in Karya

Mustafa bangun di sepertiga akhir malam. Telah menjadi rutin semenjak berjaya menyelamatkan Bakri & dirinya dari buruan Kesatuan, untuk dia bangkit di tengah malam. Walau selewat mana pun dia tidur, dia tetap akan bangun di sepertiga akhir malam.

Perlahan-lahan dia mencapai tongkat, alat yang telah sekian lama membantu pergerakannya. Mengurangkan sakit ketika dia bergerak. Tanpa tongkat, dia sukar untuk berjalan dengan baik, lantaran kaki kanannya yang tidak lagi kuat untuk menampung tubuhnya.

Sampai ke bilik air, dia membuka paip dan mula berwudhu’. Dengan tertib, bermula dari wajah, kepada lengan, seterusnya disapu keseluruhan kepala, sebelum kedua-dua kaki diratakan dengan air secermat mungkin.

Mustafa keluar dari blik air, sejadah yang tergantung pada dinding diambil, dibentang di atas lantai. Tongkatnya direhatkan pada dinding, sebelum dia berdiri tegak mengangkat takbir. Walaupun keadaannya tidak berapa baik, dia tetap mahu solat berdiri. Sebab itu dia tidak membenarkan dirinya mengabaikan latihan untuk menjaga kekuatan tubuhnya. Supaya dia masih ada kudrat untuk menahan sedikit kesakitan, kelemahan, agar tetap dapat berdiri di hadapan Allah SWT.

Mustafa tahu bahawa Islam itu mudah, tidak membebankan penganutnya. Bagi mereka yang tidak mampu solat berdiri, boleh solat duduk. Bahkan sehingga solat dengan hanya gerakan mata atau lintasan hati, sekiranya berlaku perkara-perkara yang menghalang seseorang itu solat dengan keadaan yang lebih baik.

Tetapi Mustafa sengaja mengambil jalan yang lebih sukar. Di dalam dirinya, sedikit sebanyak dia menganggap bahawa dia ingin mempersembahkan yang terbaik bagi mencari keampunan buat dosa-dosanya yang lepas.

Dia tidak pernah lupa segala dosa-dosanya. Setiap nyawa orang-orang yang tidak berdosa yang melayang di tangannya. Dia tidak pernah lupa.

Air matanya mengalir. Tersedu-sedu. Ketika Mustafa ruku’, air matanya jatuh di atas sejadah. Ketika Mustafa sujud, lebih terasa kekerdilan diri dan betapa besarnya pengharapannya agar Allah SWT mengampuninya. Teresak-esak dia menangis, air mata membasahi sejadah.

“Abang!” Jeritan wanita itu, masih terngiang-ngiang pada telinganya. Tidak pernah hilang.

                “Abang!” Tangisan nyaring. Walaupun Mustafa berada pada jarak yang agak jauh dari tempat kejadian, dan suasana sekeliling bingit dengan jeritan orang ramai, dia masih dapat mendengar suara wanita tersebut. Kerana dia memang memfokuskan deria pendengarannya pada tempat kejadian tersebut.

                “Isteri dia masih hidup.” Mustafa melaporkan pada alat telekomunikasi yang terdapat pada pergelangan tangannya.

                “Jangan biarkan.”

                “Baik.”

                Mustafa bergerak perlahan-lahan, melawan arus orang ramai yang sedang menjauhi tempat kejadian. Mereka berlari kerana dikatakan letupan bakal berlaku.

Mustafa mendekati restoran yang asalnya menjadi tempat keluarga tersebut menjamu selera. Sebelum Mustafa melakukan sabotaj kepada salah satu kenderaan yang lalu di tepi restoran tersebut, yang kemudiannya terbabas melanggar mangsa yang makan bersama keluarganya di ruang luar. Kereta tersebut kini sedang mengeluarkan asap berkepul-kepul, dan orang ramai menjauhkan diri kerana menjangka bahawa kenderaan itu akan meletup pada bila-bila masa sahaja.

                Mustafa semakin menghampiri. Tiada siapa yang mengesyakinya sebagai seorang Pemburu, kerana dia kini berpakaian biasa sahaja. Operasinya ini sepatutnya dilihat sebagai kemalangan yang tidak dijangka.

                Tangisan perempuan itu semakin kuat kedengaran. Mustafa tidak dapat melihatnya kerana terlindung di balik kereta yang terbabas.

                “Puan? Puan?” Mustafa melaung. Buat-buat seperti sedang berusaha untuk menyelamatkan wanita itu sebelum perkara buruk berlaku. Padahal Mustafa sangat tahu bahawa kereta yang ada di situ tidak akan meletup. Dia sangat arif akan keadaan kereta tersebut. Dia mahu menamatkan nyawa perempuan itu.

                Tetapi alangkah terkejutnya dia apabila melihat perempuan yang menangisi suaminya itu, sedang sarat mengandung.

                “Tolong, tolong!” Perempuan tersebut merayu sebaik sahaja melihat Mustafa muncul dari balik kereta.

                Mustafa mengerutkan dahi.

                Walaupun dia seorang Pemburu, dia tidak sesekali pernah membunuh anak kecil. Itu ialah antara pantang larangnya. Dan Kesatuan Pemburu sepatutnya tahu dan memahami. Tetapi mengapa….

                “Tolong!” Perempuan itu merayu lagi dengan penuh hiba, menunjuk kepada sang suami yang telah terkulai layu di atas pehanya.

                “Muse? Lakukan sekarang!”

                Mustafa diam tidak membalas suara di balik alat telekomunikasi tersebut. Matanya lekat pada perempuan di hadapannya. Wajah penuh hiba itu menyentuh jiwanya. Dia sudah kehilangan suami dalam keadaan sarat mengandung, dan kini Mustafa perlu meragut pula nyawanya? Membunuh wanita ini bersama anak di dalam kandungan yang tidak tahu apa-apa itu? Dan mengapa Kesatuan Pemburu sanggup menolaknya ke situasi ini?

                Bahkan sepatutnya dari awal lagi, dia tidak disuruh untuk mensabotaj kenderaan tersebut untuk membunuh lelaki ini bersama keluarganya. Kerana itu akan menyebabkan dia membunuh anak di dalam kandungan tersebut!

                Mustafa mengepal kedua-dua tangannya. Geram. Rasa dikhianati.

                “Muse?!!” Suara di balik alat telekomunikasi itu meninggi.

                Mustafa mematikan alat pada pergelangan tangannya itu.

                Dia sudah membuat keputusan.

                “Puan, ke mari. Suami puan sudah tidak boleh diselamatkan. Mari saya bantu Puan!” Mustafa terus memisahkan perempuan tersebut dengan suaminya. Sebentar dia memerhati mayat lelaki tersebut. Dia hanya menurut arahan, tidak benar-benar ambil tahu akan siapa gerangan lelaki ini.

                Ada dua jenis pemburuan. Pertama, pemburuan yang telah jelas ditetapkan oleh Kesatuan. Kesatuan Pemburu menunjukkan gambar sekian individu, bagaimana dan bila pembunuhan perlu dilakukan. Tugas dijalankan tanpa perlu mengetahui banyak perkara mengenai individu tersebut.

                Kedua, pemburuan yang memerlukan seorang Pemburu itu mengaplikasikan segala kemahiran pemburuan yang terdapat pada dirinya. Kesatuan Pemburu hanya memberitahu objektif, dan Pemburu perlu mencari jalan menyelesaikannya, dengan melakukan kajian, penyiasatan, pencarian, pemerhatian dan lain-lain. Misi jenis ini memakan masa, kadang hingga bertahun-tahun. Namun biasanya, misi sebegini mempunyai nilai yang sangat besar.

                Dan misi hari ini adalah jenis yang pertama. Antara sebabnya mengapa Mustafa tidak tahu bahawa lelaki ini mempunyai isteri yang sedang sarat mengandung.

                Perempuan itu meronta-ronta minta dilepaskan. Dia mahu bersama suaminya. Tetapi Mustafa mengabaikan permintaan tersebut. Dia bergerak menjauhi kenderaan yang terbabas itu, bersama sasarannya dan juga pemandu kenderaan tersebut yang telah kehilangan nyawa. Tanpa disedari sesiapa, sebelum mengangkat perempuan tersebut, Mustafa telah sempat membuka kantung pada tali pinggangnya, mencapai sebutir bom mini dan melemparkannya ke dalam kenderaan.

                Letupan yang kuat berlaku, dan semua yang berada di situ menganggap bahawa letupan itu datang daripada kereta yang terbabas tadi.

                Mustafa segera membawa perempuan itu jauh dari tempat kejadian.

                Dia perlu menghilangkan diri bersama perempuan ini.

Mustafa telah membawa perempuan itu mendapatkan rawatan, sekadar untuk memastikan keadaannya tidak kritikal dan kandungannya selamat. Selepas itu Mustafa segera menyembunyikan diri bersama perempuan tersebut dan mengingatkan wanita itu bahawa nyawanya sedang terancam.

Asalnya Mustafa berhajat untuk meninggalkan sahaja perempuan itu, selepas memastikan dia berada di tempat yang selamat. Tetapi perjalanan panjang yang telah ditempuhi bersama, membuatkan dia jatuh hati terhadap wanita tersebut.

Daripada wanita itulah dia mengenali Islam. Ketabahan wanita itu untuk meneruskan kehidupan selepas kesedihannya reda, membuatkan Mustafa kagum dan jatuh cinta. Mustafa terus membantu wanita itu memenuhi segala keperluannya, bahkan menemaninya melahirkan anak.

Setahun selepas peristiwa itu, Mustafa memeluk Islam atas niat hanya kerana mahu mengahwini perempuan ini. Tetapi selepas itu, Mustafa diperkenalkan dengan organisasi INSANI, yang merupakan tempat wanita ini menumpahkan bakti sepanjang kehidupannya dan suami.

Lelaki yang dibunuh Mustafa itu rupanya merupakan antara orang penting di dalam organisasi INSANI. Dan untuk menghalang kemaraan organisasi tersebut, Kesatuan Pemburu memilih untuk menamatkan riwayat lelaki tersebut. Hasil perkongsian dengan isterinya, Mustafa mula maklum bahawa lelaki tersebut mempunyai pelbagai idea yang menarik, serta plan gerak kerja yang solid, yang boleh memacu INSANI ke hadapan dalam membawa perubahan untuk negara-negara Islam di seantero dunia, bermula dengan Malaysia. Idea-idea tersebut rupanya telah banyak dikongsi dengan isterinya. Antara sebab mengapa Kesatuan Pemburu mahu wanita ini turut menemui ajal dalam kejadian yang sama.

Persepsinya terhadap Islam, negara Islam, orang Islam, banyak berubah selepas mengenali isterinya dengan lebih dalam. Dia dapat menyedari bahawa selama ini dia berada di pihak yang salah, membantu orang yang jahat untuk mengawal dunia.

Maka selepas sekitar 3 tahun menganut Islam, memahami agama tersebut dengan lebih mendalam, dan mengenali INSANI serta hala tujunya dengan baik, Mustafa bertindak untuk membantu INSANI dengan cuba mendedahkan pergerakan Kesatuan Pemburu kepada mereka. Malangnya, tindakan Mustafa itu berjaya dipintas oleh Kesatuan Pemburu, dan beberapa nyawa dari kalangan orang penting INSANI, melayang di dalam peristiwa itu. Lokasi Mustafa pula terdedah, dan Kesatuan Pemburu menghantar Jaeger untuk menamatkan riwayatnya.

Isterinya menjadi mangsa pada hari kejadian tersebut.

Rasa berdosanya bertambah dengan kejadian yang menimpa isterinya pada hari itu.

Ketika itu dia sedar, bahawa dia perlu mengangkat senjata menentang Kesatuan Pemburu. Tidak boleh berharap orang lain menyelesaikan masalahnya. Kerana jika dia melibatkan pihak lain, maka akan lebih banyak nyawa terkorban.

Selepas berjaya menyelamatkan Bakri dan dirinya pada malam berdarah tersebut, dia bersumpah dan berazam untuk menumbangkan Kesatuan Pemburu dengan dua tangannya sendiri.

Bukan semata-mata untuk membalas dendam buat isterinya. Tetapi juga untuk masa hadapan yang lebih cerah untuk dunia ini.

Selepas 2 rakaat, salam diberikan, dan dia bangkit lagi menunaikan solat sunat yang seterusnya. Setiap hari, tidak kurang dari 10 rakaat, sehinggalan sekitar 10 minit sebelum azan Subuh, dia akan beribadah sepenuh hatinya. Berkhalwat dengan Tuhannya.

“Ya Allah, kasihanilah aku. Sesungguhnya aku memohon ampun atas segala dosa-dosaku. Berikanlah kemenangan kepada kami ya Rabb. Tiadalah lagi tempat untuk kami memohon kekuatan selain daripadaMu. Hanya kepada Engkau tempat kami bergantung harap dan memohon perlindungan serta kemenangan. Ya Allah, janganlah kerana dosa-dosa silamku, Engkau haramkan kemenangan ke atas kami. Sesungguhnya Kesatuan Pemburu itu mesti ditumbangkan untuk masa hadapan yang lebih cerah buat dunia ini. Ampunkanlah aku ya Allah, sesungguhnya aku maklum akan semua dosaku. Bantulah aku ya Allah, tiada tempat lain boleh aku mengadu. Ya Allah, ya Allah…” Mustafa berdoa. Seakan seluruh kudratnya diperah untuk berdoa penuh berharap.

Air matanya terus mencurah-curah.

Dia benar-benar berharap, agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya. Dia berharap agar perjuangan ini adalah salah satu cara untuk dia menebus kesilapan-kesilapannya yang lalu.

Selepas doa diaminkan, tangannya meraup wajah.

Mustafa bangkit dan mencapai tongkatnya. Dia hendak pergi memanggil Bakri, untuk ke masjid bersama-sama. Namun apabila dia melihat ke arah pintu, Bakri sudah terjegat di situ.

Pandangan mereka bertaut buat beberapa ketika, sebelum anaknya itu mengukir senyuman.

Kisah silam bahawa dia adalah penyebab kematian ayah kandung Bakri, nampaknya tidak membuatkan anaknya itu berdendam dengannya. Tiada riak kemarahan. Yang ada hanyalah ketenangan.

“Mari Ayah, kita ke masjid.”

Mustafa mengukir senyuman balas.

Perlahan-lahan dia bergerak ke arah pintu.

“Pertama kali Bakri yang terjegat di muka pintu bilik Ayah pada waktu Subuh sebegini. Tak berlatih ke?” Mustafa berbicara.

“Hari-hari berlatih. Apa salahnya hari ini Bakri yang pergi ke bilik Ayah, bukan Ayah yang perlu ke bilik Bakri?” Bakri memaut bahu Mustafa.

“Sejak bila ada di situ?”

“Sejak dua rakaat terakhir.”

Mereka sampai ke pintu utama. Keluar dan menyarung selipar masing-masing.

“Patutlah wajah Ayah macam ada bekas. Ayah banyak menangis rupanya ya?” Bakri bersuara sebaik sahaja mereka meninggalkan perkarangan rumah.

“Dosa yang terlalu banyak, Bakri.”

“Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Ayah.”

Mustafa tersenyum dan mengangguk membenarkan bicara Bakri.

“Salahkah Ayah menjadi hambaNya yang bersyukur?”

Bakri membalas persoalan itu dengan senyuman sahaja.

Selangkah demi selangkah mereka mendekati masjid. Untuk Bakri, apa yang dia perhatikan sebentar tadi, benar-benar menyentuh hatinya.

Bapanya telah menanggung banyak cabaran dan penderitaan, ditambah perasaan menanggung dosa yang tidak terhitung banyak. Perjuangan pula belum berakhir.

Bakri menyemat azam untuk lebih bersemangat dalam memberikan sokongan kepada bapanya. Bahkan, dia ingin menjadi orang yang benar-benar faham mengapa mereka mengangkat senjata. Bukan lagi sekadar seorang anak yang ingin membantu bapanya.

Hari itu dimulakan dengan nafas yang benar-benar baharu buat Bakri.

 

******

 

Deimonas mengerutkan dahi. Bunyi dengkuran yang datang daripada Yuddh menyakitkan telinganya.

“Hoi, bangun!” Yuddh disepak sederhana kuat.

Yuddh terkejut, terus mengeluarkan sepucuk pistol , namun kali ini Deimonas lebih bersedia, menangkap senjata tersebut dan meleraikan bahagian-bahagiannya dengan tangkas.

“Akulah, bodoh.” Deimonas menyepak lagi pemburu berbangsa India itu. Yuddh mengelak sedikit, sambil menggaru-garu kepalanya. Rambutnya serabut.

“Apa kau nak ha? Macam mana engkau boleh masuk?”

“Aku Pemburulah. Antara yang terhandal. Cuba jangan tanya soalan bodoh. Aku cuma hendak beritahu yang aku akan keluar memburu penyerang misteri kita itu. Aku perlu matikan alat telekomunikasi kita supaya pergerakan aku lebih bebas. Aku tidak mahu Kesatuan bising pula nanti.” Yuddh melihat Deimonas yang telah mengenakan kelengkapan untuk menjalankan misi peribadinya itu. Berjaket menutup kepala, sambil membawa bag galas yang Yuddh yakin menyimpan busur dan anak-anak panah, senjata kegemaran Pemburu itu.

“Aku perlu kembalikan maruah aku kembali. Bersihkan imej aku yang telah tercalar.” Deimonas menyambung.

Yuddh menggaru kepalanya lagi. Kemudian kembali melandaskan dirinya ke atas sofa. Dia tidur di ruang tamu sahaja.

“Yang engkau ni, kenapa tidur? Aku ingat engkau nak cuba tamatkan misi di sini secepat mungkin?” Deimonas bertanya. Kehairanan. Yuddh kelihatan sangat santai dan bersahaja.

“Rileklah. Aku ada perancangan aku. Masih perlu buat beberapa pemerhatian lagi sebelum bertindak.” Yuddh memuncungkan bibir. Gaya malas nak melayan Deimonas.

Deimonas mendengus. Berpaling ke arah pintu keluar dan mula melangkah.

“Hei Deimonas.” Yuddh memanggil dari pembaringan.

Langkahan Deimonas terhenti. Tetapi dia tidak berpaling.

“Aku fikir aku ada cara mudah untuk kau dapatkan kembali maruah engkau tu.”

Kini Deimonas berpaling. Tertarik dengan kata-kata Yuddh.

“Aku telah dapat mengesan yang sistem data Kesatuan Pemburu sedang diperhatikan satu pihak. Dan aku yakin 100% bahawa itu ialah penyerang kita.”

Deimonas terus melihat Yuddh. Tidak bersuara. Tetapi cukup menunjukkan bahawa dia berminat dengan apa yang sedang dibentangkan pemburu itu.

“Tinggalnya, apabila aku mula bertindak untuk mengesan dari mana isyarat pengintip itu datang…”

“Dia akan terus mengetahuinya.” Deimonas memintas.

“Ya. Dia akan bertindak balas untuk menyerang kita di sini.” Yuddh menambah. “Aku yakin, penggodam itu ialah Muse, manakala penyerang yang telah mensabotaj pergerakan kita di sini ialah orang lain, yang bekerjasama dengannya. Teori ini dapat kita buktikan tak lama lagi. Jadi aku mahu engkau mengawasi tempat ini. Bagaimana?”

Deimonas diam buat beberapa ketika.

“Bila perancangan ini hendak engkau jalankan?”

“Mungkin selepas tengahari. Aku nak tidur dulu. Malas fikir sekarang.” Yuddh menutup mata.

Deimonas tersengih. “Suka hati. Aku ambil tempat siap-siap.”

Yuddh mengukir senyuman jahat tanpa disedari Deimonas.

“Orang yang terdesak, mudah dipergunakan.”

Semuanya sudah diatur dengan baik setakat ini.

Yuddh berpuas hati dengan perancangannya. Dia menjangka yang dia akan berjaya.

 

******

 

Sebaik sahaja Bakri hilang dari pandangan, bergerak untuk ke universiti, Mustafa terus melangkah ke bilik yang menyembunyikan lif rahsia. Apabila sampai ke pengkalan pergerakan, dia segera ke komputer dan jarinya terus pantas bergerak di atas papan kekunci, memasukkan beberapa kod.

Dengan kehadiran Yuddh di Malaysia, dia sudah dapat menjangka beberapa tindakan yang bakal dilakukan oleh Pemburu itu. Dia telah beberapa kali meneliti hasil kerja Yuddh di India dan Pakistan. Semalam sebelum tidur, dia telah membuat beberapa penelitian lagi.

Yuddh didapati menguasai pelbagai sistem penting, dan kemudian menyembunyikan dirinya dengan baik, sebelum menggunakan kelebihannya itu pada waktu-waktu yang dikehendaki. Apabila pihak berkuasa ingin mencari masalah, sistem mereka akan kelihatan seperti dalam keadaan yang baik. Pada hakikatnya, Yuddh masih berada di dalam sistem, dan semua itu berada di bawah kawalannya.

Kadangkala Yuddh akan membuat kerosakan kecil seperti masalah lampu isyarat, gangguan signal untuk telefon atau internet, dan ada masannya Yuddh akan bertindak sejauh melepeaskan peluru berpandu dari pangkalan tentera. Mengikut apa misi yang diberikan kepadanya.

Jadi Mustafa sekarang sedang memecah masuk ke dalam sistem-sistem data yang terdapat di Malaysia. Mencari jejak Yuddh di alam digital, terutama pada sistem-sistem yang penting seperti kawalan trafik, internet, sistem di pusat-pusat janakuasa dan juga ketenteraan.

Kepakaran Mustafa membuatkan dia tidak perlu menanti lama untuk dapat mengesan jejak Yuddh.

Matanya membesar. Yuddh telah menguasai sebahagian besar sistem di dalam negara ini, tanpa dikesan sesiapa.

“Budak ni…” Mustafa dapat merasakan yang Yuddh bukan calang-calang penggodam. Perasaannya memberitahu bahawa kemungkinan besar Yuddh dapat mengatasinya sekiranya mereka bertembung.

Tetapi Mustafa menekan perasaan tersebut.

Mulutnya terkumat-kamit membaca doa dan memohon pertolongan Allah SWT.

Dia perlu menyah Yuddh daripada sistem-sistem tersebut, dengan sebaik mungkin tanpa dikesani pemburu tersebut.

Dia amat yakin yang Pemburu itu sedang menanti waktu yang terbaik untuk melancarkan huru-hara di negara ini. Kemudian memanfaatkan keadaan itu untuk mencapai misi utama mereka di negara ini. Mustafa dapat membaca strategi tersebut, memandangkan dia sendiri merupakan seorang strategis pakar yang bukan calang-calang.

Cabaran untuk Mustafa ialah untuk menyah penguasaan Yuddh terhadap sistem-sistem penting tanpa dikesanni pemburu itu. Mustafa sudah mula dapat melihat yang Yuddh telah menanam pelbagai perangkap dalam bentuk kod yang kompleks. Kesilapan dalam memecahkan kod-kod tersebut akan membuatkan Yuddh tahu ada pihak yang sedang cuba menggodam kawalannya kepada sistem-sistem tersebut.

Mustafa menghela nafas panjang.

Dia meregangkan tangan, mengepal-ngepal dua penumbuknya, sebelum bergerak pantas melaksanakan kerja-kerja.

Pertarungan sudah bermula.

 

******

 

Bakri memandang ke hadapan. Kali ini, buat pertama kali, dia tidak menyumbat telinganya dengan alat pendengar. Namun dia masih tidak mengambil nota. Dia hanya memberikan fokus dengan mendengar.

Fatihah sekali-sekala memerhatikan Bakri. Sedikit kehairanan dan tertanya-tanya akan mengapa Bakri tidak bersikap seperti biasa. Tetapi kemudian Fatihah memarahi dirinya sendiri, kerana menyibuk hal orang lain.

Dr Zulaikha yang sedang membentangkan penilaian hadith dalam kitab-kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali, kembali menjadi fokus pelajar perempuan itu.

Sedang kelas khusyuk mendengar penerangan daripada pensyarah mereka, bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Riuh sebentar seisi dewan, sebelum suara Dr Zulaikha kedengaran mengajak mereka bertenang.

“Telefon pun tak boleh pakai lah.” Seorang pelajar mula bersuara, dan yang lain-lain mula kembali riuh.

Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Bakri bangkit segera. Ada sesuatu yang tidak kena. Dia bergerak keluar dari kelas dengan segera. Pergerakannya sempat diperhatikan oleh Fatihah.

“Eh, Bakri pergi mana tu?”

“Panas kut?” Salma mengibas-ngibas tudung labuhnya. Menjemput angin kepada diri, kerana suasana bertukar menjadi hangat akibat terputusnya bekalan elektrik.

Fatihah mengerutkan dahi. Hairan, kerana pelajar-pelajar lain tidak keluar dari dewan disebabkan Dr Zulaikha tetap ingin menyambung pengajian walau tanpa tenaga elektrik.

“Bertenang, bertenang. Nak teruskan kelas ini bukan perlukan telefon bimbit atau elektrik pun. Tambah-tambah sekarang waktu siang. Cahaya ada ni hah. Masa kuliah pula takkan nak guna telefon!” Suara Dr Zulaikha sedikit meninggi, cuba memenangi keriuhan kelas.

Perlahan-lahan kelas kembali tenang.

Dr Zulaikha menyambung pengajian.

Namun Bakri sudah hilang.

Pemuda itu cuba untuk menghubungi bapanya. Alat telekomunikasi khas untuk mereka berdua dikeluarkan. Bakri cuba menghubungi pengkalan, namun alat itu seperti tidak responsif.

“Apa yang sedang berlaku?” Bakri memandang sekeliling.

Dia dapat melihat orang ramai berjalan sambil memerhatikan telefon pintar masing-masing. Jelas kejadian itu terjadi kepada semua. Bakri bergerak memerhatikan kawasan berdekatan. Dari apa yang didengarinya melalui orang yang lalu lalang, nampaknya seluruh universiti sedang terputus bekalan elektrik, dan mengalami masalah sistem telekomunikasi.

Bakri terus berlari pantas untuk meninggalkan universitinya. Dia perlu pulang ke rumah dengan segera. Dia bergerak menuju ke gerbang utama universiti. Namun sebaik sahaja dia dapat melihat gerbang tersebut, matanya telah dapat menangkap kemalangan teruk yang berlaku di simpang hadapan gerbang itu.

Apabila Bakri sampai di gerbang itu, dia sempat mendengar pengawal pintu masuk universiti mengadu berkenaan kegagalan lampu isyarat untuk berfungsi, mengakibatkan kemalangan teruk berlaku antara beberapa kenderaan. Mereka juga mengadu berkenaan kegagalan untuk berkomunikasi dengan pihak yang sepatutnya untuk meminta bantuan. Segala alat telekomunikasi mereka tidak berfungsi.

Bakri segera keluar dari perkarangan universiti. Dia pergi ke sebuah bangunan tinggi yang terdapat tidak jauh dari gerbang utama tempat pengajiannya. Dia segera mendaki tangga bangunan tersebut selaju yang mungkin. Apabila sampai pada bumbung bangunan itu, dia cuba memerhati sekeliling.

Asap hitam berkepul-kepul naik dari pelbagai lokasi. Berdasarkan pemerhatian Bakri, kemalangan sedang berlaku di mana-mana, terutama di kawasan lampu isyarat. Bakri memfokuskan pendengarannya, cuba meneliti keadaan orang ramai. Banyak yang mengadu tidak dapat menggunakan alat telekomunikasi dan internet, di samping terputus bekalan kuasa.

Suasana nampaknya sedang dalam keadaan huru-hara.

“Ini pasti angkara pemburu yang baru dihantar oleh Kesatuan.” Bakri mengetap bibir. Segera maklumat pada komputer di pengkalan terimbas di mindanya.

Bakri segera bergerak.

Dia tidak jadi pulang ke rumah.

Dia membuat keputusan untuk terus ke punca masalah. Bakri ingat dengan jelas akan lokasi Yuddh berdasarkan peta yang terdapat pada skrin komputer di pengkalan. Dia mahu terus ke sana, walaupun Bakri tahu yang dirinya tidak punya kelengkapan yang lengkap untuk bertempur.

“Mungkin cukup sekadar aku dapat menarik perhatiannya, membuatkan dia berhenti menggodam. “Ayah pasti sedang mengusahakan sesuatu. Kerajaan Malaysia pula pasti tidak akan berdiam diri. Inteligen Kerajaan juga pasti sedang mencuba untuk mengawal keadaan. Jika aku berjaya menganggu Yuddh, mungkin sistem-sistem ini dapat diambil alih semula, dan mengelakkan kerosakan yang lebih besar!” Bakri mula mengatur strategi sambil pantas turun dari bangunan tersebut.

Sebaik sahaja Bakri keluar dari bangunan itu, dia terus memecut pantas.

 

******

 

“Apa yang sedang berlaku?!” Amiri melaung di hadapan petugas-petugasnya yang sedang bekerja keras untuk mengawal keadaan.

“Semua sistem sedang terganggu. Ada pihak telah menggodam kebanyakan sistem di negara kita.” Salah seorang daripada mereka melaung balas.

“Bagaimana dengan sistem pertahanan negara?” Amiri segera mendekati petugas yang memberikan jawapan itu.

“Sudah dicerobohi. Namun nampaknya penggodam itu sedang mendapat tentangan.” Petugas itu menunjukkan kod-kod yang sedang muncul dan hilang beberapa kali pada skrinnya.

“Siapa yang cuba menentang penggodam tersebut?”

Petugas itu menggeleng.

“Saya tidak dapat mengesan kedua-duanya. Hanya mampu memerhati. Sistem telah dikunci. Saya dan pasukan sedang cuba untuk memecah masuk kembali ke dalam sistem.”

Amiri menepuk-nepuk belakang tubuh petugas itu. Memberikan semangat, sebelum dia bergerak kembali ke pejabatnya. Memerhatikan semua.

Bekalan elektrik tiba-tiba terputus, dan sistem telekomunikasi mereka tiba-tiba rosak. Mereka berjaya mengembalikan tenaga elektrik dengan menggunakan kuasa sokongan yang memang telah disediakan untuk kecemasan. Namun sistem telekomunikasi masih belum dapat diperbaiki.

Semua tenaga kerja di bawah Inteligan Kerajaan sedang berhempas pulas menangani situasi ini.

Amiri memikirkan Detektif Wong dan Nazir.

Dia sudah menugaskan detektif itu untuk berada dekat dengan Nazir. Dalam keadaan ini, dia berharap Detektif Wong segera mendapatkan Nazir dan bergerak menyempurnakan misi yang diamanahkan.

Inilah masanya.

Cuma sekarang dia perlu mendapatkan lokasi penggodam tersebut agar misi yang diberikan kepada Nazir dapat berjalan dengan baik.

Amiri memerhatikan pasukannya yang sedang bekerja keras.

Mulutnya mula terkumat-kamit berdoa.