu menjadi KOMSAS, mampu menjadi salah satu dari novel yang perlu dikaji, diteliti oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia. Alah, macam Sehijau Warna Daun, Bukit Kepong, Konserto Terakhir(ini semua silibus zaman saya) dan lain-lain tu.
 
Itu hajat dan sasaran saya.
 
Besar, dan mungkin mustahil kut(siapalah saya), tetapi tidak salah hendak bercita-cita bukan? 🙂
 
Saya mohon doa dan sokongan rakan-rakan.
 
======================
 
14163814_935760266536106_1448132747_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.
 
Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.
 
Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:
 
http://bit.do/youthace2016
 
Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!