in Karya

Yuddh kekal fokus. Dia tidak boleh lalai walau sebentar, jika tidak pertahanannya akan berjaya dipecah masuk oleh Muse. Pada masa yang sama, dia juga sedang diasak oleh Inteligen Kerajaan Malaysia yang cuba untuk memecah masuk ke dalam sistemnya. Dia asalnya tidak menganggap bahawa Inteligen Kerajaan Malaysia akan mampu memberikan masalah, tetapi gasakan daripada Muse membuatkannya sedikit kucar-kacir untuk menangani semua.

Kini dia sedang tersekat. Yang dia mampu lakukan ialah berterusan menganggu sistem-sistem kecil seperti trafik, siaran televisyen dan radio, telekomunikasi melalui telefon dan internet. Cukup untuk menghuru-harakan kebanyakan orang di Kotaraya ini, dan perlahan-lahan gangguan itu merebak ke kawasan lain. Dia berharap itu semua akan mengalih tumpuan Muse dan Inteligen Kerajaan dari berterusan menghalangnya untuk menggunakan persenjataan tentera Malaysia.

Namun Muse nampaknya tidak mampu diketepikan. Tumpuan bekas Pemburu itu nyata 100% kepada Yuddh. Dan kemahiran Muse memang bukan calang-calang. Sehingga kini Yuddh masih gagal mengesan lokasi Muse secara tepat. Pada masa yang sama, Muse telah berjaya menjadi batu penghalang antara dirinya dan kawalan total kepada sistem persenjataan Malaysia. Hingga kini, dia masih tidak dapat menewaskan pengkhianat Kesatuan Pemburu itu.

Jari-jemarinya menari ligat di atas papan kekunci, memasukkan kod-kod untuk mencerobohi sistem pertahanan Malaysia, pada masa yang sama, memasukkan kod-kod untuk menceroboh ke dalam sistem Muse. Namun Muse tetap berjaya menentangnya dengan menghapuskan kod-kod yang dihantar ke sistem pertahanan Malaysia sambil mempertahankan sistemnya dari dicerobohi.

Yuddh tidak mengalah. Dia mencuba dan terus mencuba. Ini pertarungan antara dua orang profesional. Salah seorang mula kepenatan, atau melakukan walau sedikit kecuaian, maka pihak itu akan gagal.

“Bukan aku yang akan menjadi pihak yang tewas itu, orang tua!” Yuddh menyumpah Muse.

Pun begitu, dia tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap kemahiran yang dipersembahkan oleh bekas Pemburu itu. Ternyata lagenda yang didengarinya berkenaan kehandalan Muse, bukan cerita dongeng.

Muse telah mampu membina pertahanan di alam digital untuk menghalang Yuddh dari menggunakan sistem persenjataan Malaysia sesuka hati, tanpa disedari oleh Yuddh. Padahal Yuddh sudah meletakkan pelbagai perangkap untuk menghalang sesiapa dari menggagalkan perancangannya.

Pun begitu, jika pertahanan itu sahaja yang diletakkan oleh Muse, tidaklah menjadi kesukaran kepada Yuddh. Dia boleh menurunkan pertahanan itu dalam seminit-dua sahaja. Apa yang menjadi kesukaran bagi Yuddh ialah, Muse kekal berjaga di hadapan pertahana tersebut dengan berterusan menghantar kod demi kod untuk menganggu usahanya menurunkan pertahanan itu. Apabila Yuddh berjaya mengenepikan serangan Muse, dan mula untuk fokus menurunkan pertahanan tersebut, Muse akan kembali menyerangnya.

Dua lapisan pertahana itu membuatkan Yuddh tersekat.

Kini dia perlu menewaskan Muse terlebih dahulu.

Cubaan untuk mencerobohi sistem Muse tidak berjaya. Lokasinya juga tidak dapat diperolehi, melainkan sekadar maklumat bahawa isyarat yang datang daripada Muse itu berpunca dari timur Kotaraya. Yuddh bercadang mahu menggunakan Deimonas untuk menganggu Muse, tetapi tanpa lokasi yang lebih spesifik, dia hanya akan menghantar Deimonas ke misi pencarian yang sia-sia. Tambahan, dirinya juga terdedah dengan bahaya tanpa perlindungan Deimonas. Dia tidak boleh diganggu.

Yuddh telah berjaya memintas telekomunikasi Muse, dan kini amat yakin bahawa penyerang misteri yang asyik menganggu Kesatuan Pemburu itu sedang bekerjasama dengan Muse. Tiada pengkhianat yang lain. Jadi, Yuddh menjangka bahawa Muse pasti akan menghantar penyerang itu  ke lokasinya. Deimonas perlu berada di sini untuk mempertahankannya.

Dia tidak akan tewas hari ini.

Bahkan, sebenarnya dia telah berjaya, sedikit sebanyak.

Yuddh tertawa.

“Muse, walau bagaimana pun, aku jangka engkau akan tewas.”

Jarinya terus ligat mengetuk papan kekunci, menghantar kod-kod untuk menumbangkan Muse.

 

*****

 

Mustafa memerhatikan skrin-skrin kecil, kini penuh dengan paparan keadaan kotaraya yang huru-hara. Kemalangan di sana sini. Kelihatan beberapa unit Hero sedang berusaha mengawal keadaan. Mustafa mengetap bibir. Skrin utama sedang mempamerkan pertarungan antara dia dan Yuddh, kod-kod mereka bertembung menewaskan antara satu sama lain. Jarinya bergerak pantas di atas papan kekunci, membina kod-kod baru.

Dia tidak dapat menghubungi Bakri. Alat telekomunikasi tidak berfungsi dengan baik hasil serangan Yuddh untuk cuba mengalih perhatiannya. Dia tidak berusaha memperbaiki keadaan tersebut kerana itu akan memberikan Yuddh ruang mengambil alih kembali sistem persenjataan dan pertahanan Malaysia.

Mustafa tidak boleh membiarkan itu berlaku. Jika keadaan itu terjadi, maka negara ini akan berada di tangan Yuddh sepenuhnya.

Mustafa juga dapat melihat yang Yuddh sudah menanam beberapa bukti palsu untuk menyalahkan Perdana Menteri atas segala kejadian yang bakal berlaku. Semuanya untuk merosakkan imej pemimpin itu, agar rakyat dan orang sekelilingnya hilang kepercayaan, seterusnya tidak lagi memberikan sokongan kepada usaha untuk menggerakkan Malaysia mencapai hala tujunya.

“Engkau tidak akan berjaya. Kesatuan Pemburu tidak akan berjaya!” Mustafa berusaha sebaik mungkin. Walaupun tangan kirinya tidak berapa tangkas, dikerahkan juga.

Pun begitu dia tahu, berdasarkan keadaan sekarang, lambat laun Yuddh akan memenangi pertarungan ini.

Yuddh masih muda, staminanya lebih tinggi.

Mustafa perlu berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan. Walaupun mungkin akan memberikan risiko terhadap dirinya, dan Bakri. Mustafa melirik pada salah satu skrin kecil. Skrin itu mempamerkan usaha Inteligen Kerajaan untuk mencerobohi sistem Yuddh. Tetapi mereka nampaknya tidak setanding dengan Yuddh. Tinggal, asakan daripada mereka membuatkan Mustafa mampu menghadapi Yuddh dengan baik dan kelihatan seperti sama kuat.

Mustafa menghela nafas panjang.

Segera dia meningkatkan kelajuan pergerakannya, dan menghantar beberapa kod kepada Inteligen Kerajaan Malaysia.

Tindakan itu ialah tindakan yang berisiko. Inteligen Kerajaan pasti akan tertanya-tanya siapakah gerangan dirinya, dan apabila semua ini berakhir, mereka pasti akan berusaha untuk mendedahkan identitinya pula.

“Risiko yang patut diambil.” Mustafa menenangkan dirinya. Kembali fokus pada pertarungannya dan Yuddh.

Pada masa yang sama, mulutnya tidak henti-henti berdoa.

Akhirnya kepada Yang Maha Kuasa jua, dia menyerahkan diri.

 

******

 

“Tuan!” Salah seorang pegawai di Inteligen Kerajaan memanggil Amiri. Segera Direktor Inteligen Kerajaan Malaysia itu bangkit dan mendapatkan pegawai tersebut di mejanya.

“Tengok ni,” Pegawai itu menunjuk. Ada kod-kod baru yang sampai kepada mereka. Amiri mengerutkan dahi. Tidak mengerti akan terjemahan kod-kod tersebut.

“Pihak yang menentang penggodam itu sedang menghantar mesej kepada kita!”

“Apa yang dia mahu?” Amiri bertanya.

“Dia mahu kita berhenti dari cuba untuk mencerobohi sistem penggodam tersebut, dan meminta kita fokus kepada mengambil alih sistem-sistem awam. Terutama telekomunikasi.”

Amiri diam sebentar. Tangan disilangkan pada dada. Dia sedang mempertimbangkan pro dan kontra dari permintaan tersebut.

“Apakah kita mampu lakukannya?” Amiri bertanya kepada pegawai tersebut.

“Dalam keadaan penggodam itu sedang sibuk bertarung dengan lawannya ini? Boleh Tuan. Berbeza dengan sistem penggodam tersebut, sistem-sistem yang lain ini adalah kepunyaan kita. Tinggal mungkin mengambil sedikit masa. Kerana kod-kod yang digunakan oleh penggodam ini sangat kompleks. Tetapi dengan kerjasama semua, insyaAllah kami mampu mengusahakannya.”

“Benar Tuan!” Beberapa petugas yang lain melaung.

Amiri melihat kepada semua anak buahnya yang sedang berhempas pulas itu.

“Baik, abaikan penggodam tersebut. Ambil alih sistem-sistem yang lain. Kita terpaksa percayakan sistem pertahanan negara kepada pihak misteri tersebut. Buat masa ini.” Amiri separuh melaung.

“Kami dengar, dan kami taat, Tuan!” Jawab petugas-petugas di sekelilingnya, hampir serentak.

Amiri mengangguk-angguk.

Siapa pihak yang sedang membantu itu, masih misteri. Tetapi selepas semua ini selesai, jika Allah izinkan semua ini selesai dengan baik, Amiri akan mencari pihak tersebut.

Dia yakin, pihak ini tahu siapa musuh mereka yang sedang cuba menganggu keamanan Malaysia.

 

******

 

Bakri sudah dapat melihat pangsapuri mewah yang sepatutnya menjadi tempat pemburu baru itu menjalankan gerak kerjanya. Dia tidak memperlahankan lariannya. Pantas dia mengelak orang ramai yang menghalang laluan, dan sekali-sekala terpaksa melompat melangkaui kenderaan.

Bakri kini telah menutup wajahnya dengan sehelai pakaian yang dicapai dalam perjalanan. Dia tidak boleh merisikokan identitinya. Baju sejuk yang dipakainya juga telah dibuang. Kini dia hanya memakai sehelai baju putih berlengan pendek. Hanya seluarnya sahaja tidak ditukar. Bakri yakin yang tiada siapa akan mengesan identitinya dengan hanya melalui seluar jeans.

Bakri masuk ke perkarangan pangsapuri mewah tersebut. Berdasarkan maklumat yang terdapat pada komputer di pengkalan, dia tahu musuhnya berada di mana.

Segera Bakri menuju ke ruang parkir. Tanda arah yang menunjukkan ke lif membuatkan dia tidak sukar mencari.

Tetapi, kala Bakri baru sahaja mahu menekan butang bersebelahan lif tersebut, dia dapat merasakan perasaan yang sama tatkala dia pertama kali bertempur dengan Jagat dahulu. Segera Bakri mengelak ke tepi.

Sebatang anak panah hinggap pada pintu lif. Kawasan yang dihinggapi mata anak panah tersebut melebur. Anak panah itu kemudiannya terjatuh ke lantai.

Bakri menoleh. Namun tidak menjumpai sesiapa. Ruang parkir itu kosong dari manusia, hanya diisi dengan beberapa buah kenderaan. Tetapi dari serangan itu, dia dapat menjangka dengan tepat siapa musuhnya.

Deimonas!

“Engkau tidak sepatutnya berada di sini!” Bakri melaung, sambil membuka langkah berjaga-jaga. Bersedia untuk segala kemungkinan.

Dia masih ingat dengan jelas, yang petanda mewaikili Deimonas berada di tempat yang lain. Mereka tidak tinggal bersama.

Atau mereka sudah tahu bahawa mereka diperhatikan, maka ini ialah perangkap?

Bakri segera menunduk. Dua bilah pisau sekadar menjamah udara, berputar di atas kepala Bakri sebelum tertusuk pada dinding. Deria pendengaran Bakri dapat menangkap pergerakan senjata itu ketika berada di tengah udara, membuatkan dirinya dapat mengelak dengan baik serangan tersebut.

“Serangan jarak jauh tak berguna untuk aku, Deimonas!” Bakri cuba memancing Deimonas keluar. Sambil itu, perlahan-lahan dia mendekati dinding tempat dua bilah pisau tadi mendarat.

Ketika ini dia dapat melihat lembaga pantas keluar dari balik tiang, melepaskan tiga anak panah ke arahnya, sebelum menghilang semula di balik tiang yang lain.

Bakri segera menyambar dua bilah pisau pada dinding tersebut, dan dengan pantas mengelak sebatang panah sambil menepis dua yang lain.

Kini Bakri mempunyai senjata. Perlahan-lahan Bakri mendekatkan belakang tubuhnya dengan dinding. Ini untuk mengelakkan kemungkinan Deimonas muncul dari belakang.

“Pisau beracun.” Bakri menilik bilah senjata di tangannya.

Dia perlu lebih berhati-hati. Kehandalan Deimonas terletak pada racunnya yang sangat efektir. Bakri masih ingat akan bagaimana Jagat mati. Racun dari senjata Deimonas membuatkan lelaki itu tidak sempat pun mengerang kesakitan. Terus terkulai layu begitu sahaja. Dia juga tidak dapat melupakan akan bagaimana keadaan dirinya selepas terkena hanya sedikit senjata wanita tersebut.

“Engkau mahu begini sehingga habis semua senjata kau Deimonas?” Bakri memancing lagi.

Atau ini memang permainan Deimonas? Memanjangkan masa agar rakannya berkod nama Yuddh itu berjaya melaksanakan misinya?

Bakri menoleh ke arah lif. Mungkin dia perlu meninggalkan Deimonas dan terus mendapatkan Yuddh?

Bagaimana?

Tiba-tiba telinga Bakri menangkap bunyi aneh muncul dari belakang tubuhnya. Segera dia menjauhkan diri dari dinding tersebut. Namun dia tidak sempat menjauhkan diri dalam jarak yang selamat. Dinding itu meletup, dan menghantar tubuhnya melayang hingga melanggar kereta yang berada di hadapannya.

Kereta tersebut remuk menyambut tubuh Bakri. Kedua-dua bilah pisau terlepas dari genggamannya.

“Urgh…” Sungguh dia tidak menyangka yang Deimonas akan menyerangnya dari balik dinding. Mungkin memang tujuan pemburu itu untuk Bakri mendapatkan kedua-dua bilah pisau tersebut, dan merapatkan diri ke dinding.

Mujur dia sempat mendengar bunyi detikan bom tersebut, walaupun nampaknya ia telah diset dengan baik untuk tidak mengeluarkan bunyi yang kuat. Telinga Bakri masih dapat menangkapnya.

Ketika ini, beberapa anak panah meluncur laju dari hadapan. Susah payah Bakri mengerah tubuhnya untuk mengelak. Anak-anak panah itu hinggap pada kereta, tetapi tidak lama kemudian, terus melepaskan letupan yang kuat. Bakri yang tidak berjaya menjarakkan diri terlalu jauh, terpelanting dibawa gelombang letupan tersebut.

Bakri berguling-guling keluar dari kawasan parkir.

Asap berkepul-kepul menghalang penglihatan. Bakri kini dalam keadaan penuh kekurangan. Walaupun dia meningkatkan fokusnya untuk mendengar akan setiap bunyi di sekeliling, dia masih tidak dapat menangkap jejak langkah Deimonas. Pemburu itu benar-benar sedang mempamerkan kehebatannya. Akan mengapa dia merupakan antara Pemburu Terhandal daripada Kesatuan.

Sedang Bakri meningkatkan deria pendengaran, sebatang anak panah meluru ke arahnya. Dia dapat mengetahui dari desiran angin yang terhasil daripada pergerakan anak panah tersebut, ditambah dengan pergerakannya yang mengubah keadaan asap di hadapan Bakri. Bakri mengelak dengan tangkas, dan kali ini cuba menjarakkan dirinya sebaik mungkin. Risau panah itu dilengkapi alat peletup juga.

Tetapi kali ini, bunyi yang sangat mengilukan keluar dari panah tersebut. Membuatkan Bakri yang meningkatkan sensitiviti pendengarannya, terasa seperti mahu pengsan. Kepalanya diserang kesakitan yang teramat.

Ketika ini, Deimonas muncul di hadapannya. Bakri dapat melihat wajah pemburu wanita itu, yang telah berubah dari seorang yang jelita kepada buruk seperti hantu.

Deimonas tidak mengeluarkan apa-apa bicara. Dia terus menarik tali busurnya untuk melepaskan anak panah menamatkan nyawa Bakri. Bakri mengabaikan kesakitan pada kepalanya, dan terus melancarkan sepakan ke busur Deimonas. Deimonas berundur ke belakang, mengelak usaha sia-sia Bakri itu, dan terus melepaskan panahannya. Dari balik asap yang berkepul-kepul, Deimonas dapat melihat bayang Bakri yang ditusuk anak panah.

Sengihan puas tergores pada bibir.

Dia telah berjaya menebus kembali maruahnya yang tercalar sebelum ini.

Perlahan-lahan Deimonas bergerak ke arah Bakri.

Asap berkepul-kepul sudah mula beransur menghilang.

Tubuh Bakri terbujur kaku semakin jelas kelihatan, dengan anak panah tegak di atas tubuhnya.

Deimonas membesarkan mata.

Deimonas kelam-kabut mengelak panahnya yang dikembalikan oleh Bakri, dengan balingan sepenuh daya. Terundur Deimonas beberapa langkah.

“Jangan pandang rendah kepada aku!”

Bakri bangkit dan mengibas tangan kanannya. Telapak tangannya berdarah. Dia telah menyambut panahan jarak dekat Deimonas dengan tangannya itu. Usaha terakhir untuk menyelamatkan nyawanya yang berada dalam situasi sangat tersepit itu. Bukan kerja yang mudah, tetapi dia berjaya melakukannya.

Kini Deimonas sudah berada di hadapannya, Bakri tidak melepaskan Pemburu tersebut dari pandangan. Deimonas terus diserbu dengan serangan. Bakri melayang bersama tendangan. Deimonas mempertahankan diri dengan busurnya. Kemudian Bakri ditolak di tengah udara. Deimonas segera mencapai anak panah yang terdapat pada karung di pinggangnya. Namun Bakri tidak memberikan peluang, sebaik sahaja mendarat ke tanah, Bakri mencapai beberapa anak batu kecil. Melemparkan semuanya sekuat hati ke arah musuh.

Deimonas terundur ke taman permainan berdekatan kawasan parki. Pergerakannya untuk mencapai anak panah terganggu. Bakri pantas memecut dan melepaskan beberapa tumbukan. Deimonas tangkas mempertahankan diri, menyambut semua serangan dengan busur dan tangan kirinya.

Beberapa tumbukan berjaya hinggap pada tubuh Deimonas, namun begitu juga serangan Deimonas terhadap Bakri.

Pertarungan bertukar menjadi sengit antara mereka.

Mereka membiarkan serangan berbicara.

 

******

 

“Bagaimana?” Nazir bersuara.

Dia sangat teringin untuk merakamkan keadaan semasa dan mengambil maklumat akan keadaan terkini. Namun Detektif Wong menghalang. Dia yang pada awal kejadian keluar dari bangunan TV Taqwa untuk menyiasat keadaan terkini, terus mendapati dirinya berada dalam perlindungan Detektif Wong dan sepasukan anggota polis. Dia juga hairan akan bagaimana mereka boleh mendapatkannya segera, namun Detektif Wong telah berkongsi bahawa pasukan polis telah diarahkan untuk menjaga keselamatan Nazir beberapa hari kebelakangan ini. Tinggal Nazir tidak perasan akan kehadiran mereka, yang bijak menyembunyikan diri dalam penyamaran.

“Direktor Amiri mahu saya membantu saudara untuk menyelesaikan misi yang diberikan.” Begitu Detektif Wong menyebut.

Nazir dibawa ke satu tempat. Kawasan pangsapuri mewah di Kotaraya. Mereka berlindung di kawasan berdekatan.

“Alat telekomunikasi sudah pulih!” Detektif Wong bersuara. Ada nada gembira. Segera dia menggunakan alat telekomunikasinya.

“Alhamdulillah.” Nazir bersuara lega. Segera dia mengeluarkan telefon pintarnya. Membuka laman media sosial dan memerhatikan suara-suara netizen melaporkan keadaan. Kotaraya benar-benar sedang huru-hara.

“Baik, Tuan Direktor suruh kita sempurnakan misi. Sekarang ialah masanya!” Detektif Wong memberikan arahan kepada anak-anak buahnya. Semua mengangguk, tanda bersedia.

“Kenapa kita berada di sini?” Nazir bertanya. Dia masih tidak maklum akan mengapa dia dibawa ke kawasan ini.

“Dikatakan bahawa orang yang kita cari itu, berada di salah satu dari pangsapuri-pangsapuri mewah ini.”

“Wah, bagaimana kita mahu mencarinya?” Nazir garu kepala yang tidak gatal. Matanya melihat kepada bangunan yang banyak lagi besar di hadapan mereka.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi letupan. Tidak jauh dari tempat mereka berada. Asap berkepul-kepul naik.

Nazir memandang Detektif Wong. Detektif itu tersenyum.

“Mungkin kita boleh periksa kawasan tersebut terlebih dahulu?” Detektif Wong menepuk-nepuk belakang bahu Nazir.

Nazir tersengih.

“Saudara Nazir sudah bersedia? Tahu apa yang perlu dilakukan?”

Nazir mengangguk. Kamera yang tergantung pada lehernya dipegang dengan kemas.

“Mari kita bergerak.”

Misi yang diberikan kepada Nazir ialah dia perlu merakamkan bukti akan kehadiran pihak misteri ini, kemudian menyebarkannya ke seluruh negara melalui siaran di TV Taqwa. Direktor Amiri mahu mereka dikeluarkan dari persembunyian. Pada masa yang sama, Detektif Wong selain perlu menjaga keselamatan Nazir semasa operasi berjalan, ditugaskan juga dengan tanggungjawab menangkap pihak misteri ini untuk disoal-siasat oleh Inteligen Kerajaan.

Detektif Wong diminta untuk berjaga-jaga setiap masa, kerana tiada siapa tahu bila pihak misteri ini akan mula bertindak.

Dan berdasarkan keadaan huru-hara hari ini, Detektif Wong merasakan inilah harinya. Kerana itu dia dan pasukannya bersegera mendapatkan Nazir.

Hari ini, pihak yang bertanggungjawab kepada segala pengeboman dan pembunuhan sebelum ini, perlu dibawa ke muka pengadilan.

 

******

 

Yuddh dapat mendengar letupan yang berlaku. Namun dia tidak meninggalkan tempat duduknya, dek kerana fokusnya diperlukan sepenuhnya untuk memastikan rancangannya berjaya. Kini, dek kerana terlalu fokus kepada Muse, dia telah kehilangan kawalan terhadap sistem telekomunikasi, internet  dan trafik.

Inteligen Kerajaan telah berjaya merampas kembali kawalan pada sistem-sistem tersebut.

Namun Yuddh sedang berjaya mengatasi Muse. Pergerakan Muse di alam digital semakin perlahan, dan sedikit demi sedikit pertahanan yang dibina oleh bekas Pemburu itu roboh.

“Masanya semakin hampir, masanya semakin hampir. Hahahaha.” Yuddh tidak dapat mengawal kegembiraannya.

Ketika Inteligen Kerajaan mahu kembali membantu Muse, ketika itu dia sudah berjaya menyelesaikan kerja-kerjanya.

“Apa gunanya dapat kembali telekomunikasi, internet dan trafik, jika selepas itu semuanya tetap akan dihancurkan? Hahaha.” Yuddh semakin tangkas memasukkan kod-kod untuk menekan sistem Muse dari melawannya.

Dia semakin hampir dengan kejayaan.

Tidak lama lagi sistem persenjataan Malaysia akan berada di tangannya. Dia akan melepaskan beberapa peluru berpandu ke negara jiran dan juga beberapa lagi ke sebahagian bandar utama di Malaysia.

Kemudian semua kesilapan ini akan ditanggung oleh Perdana Menteri.

Orang awam akan mendesak.

Kehilangan nyawa pada kadar yang tinggi akan membuatkan orang awam emosi, dan itu bakal menjadi kayu ukur kepada kompetensi Perdana Menteri yang tidak memuaskan.

Kejadian ini juga akan menarik pelabur-pelabur luar, dan meleburkan segala sokongan antarabangsa yang dipunyai oleh Malaysia sekarang.

Negara ini akan terundur kembali ke belakang.

Dan Yuddh akan diingati sebagai Pemburu yang berjaya melaksanakan misi besar ini, hanya dari biliknya sahaja.

Hahahaha. Yuddh benar-benar tidak dapat mengawal dirinya. Ini adalah pencapaiannya yang tertinggi.

 

*******

 

Bakri mendengar penerangan daripada bapanya. Alat telekomunikasi telah berjaya aktif semula. Namun mulutnya tidak bersuara apa-apa. Dia perlu fokus menangani Deimonas di hadapannya. Keadaan semakin genting.

Bakri tangkas menghalang segala percubaan Deimonas untuk mencapai senjata-senjatanya. Bakri tidak boleh mengambil risiko senjata Deimonas melukakan dirinya.

Mereka telah bertukar terlalu banyak jurus, dan ketangkasan kedua-duanya seperti tidak melebihi antara satu sama lain. Bakri dan Deimonas sama-sama tersekat.

“Berhenti!” Satu suara asing kedengaran melaung.

Bakri sempat melirik, polis!

Sekumpulan anggota polis sedang menghampiri mereka, sambil mengacukan senjata api.

Deimonas tersengih. Segera dia mengambil kesempatan pada kecuaian singkat Bakri itu, dengan mempergunakan tubuh pemuda itu menjadi tampanan buat dirinya pergi ke arah anggota-anggota polis tersebut.

Bakri terundur beberapa langkah, melihat Deimonas melayang ke udara, sebelum mendarat di tengah-tengah kumpulan polis tersebut.

Bakri dapat menganggak apa tindakan Deimonas yang seterusnya.

Deimonas segera menendang salah seorang anggota polis, yang kelihatan seperti ketua mereka, ke tepi. Dan dengan tangkas, dia melepaskan tumbukan dan tendangan ke arah anggota-anggota polis di sekelilingnya. Kepantasan Deimonas di luar jangkaan pasukan polis tersebut, semua tumbang sekelip mata.

Deimonas mengambil dua pucuk pistol.

Bakri pantas mara ke arah Deimonas ketika pemburu itu sedang menunduk. Melancarkan dirinya ke arah Deimonas bersama-sama tendangan sebelum sempat pemburu itu menegakkan tubuh. Deimonas mempertahankan diri dengan menyilangkan kedua belah tangannya, menyambut tendangan Bakri.

Bakri mendarat, Deimonas terundur beberapa langkah.

“Selamatkan diri kalian!” Bakri menjerit ke arah anggota polis di sekelilingnya. Namun semua dalam keadaan tidak bermaya. Deimonas telah menyerang bahagian-bahagian penting mereka seperti keronkong, belakang leher dan kemaluan.

Deimonas melepaskan tembakan bertubi-tubi.

Bakri tidak sempat menyelamatkan sesiapa melainkan dirinya sendiri. Beberapa anggota polis di sekitarnya tadi menjadi mangsa. Tembakan Deimonas mengekori Bakri. Pemuda itu terpaksa bersembunyi di balik sebatang pokok berdekatan.

Deimonas terus melepaskan tembakan ke perlindungannya. Mungkin berharap tembakan itu akan menembusi perlindungan Bakri, seterusnya membunuh pemuda itu.

Bakri tersekat. Dia tidak boleh keluar dari perlindungan, kerana bakal menjadi mangsa tembakan Deimonas. Namun sekiranya dia terus berada di sini, dia akan mati katak.

Di tengah bunyi tembakan yang membingitkan, Bakri sempat mengerling kepada ketua anggota polis yang terbaring tidak jauh daripadanya. Ketua Anggota Polis itu, yang berwajah cerah bermata sedikit sepet, jelas berketurunan Cina. Dia seperti menanti masa yang sesuai untuk menyerang balas. Ternyata merupakan anggota polis berpengalaman, dan tidak dimakan emosi tatkala memerhatikan kematian sebilangan anak buahnya.

Bakri keluar dari persembunyian. Waktu seperti bertukar menjadi perlahan. Deimonas menghalakan senjatanya ke arah Bakri. Tidak mungkin tembakannya bakal tersasar. Bakri sedar akan hal tersebut. Menutup mata. Deimonas pula tersengih. Yakin kemenangan menjadi miliknya. Picu hendak ditarik…

Bang! Bang! Bang! Bang!

Darah tersembur ke udara.

Bakri membuka mata.

Deimonas tersungkur ke bumi.

Ketua Anggota Polis itu melancarkan tembakan dari pembaringan. Akibat terlalu memberi tumpuan kepada Bakri, Deimonas tidak sempat mengelak serangan Ketua Anggota Polis tersebut.

Bakri tidak menanti. Dia ada tugasan yang lebih penting. Segera dia membuka langkah untuk pergi ke tempat Yuddh.

“Nanti!” Laungan ketua pasukan polis itu tidak dihiraukan.

Bakri menghilangkan diri di balik bangunan. Mendapatkan tangga dan naik ke atas dengan segera. Tiada masa menunggu lif. Lebih pantas berlari dalam keadaan sangat genting sebegini.

“Cepat Bakri, dia semakin hampir berjaya!” Suara bapanya kedengaran kuat.

“Bertahan Ayah, bertahan!” Bakri bersuara, sambil berusaha mempertingkatkan kelajuan pergerakannya.

Tangga pangsapuri mewah itu didaki sepantas mungkin. Sebaik sahaja sampai ke tingkat 56, Bakri terus pergi ke rumah Yuddh. Pintu dipecahkan tanpa apa-apa amaran.

Kelihatan seorang lelaki, berkulit gelap, sedang menggunakan komputer. Jari jemari lelaki itu amat pantas mengetuk papan kekunci.

“Celaka!” Yuddh menyumpah tatkala melihat Bakri. Namun jarinya kekal mengetuk tangkas papan kekunci.

Bakri tidak membiarkan. Segera dia bergerak ke arah Yuddh, menjarakkan pemburu itu dari komputernya.

“Paling kurang, biar aku pastikan misi ini berjaya!” Yuddh menjerit. Mengambil papan kekuncinya itu, dan dihayun ke arah Bakri.

Bakri mengangkat tangan kiri, mempertahankan diri. Papan kekunci itu pecah apabila menghentam anggota tubuhnya itu.

Yuddh segera berguling ke satu sudut rumah, berlindung di belakang sofa. Bakri tidak memberikan masa untuk Yuddh bertenang. Dia terus menendang sofa tersebut. Sofa itu terangkat dan melayang ke dinding. Yuddh bergerak dari bawah Sofa, memeluk Bakri dan membawa tubuh pemuda itu ke arah kelengkapan komputernya. Salah satu skrin dicapai, dan kemudian dihentam ke wajah Bakri. Darah mengalir. Namun Bakri tidak tewas kepada kesakitan yang dirasainya. Kemaluan Yuddh dijamu dengan lututnya.

Pemburu itu mengerang kesakitan. Bakri menolak tubuh Yuddh ke tepi, sebelum pergi ke arah pemburu tersebut dan melepaskan tumbukan bertubi-tubi.

Yuddh tidak dapat berbuat apa-apa.

Akhirnya pengsan dek kesakitan yang teramat sangat.

Darah mengalir dari mulut pemburu itu. Beberapa batang gigi bertaburan di atas lantai. Wajah Yuddh penuh luka dan lebam.

Nafas Bakri turun naik.

Akhirnya…

“Alhamdulillah.” Kedengaran suara bapanya.

Bakri tersenyum lebar. “Alhamdulillah.”

Itulah sahaja bicara yang paling layak diungkap ketika ini.

“Pastikan rancangan kita sempurna.” Mustafa berpesan.

Bakri mengangguk.

Segera dia bangkit untuk menyempurnakan misinya.

 

******

 

Dengan penuh susah payah, Detektif Wong mendekati rumah itu. Pintunya telah terbuka. Detektif Wong berjaga-jaga, cuba bersedia untuk segala keadaan yang mengejutkan. Tangan lurus ke hadapan bersama senjatanya.

Apabila dia masuk ke rumah itu, ianya sudah seperti tongkang pecah. Tunggang terbalik bersama kerosakan di sana sini. Namun di tengah-tengah semua itu, terdapat seorang lelaki, terikat seluruh tubuhnya dengan kemas. Lelaki itu cuba meronta untuk melepaskan diri, namun tidak berjaya. Wajahnya persis wajah yang terdapat pada skrin Direktor Inteligen Kerajaan Malaysia.

Detektif Wong mendekati lelaki itu.

“Celaka! Argh!” Lelaki itu menjerit-jerit. Tidak dihiraukan.

Pada hadapan tubuh lelaki tersebut, terdapat sekeping nota.

“Hadiah. Sila bawa beliau kepada Inteligen Kerajaan. PENTING!”

Detektif Wong tersengih. Dia membayangkan pemuda bertopeng tadi. Kemudian dia menoleh ke belakang.

Nazir sedang merakam semuanya.

“Bagaimana?” Detektif Wong bertanya.

Nazir mengangkat ibu jari.

“Berita besar ni.”

 

*******

 

Agen lelaki berambut mohawk, melihat situasi di pangsapuri itu dari jauh. Dengan keadaan bangunan tersebut dipenuhi pihak berkuasa, dia dapat menjangka apakah yang telah berlaku. Segera dia membuka alat telekomunikasi pada kenderaannya.

“Tuan, berita buruk!”

 

============================================

 
InsyaAllah ini adalah bab terakhir yang akan saya siarkan di LangitIlahi.Com
 
Novel Pemburu telah berjaya disiapkan saya minggu lepas. Alhamdulillah. Sekarang saya sedang berusaha untuk menguruskan penerbitannya. Sekiranya tiada aral melintang, insyaAllah Novel Pemburu akan terbit pada 29hb Oktober 2016 dan dilancarkan di YouthACE 2016.
 
Mohon doa dan sokongan rakan-rakan. 🙂
14163814_935760266536106_1448132747_o
Detail program & Pendaftaran boleh dirujuk di: http://bit.do/youthace2016