in Karya

Mustafa mengangkat pemberat menggunakan tangan kanan buat kesekian kalinya. Peluh sudah membasahi tubuh. Pakaiannya dibasahi keringat. Tetapi dia tetap meneruskan. Walaupun dia tidak lagi mampu bergerak tangkas, Mustafa tetap rajin menjaga tubuhnya. Dia tetap berlatih setiap hari, terutama kedua-dua tangannya. Walaupun tangan kirinya tidak sekuat tangan kanannya, akibat kecederaan yang dikenakan Jaeger sekitar 15 tahun yang lalu.

Malam tragedi tersebut, dia mengerah seluruh kekuatannya untuk berlari menghilangkan diri sejauh yang boleh. Bukan kerana dia pengecut, tetapi kerana di belakang tubuhnya pada malam itu ada Bakri, anak yang amat dicintai. Boleh sahaja dia bersembunyi di tempat berdekatan, merawat lukanya terlebih dahulu, kemudian menyerang balas. Dia boleh melakukannya. Dan dia lebih sudi mati dari melarikan diri. Dia tahu, sekiranya lukanya pada malam itu tidak dirawat segera, akan memberikan kesan buruk terhadap dirinya sendiri.

Tetapi dia sudi mengorbankan maruah dan tubuhnya, untuk anak yang tercinta.

Namun hari ini, anak yang sangat dicintainya itu, sedang marah kepadanya. Sudah lebih dua minggu, mereka tidak berbicara mesra, melainkan berbasa-basi. Bila Mustafa cuba berbicara, Bakri hanya menjawab sepatah dua. Sinergi antara mereka hilang.

Pemberat diletak pada tempatnya. Mustafa bergerak ke lapang sasar. Sepucuk pistol diambil. Tembakan lurus dilepaskan. Kemudian Mustafa menghayun tangan kanannya itu, sambil melepaskan tembakan seterusnya, melakukan tembakan lencong. Peluru melayang bengkok, mendarat pada papan target yang sama.

Senjata itu bertukar tangan. Mustafa cuba melakukan tembakan lurus. Tetapi tangan kirinya itu bergetar kuat. Tembakan dilepaskan, namun pelurunya tidak masuk ke papan sasar. Mustafa cuba hendak melakukan tembakan lencong, tetapi tangan kirinya tidak dapat dihayun dengan baik. Mustafa membatalkan hasrat melakukan tembakan tersebut.

Perlahan-lahan dia bergerak ke papan sasar.

Dua tembakan yang mengenai papan tersebut pun, tidak jatuh tepat di tengah-tengah. Mustafa menghela nafas. Kepalanya tunduk sebentar sementara tangan kiri direhatkan di atas papan sasar tersebut.

Orang yang melihatnya sekarang, sudah pasti tidak percaya bahawa dia adalah antara Pemburu Terhandal bagi Kesatuan Pemburu.

Mujur antara aset terpenting bagi dirinya ialah kegeniusan. Sesuatu yang tak dapat diambil sesiapa melainkan dengan kematiannya. Dengan minda yang dia ada, tanpa ketangkasan tubuh badan, dia masih mampu menjadi ancaman kepada Kesatuan Pemburu.

Organisasi yang telah ditinggalkannya 20 tahun yang lalu.

Kerana dia telah bertemu dengan kebenaran. Pandangannya telah dibuka. Semuanya bermula dengan sebuah misi yang kemudian bertukar menjadi titik tolak kepada perubahan diri.

Kisah hitam yang menjadi permulaan kepada pemberontakannya terhadap Kesatuan Pemburu.

Kisah hitam yang tidak mahu dilawati semula.

Perlahan-lahan air mata mengalir membasahi pipi Mustafa. Dia sendiri tidak dapat menafikan bahawa di sebalik keteguhan diri seorang Pemburu, dan kecekalan menghadapi segala apa yang telah dia harungi sehingga ke hari ini, dia hanya seorang manusia.

Akhirnya kepada Allah jualah dia mengadu akan segala masalahnya.

Air mata diseka.

Mustafa meluruskan kembali tubuh badannya, sebelum bergerak ke komputer. Dia duduk di situ, memerhati berita, akhbar, juga beberapa tayangan kamera keselamatan dari pelbagai tempat yang penting. Rutin hariannya.

Dia amat yakin yang Kesatuan Pemburu telah menghantar pemburu yang baru selepas peristiwa tempoh hari. Kematian salah seorang dari barisan Pemburu Terhandal bukan perkara yang diambil mudah oleh organisasi tersebut. Bahkan kematian agen biasa pun mereka akan segera mengambil tindak balas. Apatah lagi bagi kematian pemburu terhandal mereka.

Mustafa dalam masa dua minggu ini telah berusaha untuk menceroboh ke dalam sistem data Kesatuan Pemburu. Namun dia mengambil masa yang agak lama kerana sistem tersebut tersangat kukuh, dan dia pula ingin memecah masuk tanpa mereka ketahui. Bukan satu kerja yang mudah. Tetapi Mustafa sudah melakukan kira-kira.

Mustafa sangat arif dengan prosedur pergerakan Kesattuan Pemburu. Apabila mendapat berita akan kematian Jagat, sebelum menggerakkan Pemburu baru untuk menyelesaikan masalah, sudah pasti kepimpinan Kesatuan Pemburu akan bermesyuarat sesama mereka. Dan biasanya mesyuarat itu akan mengambil masa beberapa hari, kerana mereka adalah organisasi yang sangat kalkulativ. Pelbagai kemungkinan diambil kira, sebelum keputusan yang dipersetujui semua dapat dihasilkan.

Kematian salah seorang dari barisan Pemburu Terhandal akan membuatkan mereka tidak memilih pemburu baru yang biasa, melainkan dari barisan Pemburu Terhandal juga. Dan itu akan menambah masa lagi, kerana semua Pemburu Terhandal mempunyai misi di serata dunia. Untuk memastikan mereka meninggalkan misi sebelumnya dalam keadaan yang baik, kemudian perlu bergerak pula ke Malaysia ini, akan mengambil masa beberapa hari lagi.

Mustafa menggunakan masa itu semua, untuk memecah masuk ke dalam sistem Kesatuan Pemburu menggunakan algorithm yang telah dibinanya sendiri. Dia mengambil masa yang tidak sedikit membina algorithm tersebut. 5 tahun. Di sampaing dia perlu membuat banyak penambah baikan, seiring pemerhatiannya terhadap sistem data Kesatuan Pemburu.

Hari ini sepatutnya, dia berjaya.

Mustafa melihat sebuah skrin kecil, yang sedang menunjukkan proses penggodaman tersebut. Mustafa menyentuh pada pad yang terdapat bersebelahan papan kekunci, menggerakkan kursor ke arah skrin kecil tersebut, menariknya pergi ke skrin gergasi. Kini ia terpapar pada skrin yang besar.

99.5%

100%

Skrin tersebut kini bertukar kepada ‘interface’ sistem data Kesatuan Pemburu. Berjaya!

“Alhamdulillah.” Mustafa tersenyum. Sedikit sebanyak keadaan ini menghiburkan dirinya.

Algorithm yang dibina menjadikan sistem itu dapat ditipu, seakan-akan Mustafa ialah Kesatuan Pemburu. Kesatuan Pemburu tidak akan dapat mengesan bahawa ada pihak lain sedang memerhatikan sistem data tersebut.

Tinggalnya sekarang, Mustafa tidak boleh melakukan apa-apa. Dia tidak boleh menggunakan sistem tersebut. Kerana sekiranya dia menggunakannya, Kesatuan Pemburu akan tahu dan dapat mengesan lokasinya dengan segera dan tepat.

Apa yang bakal dilakukannya ialah sekadar memerhati.

Kesatuan Pemburu sangat bergantung kepada sistem data ini untuk menggerakkan pemburu-pemburunya di seluruh dunia. Walaupun Mustafa terbatas hanya kepada memerhati, Mustafa sangat yakin bahawa Kesatuan Pemburu akan berkomunikasi dengan pemburu-pemburunya, juga mengesan lokasi di mana pemburu-pemburu itu berada, lantas mendedahkan banyak maklumat penting yang memberi kelebihan kepada Mustafa.

Kini Mustafa meneruskan pemerhatian.

Kesatuan Pemburu sedang berkomunikasi dengan pemburu-pemburu mereka di pelbagai lokasi. Skrin itu mempamerkan peta dunia. Tanda Kesatuan Pemburu sedang memerhatikan semua pemburu mereka. Setiap titik pada peta tersebut, menunjukkan seorang Pemburu.

Majoriti mereka sedang bertaburan di Timur Tengah.

Mata Mustafa terus tertumpu ke Malaysia.

“Yuddh.”

Dia dapat melihat kod nama di atas tanda yang terdapat di Malaysia tersebut, bersebelahan dengan tanda bernama Deimonas. Mustafa tahu berkenaan Yuddh. Pemburu berasal dari India, dan antara misi utamanya ialah memastikan hubungan antara India dan Pakistan terus berada dalam keadaan yang tidak baik, dan sentiasa berusaha memastikan Pakistan terus bergolak.

Kehadiran Yuddh menandakan bahawa Kesatuan Pemburu masih tidak mengalihkan tumpuan mereka untuk memporak perandakan Malaysia. Perdana Menteri dan Gabenor Bank Negara nampaknya masih menjadi sasaran utama mereka.

“Dia sudah sampai ya?” Mustafa tersenyum sendiri. Berdasarkan itu sahaja, dia sudah dapat membuat beberapa jangkaan, dan terbentang di dalam kepalanya beberapa perancangan.

Pada peta ini, tidak tergambar secara tepat di mana lokasi mereka berdua, kerana sedang dipaparkan dalam bentuk peta seluruh dunia. Namun hanya dengan data tersebut, Mustafa mampu memberikan dirinya lebih dari itu.

Skrin gergasi dibiarkan, Mustafa pergi kepada beberapa skrin kecil dan menjalankan diagnostik kepada signal yang dikeluarkan daripada peta tersebut. Selepas beberapa minit, signal daripada peta pada skrin gergasi itu, berjaya ditiru dan  kemudian difokuskan hanya kepada petanda yang mewakili Yuddh dan Deimonas.

Signal tersebut kemudiannya diletakkan pada sebuah skrin kecil, dan peta Malaysia yang lebih terperinci, keluar. Mustafa memasukkan beberapa kod, kemudian sistem komputernya mula bergerak mengesan signal tersebut di negara ini.

Selepas beberapa minit, lokasi Deimonas dan Yuddh terdedah.

Senyuman Mustafa melebar.

“Pukulan kedua.”

 

******

 

 

Atas bawah Yuddh memandang. Selepas menggeleng, dia bergerak terus ke arah sofa. Deimonas tidak dipedulikan.

“Kau hina aku ya?” Suara Deimonas meninggi.

Yuddh memerhatikan rumah mewah yang bakal menjadi tempat penginapannya di Malaysia ini. Luas. Reka dalamnya menarik. Lebih penting, Yuddh dapat melihat komputer yang lengkap dengan segala peralatannya terdapat di sudut ruang tamu tersebut. Benar, semua telah tersedia.

Yuddh bangkit dan bergerak ke situ. Kerusi ditarik dan punggung dilabuhkan. Komputer itu telah tersedia hidup. Yuddh terus melaksanakan kerja-kerjanya.

Deimonas dibiarkan begitu sahaja. Seakan tidak wujud.

“Kurang ajar!” Deimonas bergerak ke arah Yuddh. Apabila telah hampir, dia terus melepaskan tumbukan. Tetapi dielak bersahaja oleh Yuddh, dalam keadaan masih duduk. Yuddh kemudian memusingkan kerusinya, menendang kaki Deimonas, dan apabila lutut Deimonas bertemu dengan lantai, Yuddh melancarkan satu lagi tendangan, tetapi kali ini kakinya itu dihentikan sebelum menyentuh pipi Deimonas.

Deimonas membesarkan mata.

“Engkau tidak nampak keadaan diri kau?” Yuddh bersuara. Rendah, tetapi penuh ketegasan.

Separuh dari wajah Deimonas sudah terbakar. Kini meninggalkan parut yang hodoh. Kejelitaannya diragut. Begitu juga sebahagian besar tubuhnya. Sehingga hari ini, dia masih terasa kesakitan akibat terkena letupan dari jarak dekat tempoh hari. Dia masih belum sembuh sepenuhnya. Mungkin itu antara sebab mengapa Yuddh kelihatan lebih tangkas daripadanya hari ini.

Yuddh menurunkan kakinya. Kemudian menggerakkan kerusi, kembali menghadap komputer.

“Engkau tidak aku perlukan di sini. Berambus.”

Deimonas perlahan-lahan bangkit, dengan penuh rasa terhina. Berpaling.

“Engkau juga akan menerima nasib yang sama, bahkan mungkin lebih teruk.” Deimonas menyumpah.

“Heh.” Yuddh tidak pun memandang Deimonas.

Wanita itu keluar.

“Macam anjing kurap.” Yuddh menghina. Deimonas sebelum ini merupakan antara Pemburu yang digeruni, hatta di dalam Kesatuan Pemburu itu sendiri. Pakar serangan hendap.

Ketika itu, Deimonas, seperti kebanyakan Pemburu handal yang lain, cukup angkuh dan terlebih yakin akan kebolehan diri. Keangkuhan yang hanya bagus sekiranya dia kekal berjaya. Namun apabila kecelakaan menimpa diri, tiada siapa mahu merasa belas kasihan, bahkan bekerjasama dengannya.

“Ini peluang untuk aku membuktikan yang aku lebih baik.”

Yuddh memulakan gerak kerjanya.

Antara kepakaran utama Yuddh ialah penggodaman komputer. Dia boleh dikatakan sebagai penggodam terhebat di dalam Kesatuan Pemburu sekarang.

Ada kemungkinan, misi-misinya di Malaysia ini, akan selesai sebelum dia menjejakkan kaki keluar dari bilik ini.

Yuddh ketawa.

Rancangan di dalam kepalanya difikirkan solid.

Yuddh tidak dapat mengawal dirinya dari memikirkan apakah ganjaran yang bakal diperolehi, dan bagaimana statusnya di dalam Kesatuan Pemburu bakal melonjak, tatkala misi di Malaysia ini berjaya diselesaikan olehnya.

Lantas dia ketawa terbahak-bahak, sambil jari-jemari pantas menari di atas papan kekunci.

 

******

 

“Bakri,” Suara Fatihah kedengaran, membuatkan Bakri segera berpaling. Kuliah baru sahaja selesai, dan itu merupakan kuliah terakhir hari ini. Bakri mahu bergerak pulang, tetapi suara Fatihah menjadikan langkahannya terhenti.

“Ya?” Bakri mengangkat kening, menurunkan ‘earphone’.

Fatihah mendekatinya, ditemani Salma. Apabila jarak tinggal sekitar sedepa, mereka berhenti.

“Nah, terima kasih.” Payung pemberiannya tadi, dikembalikan.

“Ah,” Bakri tersenyum. Payung itu dicapai.

“Masih macam mendung ni. Tak apa ke? Awak tak ada payung kan?” Bakri memerhatikan payungnya sebentar, sebelum kembali memandang Fatihah.

“Tak apa, saya boleh tumpang payung Salma.” Fatihah menunjuk kepada rakannya itu. Salma sekadar tersenyum sambil mengangkat payung pada tangannya.

Bakri mengangguk-angguk. “Baiklah. Saya pergi dulu.” Bakri berpaling dan membuka langkah.

“Wow, tak sangka ya dia nampak ‘macho’ betul bila berbicara.” Salma menepuk-nepuk Fatihah.

“Dah yang kau tepuk aku macam tu kenapa?” Fatihah menyiku Salma, sambil matanya tidak lepas dari melihat Bakri.

“Yang kau masih duk tengok dia tu, kenapa?” Salma membalas.

Wajah Fatihah terasa panas, pantas dia berpaling.

“Ah, ini mesti dah jatuh hati ni.” Salma terus menyakat.

“Hish, mana ada.” Fatihah memuncungkan mulut.

Tanpa disedari mereka berdua, ketika ini, Bakri berpaling melihat Fatihah dan Salma, sebelum kembali memandang ke hadapan dan mengukir senyuman.

Entah kenapa, dia terasa senang hati dengan interaksi tersebut.

“Ah, apa yang aku fikirkan ni.” Bakri menegur dirinya sendiri.

Segera diambil ‘earphone’ yang terjuntai pada dadanya, untuk disumbatkan semula ke telinga. Tetapi tindakannya itu terhenti apabila sebuah kereta lamboghini muncul di atas jalan bersebelahan bangunan yang menempatkan dewan kuliahnya itu. Bakri mengerutkan dahi, kerana kereta itu menghalang laluannya. Dia perlu merentas jalan tersebut, pergi ke bangunan sebelah, sebelum boleh sampai ke jalan yang bakal membawanya keluar dari kawasan universiti ini.

Pintu kereta terbuka.

“Assalamu’alaikum!” Kelihatan Amir Faheem, bercermin mata hitam, dengan senyuman lebar, mengangkat tangan kepadanya dari tempat pemandu.

“Waalaikumussalam.” Dan Bakri dapat merasakan, semua yang berada di kawasan itu, sedang memerhatikannya.

“Marilah masuk.” Amir Fahim mempelawa.

Bakri segera masuk ke dalam kereta mewah tersebut. Mereka berjabat tangan.

“Tiba-tiba aja ni, bang.” Bakri melihat kepada Afam.

Afam tertawa. “Alah, habis kerja awal hari ni. Teringat pula Abang kepada Bakri. Jom pergi makan. Laparlah.”

Bakri tersenyum. “Jom.”

Dia kini membahasakan Afam sebagai abang. Walaupun ini baru kali ketiga mereka bersua muka, dia sudah banyak kali berbicara dengan Afam melalui internet dan telefon. Hampir setiap hari mereka bersembang.

“Tak beritahu kata nak datang.” Bakri bersuara, kereta kini telah keluar dari perkarangan universiti.

“Ah, tak ada dalam plan pun sebenarnya.”

“Eleh, ya ya je. Mesti Ayah suruh Abang datang kan?”

Afam tertawa. “Aduh, kantoi.” Sebelah tangan menepuk dahi.

Bakri tertawa melihat ulah Afam itu.

“Tapi sebenarnya sebab memang ada masa. Memang sentiasa ada hajat nak berjumpa dengan Bakri lagi. Tinggalnya, bila Ayah Bakri minta tolong tu, buat Abang rasa sekaranglah masanya.”

“Jadi, Abang dah tahu?”

Suasana di dalam kereta menjadi senyap seketika. Afam perlahan-lahan mengangguk.

“Saya cuma merasakan yang Ayah tidak                patut merahsiakan perkara tersebut daripada saya. Saya ada hak ke atas tubuh badan saya!” Bakri melepaskan pandangannya ke luar.

Mereka kini sudah masuk ke tengah kotaraya.

“Benar, tetapi mungkin Ayah Bakri risau sekiranya Bakri tidak mampu menerima kenyataan. Sedangkan dia sangat memerlukan Bakri di dalam perjuangan ini. Siapa lagi yang boleh dia harapkan?” Sebelah tangan Afam mencapai bahu Bakri.

Bakri menghela nafas lemah.

Tangan Afam kembali kepada stereng.

“Sebenarnya abang yakin yang Bakri pun faham dan mampu menerima kenyataan. Bakri sendiri sedar apa yang Bakri dan Ayah Bakri sedang usahakan, memerlukan pelbagai jenis pengorbanan. Mungkin ini adalah salah satu daripadanya.” Afam terus berbicara.

Mereka kini bergerak melepasi Masjid Utama. Suasana redup dek mendung, dan jalan raya masih kelihatan basah, sedikit berlecak.

Bakri menyilang tangan pada dada.

“Dahulu, Abang pun sering memarahi arwah ayah Abang. Abang tak faham apa yang dia lakukan sepanjang kehidupannya, sehingga sedikit sebanyak mengabaikan abang. Abang hidup dalam keadaan memberontak, dan cuba lari daripada hidup menyerupai ayah Abang itu. Hingga selepas kematiannya, Abang masih terasa seperti Ayah Abang menghantui kehidupan Abang, dengan memaksa Abang berkahwin dengan orang yang punya ciri-ciri yang disukainya, bukan disukai oleh Abang.” Panjang Afam membuka cerita.

Bakri mendengar khusyuk.

“Bahkan, Abang kemudian berada di tengah-tengah pertembungan antara kumpulan yang disertai oleh Ayah Abang dan seteru mereka. Sedar tidak sedar, Abang seakan-akan meneruskan perjuangan Ayah Abang. Boleh bayangkan tak?” Afam tertawa kecil. Mungkin ada memori yang melucukan, membuatkan dia tertawa ketika menceritakan kisahnya.

“Ketika dalam perjalanan itulah, Abang mula sedar apa yang sebenarnya Ayah abang usahakan. Kenapa dia terpaksa korbankan sebahagian besar masanya untuk kerja-kerjanya berbanding lebih banyak meluangkan masa bersama Abang.”

Bakri memandang Afam. Dia dapat mengesan ada nada sebak.

“Alhamdulillah, pengalaman duduk di dalam perjuangan tersebut, ditambah dengan isteri yang solehah, Abang dapat ubah kehidupan abang ke arah yang lebih baik.” Afam memandang Bakri. Nada bertukar ceria.

“Kadangkala bapa kita, disebabkan pelbagai sebab, tidak sempat menceritakan kepada kita semua perkara, Bakri. Namun yakinlah, mereka mempunyai niat yang baik. Belum terbuktikah lagi kasih sayang Ayah Bakri kepada Bakri, sehingga Bakri tidak dapat memaafkannya?” Afam menyambung.

Bakri memandang ke hadapan. Memerhatikan kenderaan yang dinaikinya mendekati sebuah restoran. Antara restoran ternama di Kotaraya ini. Restoran Tarbawi. Terkenal dengan makanannya yang halalan toyyiban, sedap, harga berpatutan, servis yang sangat baik, suasana yang sangat tenang.

“Kita makan di sini?”

“Yep.” Afam memakirkan kereta pada tempat kosong. Belum waktu balik kerja, jadi masih ada beberapa tempat kosong. Dikatakan restoran ini, sentiasa penuh dari waktu petang sehingga tengah malam.

Bakri keluar dari kenderaan. Bergerak mendekati Afam, sebelum kedua-dua mereka menuju ke tangga restoran.

“InsyaAllah pulang ini, saya akan berbicara dengan Ayah.” Perlahan Bakri bersuara.

Afam memaut bahu Bakri sambil tersenyum.

“Berkenaan masalah Bakri itu, jangan risau. Teknologi berkembang, dan mungkin, sekiranya kita terus sabar dan cekal, bersangka baik kepada Allah SWT, akan ada penyelesaiannya kelak. Siapa tahu.” Afam positif.

Bakri mengangguk, bersetuju.

Mereka sama-sama melangkah masuk ke Restoran Tarbawi.

“Fokus kepada perkara yang lebih besar. Dan memang biasanya Bakri, perkara yang lebih besar itu, membuatkan kita terpaksa mengabaikan kepentingan diri.” Bahu Bakri ditepuk beberapa kali, sebelum Afam menarik kerusi memersilakan Bakri untuk duduk terlebih dahulu.

“Assalamu’alaikum Tuan Amir Fahim.” Suara seorang pelayan wanita, bertudung labuh, berpakaian pelayan yang kemas, menyapa sebaik sahaja Afam melabuhkan punggung.

Afam menjawab salam sambil melemparkan senyuman manis.

Pesanan mereka diambil.

Perbualan mereka selepas itu keluar dari permasalahan Bakri, pergi kepada pelbagai isu yang lain.

 

******

 

“Bagaimana?”

“Bagaimana apa?”

“Pandangan engkau terhadap keadaan terkini kita.”

“Aku sudah nyatakan di dalam mesyuarat tempoh hari bukan? Kita perlu terus bergerak dalam keadaan tenang dan efisyen. Tidak boleh dikuasai emosi. Antara perkara terpenting yang kita patut belajar daripada kematian Jagat, ialah itu.”

Tertawa.

“Untuk setiap sesuatu, ada waktu untuk pertama kali.” Ayat itu disebut.

“Adakah engkau mahu mengejek aku?” Nadanya bertukar sedikit garang.

“Bukan, aku sekadar mengingatkan yang kita berhadapan dengan cabaran besar. Cabaran yang sepatutnya, boleh engkau hapuskan satu ketika dahulu.”

“Heh. Kita ada lebih banyak urusan lain yang lebih penting!”

“Tengok apa yang berlaku sekarang?!”

Senyap.

“Kita masih belum tewas, dan tiada siapa dapat menjamin sekiranya kita menumpukan 100% fokus kita padanya 15 tahun yang lepas, kita tidak akan mempunyai masalah sebegini pada hari ini!”

“Engkau tetap mahu berlagak tenang ya. Apa engkau pernah fikir nasib kita sekiranya semua ini tumbang?”

“Yang engkau seperti cacing kepanasan itu, mengapa?”

Senyap lagi.

“Aku tahu apa yang aku lakukan.”

“Terpulang. Aku sekadar mengingatkan. Engkau mungkin dapat berlagak tenang di hadapan kami semua. Tetapi aku tahu engkau sebenarnya sudah dapat melihat hasil daripada apa yang engkau tanam dahulu.”

“Aku tetap tidak akan mengubah apa-apa.”

Alat komunikasi dimatikan.

Dia termenung panjang. Alat komunikasi diangkat semula, dan kini dia menghubungi seseorang.

“Adzim.”

“Ya Tuan.”

“Aku perlukan engkau bersedia.”

“Baik.”

Dia perlu melakukan sesuatu.