in Catatan Hilal

 

Assalamu’alaikum, ada beberapa individu mesej saya bertanyakan tips untuk mengarang buku, baik novel atau buku motivasi. Ada juga yang tanya, bila saya akan buat bengkel penulisan lagi.

Saya agak sibuk untuk buat bengkel penulisan dalam masa terdekat. Ada yang tawarkan tempat di Bangi, supaya saya boleh buat setiap bulan, jadi orang ramai ada banyak pilihan tarikh untuk hadir, saya pula tiada masalah untuk cari tempat. Namun, saya pilih untuk fokus membina syarikat baru saya – Hilal Asyraf Resources – yang akan saya gunakan untuk memulakan bisnes penerbitan buku-buku saya. Ya, saya nak mula secara serius terbit karya-karya saya sendiri.

Berbalik kepada tajuk, untuk memenuhi hajat yang berminat, maka di sini saya kongsikan apa yang saya buat untuk menyiapkan sebuah buku.

1. Banyakkan membaca.

Asas. Kata-kata yang masyhur, orang yang tidak punya apa-apa tidak akan mampu memberikan apa-apa. Penulisan adalah produk pemikiran kita. Pemikiran terhasil daripada pembacaan. Dan pembacaan di sini jangan terhadkan kepada pembacaan buku, walaupun itu antara yang terpenting. Baca di sini juga bermakna penelitian, pemerhatian terhadap suasana, individu, keadaan dan sebagainya yang berlaku di sekeliling kita.

Jadi banyakkan membaca buku, banyakkan memerhati, banyakkan bergaul mencedok pengalaman orang ramai.

2. Idea ada 2 jenis.

Pertama: Datang sendiri.

Saya yakin ramai perasan yang tiba-tiba dirinya mendapat idea yang menarik. Ya kan? Tiba-tiba aja idea datang. Automatik. Ini idea yang datang sendiri. Tak minta, tak cari, tiba-tiba hadir. Tapi jangan kata ini wahyu pula. Ianya hanya ilham.

Idea datang sendiri ini, akan cepat hilang. Maka antara disiplin kita ialah rajin mencatat. Apa sahaja idea yang tiba-tiba hadir, catat. Zaman sekarang dah maju, semua smartphone ada aplikasi ‘note’. Kalau tak ada, boleh cari aplikasi tersebut. Biasanya percuma sahaja. Bila datang idea, terus catat.

Kalau tak, nanti jadi begini:

“Tadi aku ada idea menarik, tapi alah, dah lupa dah.”

Rugi.

Kedua: Idea Yang Sendiri Datangkan.

Yang ni kena usaha. Cari idea daripada Al-Quran, hadith, buku-buku karangan orang lain, pengajian di universiti/sekolah, pengalaman diri atau orang lain, sejarah, filem, komik, lagu, dan 1001 lagi sumber.

Fikir, nak buat cerita apa. Kemudian kena fikir macam mana nak kembangkan cerita tersebut. Rangka. Isinya didapati dari sumber-sumber tadi. Perjalanan ceritanya kita reka. Susun perjalanannya satu persatu. Tetapkan bagaimana ia bermula dan bagaimana kita hendak ia berakhir. Seterusnya isi plotnya di tengah-tengah. Tetapkan bila cerita akan klimaks, apa twistnya, dan sebagainya.

Semua ini kena perah otak fikir. Malas memang tak jalan. Kemudian sekali lagi – CATAT semua itu. Jangan biar berlegar di otak terawang-awang menanti hilang.

3. Pantang Dalam Mencari Idea

Antara pantang saya dalam mencari idea ialah, cari idea ketika kita duduk di hadapan komputer dengan niat nak menulis. Memang jem. Ini antara punca mengapa ramai termanggu-manggu nak tulis apa.

Sebab duduk depan komputer baru nak cari idea. Nanti habis masa skroll facebook, tengok youtube, surf internet aja. Sebab kita duduk depan komputer tu tanpa isi. Orang yang tiada apa-apa, takkan mampu berikan apa-apa.

Maka, disiplin saya ialah menggunakan seluruh kehidupan saya untuk mencari idea. Setiap masa, saya berfikir untuk mendapatkan idea, dan menyusun idea tersebut. Kemudian catat.

Untuk saya, saya suka rangka sepenuhnya terlebih dahulu karya-karya saya. Kalau novel tu saya nak ada 30 bab, saya sudah rangka siap-siap 30 bab. Jadi saya jelas bagaimana cerita saya bermula, perjalanannya, dan bagaimana akhirnya. Kalau saya menulis buku motivasi, nak ada 20 bab, saya sudah rangka siap-siap apa saya nak tulis setiap bab tersebut. Jadi saya jelas perjalanan buku saya itu, bagaimana mukaddimahnya, apa bab-bab permulaan, apa bab-bab pertengahan, dan apa bab-bab akhir, supaya buku motivasi saya bukan rawak, tetapi ada ‘flow’.

Seterusnya tetapkan masa untuk menulis. Bila duduk sahaja di hadapan komputer, buka catatan dan start mengarang berdasarkan catatan kita. InsyaAllah nanti kita akan lihat, bermula dari apa yang kita catat itu, yang dah rangka itu, ketika kita menulis, idea akan datang lagi dan lagi, sama ada idea yang lebih baik, atau pertambahan idea untuk kembangkan idea sedia ada.

4. Jadual & Disiplin

Ini memang berbuih saya selalu ulang. Ini sebenarnya antara penentu kejayaan kita dalam menghasilkan seseuah karya.

Hendaklah diingat bahawa sebuah buku itu takkan terhasil sehari semalam. Kecuali kalau kita nak buat buku koleksi status facebook atau koleksi instagram atau koleksi twitter kita. Huhu.

Saya biasanya mampu menyempurnakan penulisan sebuah karya dalam masa sebulan. Memang saya sudah tetapkan yang bulan sekian adalah masa untuk menulis. Saya tetapkan bila nak menulis, dan saya pastikan saya ada nota untuk periksa progress saya.

Saya buat demikian sebab biasanya saya sasarkan setahun saya akan mengarang lebih dari sebuah buku. Kadang-kadang sampai 3-5 buah buku setahun(dalam masa 6 tahun, saya sudah karang 30 buah buku).

Namun ianya ikut diri masing-masing. Kena ada target dan sasaran.

Nak siap bila buku ni? Jangan berikan tekanan yang tak sepatutnya kepada diri. Contoh, nak siap dalam masa seminggu, atau sebulan, padahal kita tak pernah ada pengalaman menulis sebuah buku. Mula dengan target yang munasabah. Contohnya, satu buku dalam masa lima bulan.

Nak berapa bab karya tersebut? 20? 30? Tetapkan.

Satu bab nak berapa muka surat? 5 muka surat? 10 muka surat? Tetapkan. Kalau saya, untuk Buku Motivasi, saya karang setiap satu bab sekarang 5 muka surat, size A4, font calibri, size 11. Mudah cerita, default microsoft words. Tak payah setting-setting apa-apa. Untuk novel pula, saya karang setiap satu bab 10 muka surat, dengan format yang sama.

Jangan risau fasal layout apa semua, itu akan diuruskan oleh penerbit. Kerja kita pastikan manuskrip siap dan boleh dibaca dengan elok.

Bila dah tetapkan itu semua, maka kita bahagilah. 5 bulan ada berapa hari? Katalah ada 150 hari. 20 bab buku motivasi, ada berapa muka surat? Katalah 100 muka surat. Jadi 150 hari bahagi 100 muka surat. Maka jadual kita, dalam sehari setengah, kena pastikan siap satu muka surat. Nampak? Atau kita target, seminggu 1 bab. 30 bab Novel ada 300 muka surat, maka kita bahagi 300 muka surat dengan 150 hari. Kita target 2 muka surat sehari, atau 5 hari 1 bab. Begitu.

Baru tak penat. Baru boleh konsisten.

Waktu bila nak menulis? Ini bergantung kepada diri masing-masing. Jika selesa selepas Subuh, itulah masa kita. Jika selesa selepas Isya’, itulah masa kita.

Yang penting – BUAT JADUAL berdasarkan perancangan kita tadi & berdisiplinlah dengan jadual tersebut.

Tak ada disiplin, memang out. Berangan ajalah kita mampu. Berangan senang. Tak perlu ada disiplin. Dari angan-angan nak tukar kepada cita-cita, kena ada semangat yang kuat. Dari cita-cita nak tukar jadi realiti, kena ada disiplin. Kalau tidak, cita-cita pun akan kembali jadi angan-angan aja.

5. Niat Pastikan Ikhlas Dan Jelas

Akhir sekali, hendaklah kita sentiasa jelaskan niat akan tujuan kita mengarang sesebuah buku. Kita tidak mahu dah penat lelah mengarang panjang-panjang, sekalin rupanya Allah tak kira itu sebagai sebahagian amal soleh kita. Sebab apa? Niat tak betul.

Niat nak popular. Niat nak duit banyak. Niat nak dapat perhatian. Niat nak menunjuk-nunjuk.

Pada saya, perbetulkan niat terlebih dahulu. Popular, duit, perhatian, akan datang kemudian jika Allah nak beri kepada kita. Itu semua bukan tujuan utama. Anggaplah ia sebagai bonus, lagi bagus, anggap itu semua sebagai ujian.

Niat akan membentuk perjalanan karya kita. Sebab niat yang salah, akan membuatkan kita tidak segan silu hasilkan karya yang merepek, sekadar memenuhi hawa nafsu ramai, kemudian jadi drama di televisyen, rosakkan lagi ramai orang. Kita dapat banyak duit, popular, di media sosial banyak follower, post noktah sahaja pun boleh dapat banyak like, tetapi masyarakat jadi makin bengap sebab disuap oleh karya kita yang entah apa-apa. Orang bukan beli sebab bagus, tetapi sebab memenuhi kepuasan nafsu mereka.

Sepatutnya, terutama jika kita seorang muslim, kita nampak kelebihan untuk mampu mengarang sesebuah buku itu ialah anugerah untuk dimanfaatkan. Dimanfaatkan di atas jalan yang baik. Jalan yang memberikan manfaat pula kepada orang lain. Yang boleh memberikan impak positif, membawa perubahan yang baik kepada peribadi yang membaca.

Kita perlukan lebih ramai penulis yang jujur dan amanah. Hasilkan karya-karya yang baik. Supaya masyarakat kita juga jadi masyarakat yang baik-baik.

Itu sepatutnya jadi tujuan utama kita.

Tujuan sebegini jugalah yang insyaAllah akan sentiasa buat kita bermuhasabah diri, sering berusaha nak berikan yang terbaik.

===============================
Saya fikir, itu sahaja yang saya mampu kongsikan di sini. Ringkas sahaja. Saya bukan penulis paling hebat pun. Tak ada rahsia apa sangat pun.

Doa-doakan saya, insyaAllah sekarang saya sedang berusaha untuk menerbitkan Novel bertajuk Pemburu. Alhamdulillah, sudah siap dan saya jangka akan dapat diterbitkan pada hujung Oktober 2016.

Semoga Allah kira semua usaha kita sebagai amal soleh, dan mampu menjadi saham untuk kita di akhirat kelak.

Hayati hadith-hadith berikut untuk membakar semangat:

“Demi Allah, walau hanya seorang sahaja diberi petunjuk(oleh Allah) melalui perantaraan(disebabkan) kamu, maka itu lebih baik dari unta merah.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

“Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal kebaikan, adalah baginya pahala sebanyak(pahala) orang yang menurutinya(mengikuti ajakan itu), dengan tidak mengurangi sedikit pun nilai pahala itu dari pahala-pahala mereka.” Hadith Riwayat Muslim dan Abu Dawud.

Muhasabah.

==============================

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!