in Umum

 
Setiap kita, walau berbeza latar belakang, berbeza cabaran dan dugaan yang dihadapi, akhirnya pergi ke arah yang sama di dalam kehidupan ini. Yakni kita sedang bergerak untuk dibawa pulang kepada Allah SWT.
 
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Surah Al-Baqarah ayat 156.
 
Segala pangkat, segala harta, segala keluarga dan rakan yang kita punyai, sama ada ia memberikan kita status di dunia ini atau tidak memberikan apa-apa nilai tambah kepada kehidupan kita sebagai seorang manusia, semuanya akan dilucutkan lewat pintu bernama kematian.
 
Yang tinggal dengan kita hanyalah amal. Amal yang kita usahakan. Amal yang tidak akan dapat didiskriminasikan dengan apa bangsa kita, apa latar belakang kita dan apa keadaan kita, sama ada kita miskin atau kaya, sama ada kita ada kawan dengan orang hebat atau tidak, sama ada keluarga kita keturunan raja atau bukan. Kerana akhirnya, orang kaya, orang miskin, orang pangkat besar atau sekadar kuli, semuanya perlu tunduk dan patuh kepada Allah SWT, Yang Maha Besar, Empunya Sekalian Alam.
 
Selepas melewati pintu kematian, orang biasa dan raja itu sama. Yang membezakan hanya taqwa mereka kepada Allah SWT.
 
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.” Surah Al-Hujurat ayat 13.
 
Dan kemudian kita akan dibangkitkan di hadapan Allah SWT, dinilai dengan begitu detail dan tidak akan terlepas walau satu zarrah dari amalan kita di atas dunia.
 
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
 
Hingga ada di kalangan para penderhaka berhajat menjadi tanah sahaja, apabila melihat ketatnya pemeriksaan Allah SWT ketika itu, mengetahui bahawa kejahatan-kejahatan mereka tidak akan terlepas di sisi Allah SWT.
 
“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” Surah An-Naba’ ayat 40.
 
Ada pula di kalangan mereka yang meminta untuk dipulangkan ke dunia untuk menambah amal soleh.
 
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.
 
Suasana ketika itu ialah suasana yang dasyat. Sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda:
 
“Sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.” Hadith riwayat Bukhari & Muslim.
 
Kita perhatikan kehidupan yang sedang kita lalui ini. Kita sibuk dengan pelbagai urusan. Kadangkala kita tertipu pula dengan apa yang kita ada. Hingga kita terlupa, ke mana akhirnya kehidupan kita.
 
Namun Allah SWT tidak meninggalkan kita begitu sahaja. Dia berikan kepada kita peringatan-peringatan. Melalui Al-Quran, melalui hadith, dan melalui mereka yang menyampaikan peringatan berpandukan kedua-duanya, untuk disampaikan kepada kita melalui pelbagai medium. Juga kadangkala Allah SWT menegur kita melalui peristiwa-peristiwa, contohnya kematian ahli keluarga atau rakan terdekat, agar kita tersentak dan tersedar. Allah SWT masih lagi menghidupkan kita, hari demi hari, memberikan peluang demi peluang.
 
Tinggal akhirnya, apakah kita bersedia untuk mencelikkan mata dan menyedari akan hakikat perjalanan hidup ini, seterusnya mula memberikan fokus kepada mentaati Allah SWT dan menjauhi laranganNya?
 
Muhasabah.

14163939_1249781021723392_1996520533_o
Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.

Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.

Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:

http://bit.do/youthace2016

Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!