in Karya

Suasana Lapangan Terbang Antabangsa Malaysia sesak dengan manusia. Merupakan antara lapangan terbang terbesar di dunia dan merekodkan jumlah penerbangan yang juga antara tertinggi. Keadaan ini dipacu oleh kepesatan sektor perlancongan dan juga perniagaan, yang menjadikan Malaysia antara lokasi terpenting dunia hari ini.

Lapangan Terbang ini telah menggantikan fungsi yang pernah disandang oleh KLIA & KLIA2, dengan sistem yang lebih cermat dan moden, keluasan yang lebih besar, keselesaan yang tinggi, serta pengurusan yang lebih profesional. Semenjak dirasmikan 7 tahun yang lepas, lapangan kapal terbang ini telah mendapat pelbagai anugerah berprestij di peringkat antarabangsa, tanda kompetensi yang diakui pelbagai pihak.

Seorang lelaki bertopi, berkulit gelap, rambut panjang mencecah bahu, bertubuh besar tetapi tegap, berjaket labuh berseluar jeans, baru sahaja keluar dari kawasan ketibaan untuk penerbangan antarabangsa bersama kebanyakan penumpang lain yang baru tiba dari pelbagai lokasi. Menariknya, dia satu-satunya individu yang tidak membawa apa-apa bagasi.

Tenang berjalan menyeluk kedua-dua tangan di jaket, merentasi hiruk-pikuk suara ramai yang kegembiraan bertemu kenalan atau keluarga masing-masing di kawasan tersebut.

Dia berjalan keluar, sambil sekali-sekala melirik keadaan sekeliling.

Sampai sahaja dia di luar, sudah dapat dilihat kenderaan mewah dan orang yang ditugaskan untuk menyambutnya. Perasan akan kehadirannya, seorang lelaki berkemeja penuh, terus membuka pintu belakang kereta.

“Silakan Tuan Yuddh.”

“Agen.” Dia menundukkan kepalanya sedikit, sambil memegang topi, sebagai tanda menghargai lelaki tersebut. Kemudian masuk ke dalam kereta.

Sebentar kemudian, dia telah jauh meninggalkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia.

“Tidak bawa apa-apa bagasi tuan?” Agen lelaki tersebut bertanya sambil pandangan kekal fokus pada jalanraya.

Yuddh tersenyum, tetapi kelihatan hambar sedikit. “Bukan nak bercuti kan?”

Agen lelaki tersebut tidak memberikan apa-apa reaksi. “Semua barang keperluan Tuan sudah disiapkan. Begitu juga tempat tinggal dan kenderaan jika diperlukan.”

Yuddh mengangguk. Memandang ke luar tingkap. Melihat suasana Malaysia. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke negara ini. Tetapi amat arif akan keadaannya, hasil kajian dan pembacaan, juga penelitian di alam maya. Tambah-tambah, beberapa taklimat daripada Kesatuan Pemburu, membuatkan dia tambah maklum. Seakan-akan dia merupakan anak watan negara ini.

“Jagat, Deimonas, apa yang sudah berlaku?” Terpacul ayat tersebut, perlahan.

Berita kematian Jagat dan kecederaan Deimonas telah tersebar meluas di dalam komuniti Kesatuan Pemburu.

Ketua mereka dalam keadaan marah yang teramat, walaupun ketika taklimat yang diperolehinya baru-baru ini, nada pemimpin Kesatuan Pemburu tersebut tetap kedengaran tenang. Tetapi bahang amarah dapat dirasai melalui keseriusan yang seperti meningkat beberapa kali ganda dari kebiasaan.

“Jika engkau gagal Yuddh, dan nyawa engkau belum melayang ketika itu, jangan anggap dirimu sebahagian daripada organisasi ini.”

Kematian Jagat sekitar dua minggu yang lalu bukanlah kematian pertama di dalam Kesatuan Pemburu. Tetapi ianya adalah kematian pertama di kalangan barisan Pemburu terhandal organisasi itu. Dan ini memberikan pukulan yang sangat kuat kepada kepimpinan organisasi.

Dia dipanggil keluar daripada misi sebelum ini di sempadan India & Pakistan, walaupun ianya belum selesai, untuk datang ke mari, menggalas misi yang sepatutnya disempurnakan Jagat dan Deimonas. Memberikan tolakan akhir untuk membawa huru-hara kepada pemerintahan di negara ini, dan juga menamatkan usaha mensabotaj misi tersebut daripada penyerang misteri.

Persoalannya sekarang, berdasarkan maklumat terkini yang diberikan Deimonas, penyerang itu berkomunikasi dengan seseorang, menggunakan gelaran ‘Ayah’. Tetapi penyerang tersebut digambarkan mempunyai kebolehan seperti seorang Pemburu. Ini menjadi masalah apabila jangkaan asal Kesatuan Pemburu ialah bahawa penyerang itu merupakan Muse, seorang Pemburu veteran yang bertindak keluar dari organisasi tersebut sekitar 20 tahun yang lepas. Pemburu tidak boleh melahirkan anak. Semua Pemburu adalah mandul. Jika dia tidak mempunyai hubungan dengan Muse, itu telah menjadi satu masalah yang baru, bahkan lebih besar. Siapa yang melatih dan menjadikannya seorang Pemburu? Apakah organisasi ini ada seorang lagi pengkhianat?

Dalam sejarah ribuan tahun Kesatuan Pemburu, Muse adalah pengkhianat yang pertama bagi organisasi tersebut. Kesatuan Pemburu tidak boleh mempunyai pengkhianat, kerana antara kekuatan utama organisasi itu ialah kerahsiaan, kemisterian. Itu yang menjadikan mereka tidak tertanding selama ini.

Kewujudan tentangan yang sedang dihadapi sekarang, sedikit sebanyak memberikan gangguan kepada kelancaran untuk mencapai matlamat yang dihajati Kesatuan.

Jika pergerakan mereka tidak terganggu, sekarang Malaysia sudah berada dalam keadaan huru-hara kerana ketidakstabilan politik. Ketidakstabilan politik akan membawa kelemahan kepada negara. Paling penting, ia juga dapat memberikan ruang yang banyak untuk intervensi-intervensi daripada kuasa besar yang lain, lebih-lebih lagi apabila boneka-boneka berjaya disusup ke dalam pemerintahan dan mereka yang mencari bantuan kuasa besar tersebut, untuk memastikan diri mereka kekal berkuasa.

Mereka telah berjaya melakukannya sebelum ini di pelbagai negara,  terutama di Timur Tengah.

Tetapi entah mengapa Malaysia ini, mungkin ada kesialan di tanah ini, nampak seperti sedikit liat untuk ditumbangkan.

Panjang Yuddh mengelamun. Kini mereka telah masuk ke tengah Kotaraya. Yuddh tidak dapat menyembunyikan rasa kagum dengan kemajuan yang ada di sini. Membacanya dari pelbagai sumber, tidak sama dengan melihat dengan mata kepala sendiri.

“Islam sebagai cara hidup” Ayat itu terkeluar daripada mulut Yuddh.

Itu apa yang dia dapat terjemahkan daripada Kotaraya ini.

Dia ada ilmu berkenaan Islam, bahkan dia antara Pemburu yang benar-benar mendalami agama tersebut. Yuddh tahu akan keseimbangan yang cuba dibawa oleh Islam dalam kehidupan seorang manusia. Mengejar apa yang mereka percaya sebagai akhirat, kehidupan selepas mati, namun pada masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab di atas dunia ini, sebagai khalifah, yakni pemimpin.

Kotaraya ini seakan-akan mempamerkan keseimbangan tersebut.

Yuddh semakin faham akan mengapa Kesatuan Pemburu benar-benar mahu mengalih hala tuju negara ini.

Negara ini negara yang benar pada bicaranya. Islam bukan hanya pada nama. Segala propaganda asing berkenaan keburukan Islam, kekolotan Islam, kezaliman Islam, keganasan Islam, ternyata dapat dibasmikan dengan melihat negara ini. Akhirnya tuduhan-tuduhan yang mampu dilemparkan kepada agama tersebut, hanya berbaki perkara-perkara yang tidak masuk akal, atau sekadar emosi kosong.

Ini satu kebahayaan.

“Kita sudah sampai, Tuan.”

Kereta diparkir pada tempat letak kereta di sebuah pangsapuri mewah.

“Tingkat 56 tuan. Cik Deimonas berada di sana.” Sekeping kad diletakkan pada telapak tangan Yuddh.

“Dia tinggal bersama aku?” Yuddh mengerutkan dahi. Tidak selesa. Dia gemar bersendirian.

Agen tersebut menggeleng. “Cik Deimonas sekadar ingin bertemu dengan Tuan.”

“Semua kelengkapan dan kemudahan untuk Tuan menyempurnakan misi, ada di dalam. Sebarang permintaan atau kecemasan, Tuan tahu bagaimana untuk berurusan.” Agen tersebut kembali ke dalam kenderaan.

Yuddh sekali lagi menundukkan kepalanya sedikit, sambil tangan memegang topi. Gaya kegemarannya sebagai tanda hormat kepada orang lain.

Yuddh menghantar Agen itu dengan pandangan.

Sebaik sahaja Agen itu keluar dan menghilang dari perkarangan Pangsapuri tersebut, Yuddh bergerak ke arah lif yang berada tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Misinya bermula!

 

*****

 

Bakri sedang menekuni buku On Justice And The Nature of Man karangan almarhum Syed Muhammad Naquib Al-Attas, di Perpustakaan Universiti Iman Ihsan. Telinganya dihiburkan oleh Florence + The Machine melalui lagu Breath of Life. Sekali sekala, kepalanya terangguk-angguk.

Sesekali, matanya memerhati sekeliling, melihat keadaan perpustakaan yang indah, luas, kemas dan teratur, bersama-sama sebilangan pelajar yang bertaburan di sana sini memanfaatkan bangunan penuh khazanah ilmu ini.

Ada masa, matanya jatuh pada tangan kanannya, yang hampir pulih sepenuhnya.

Ya, lama masa diambil untuk sembuh daripada tindakannya mematahkan tangan Jagat tempoh hari. Tulang pemburu itu seperti lebih keras dari besi.

Sepanjang dua minggu ini, dia langsung tidak boleh menggunakan tangan kanannya untuk apa-apa, hatta menulis, apatah lagi menggunakan senjata.

Bakri menghela nafas panjang. Bermonolog berkenaan tangan kanannya itu membuatkan dia teringat kepada sesuatu yang sepatutnya tidak mahu diingati.

Buku yang tidak terlalu tebal, namun padat dengan isi di hadapannya itu, sudah hampir tamat ditelaah. Sekitar dua minggu ini, entah sudah berapa buku habis dibacanya. Sepanjang waktu senggang antara kuliah, dia habiskan masa di perpustakaan. Di rumah, selain waktu latihan, dia banyak menghabiskan masa menelaah buku. Daripada mauduk-mauduk bertemakan spiritual, kepada politik, falsafah, teologi, astronomi hingga kepada sains dan teknologi.

Sebenarnya dia cuba menyibukkan fikiran dengan perkara-perkara lain, selain daripada hakikat yang baru diketahuinya.

“Jadi sebenarnya Bakri ni bukan anak ayah?” Suaranya meninggi.

                Bapanya membisu sambil terus tekun membalut tangannya.

                “Bila Ayah mahu kongsi berkenaan hal ini? Kenapa rahsiakan?”

                Balutan telah hampir sempurna, Bakri terus menarik tangannya itu. Sakit, tetapi ditahan oleh ego. Dia menyempurnakan balutan tersebut menggunakan tangan kiri.

                “Bakri, walau apa pun yang terjadi, Bakri tetap anak ayah.” Bahunya disentuh. Tetapi dia pantas menggerakkan tubuh, menyah pergi tangan bapanya itu.

                Namun bukan itu yang dimarahi sebenarnya. Perkara itu hanya mukaddimah kepada perkara yang lebih besar.

                “Bakri sebenarnya ialah anak kepada Ummi, hasil perkahwinan Ummi dengan seorang lelaki lain sebelum itu. Ayah tidak kongsikan hal ini kerana….”

                Lambat bapanya menyambung. Suasana pengkalan rahsia itu jadi senyap dan sunyi.

                Bakri mendengus kasar. “Ayah tak faham. Bakri tak ada masalah dengan siapa bapa Bakri. Ayah adalah satu-satunya Ayah yang Bakri ada semenjak Bakri mula boleh mengingat. Tetapi…”

                Bakri menarik nafas. “…Kenapa Ayah tidak beritahu, yang proses pembedahan menjadi Pemburu itu, boleh membuatkan kita menjadi mandul? Bagaimana dengan masa depan Bakri?”

                Dia dapat melihat bapanya tergamam.

                Lama mata mereka berdua bertentang. Tetapi kemudian bapanya kekal diam, sebelum berpaling dan meninggalkannya.

Semenjak malam itu, dia tidak berbicara banyak dengan bapanya. Sekadar berbasa basi apa yang perlu sahaja. Tambah-tambah dua minggu ini sunyi tanpa apa-apa misi. Mungkin kematian salah seorang Pemburu terhandal membuatkan Kesatuan Pemburu sedikit terkejut. Bapanya ada pernah berkata bahawa kejadian itu belum pernah berlaku selama sejarah organisasi tersebut.

Bakri menghela nafas.

Baru dia perasan yang dia tidak pernah memikirkan apa yang hendak dia lakukan sekiranya misi mereka berjaya. Apabila dia menyedari bahawa dirinya mandul, baru dia terfikir akan masa hadapannya. Terfikir akan dirinya. Berfikir sesuatu yang luar dari kehidupan biasanya yang sibuk dengan latihan, misi, dan pertembungan dengan Kesatuan Pemburu.

Tetapi apakah ada maknanya sekarang?

Dia sudah mandul. Sekiranya dia berhajat hendak membina keluarga pun, dia hanya akan menzalimi wanita yang dicintainya sahaja.

“Tetapi Ayah berkahwin dengan Ummi.” Hatinya bermonolog. Sebentar dia merenungi hakikat tersebut.

Namun mengetahui dirinya bakal tidak mempunyai zuriat daripada darah dagingnya sendiri, sedikit sebanyak membuatkan dirinya sedih. Mungkin kerana realiti itu membuatkan dia tertanya-tanya, sekiranya mereka berjaya memenangi pertarungan dengan Kesatuan Pemburu sekali pun, apa kehidupan selepas itu?

Kelihatan seperti kosong.

“Hah, sudah, serabut pula aku.” Bakri tersedar yang fokusnya sudah lari, dan dia kembali memikirkan masalah yang tidak mahu disentuhnya.

Helaian terakhir buku Syed Naquib Al-Attas ditamatkan. Buku ditutup, sebelum dibawa dan dipulangkan kembali ke tempatnya.

Bakri bergerak mencapai payung yang tadi dibiarkan pada sisi meja.

Dia perasan ada beberapa pelajar yang sedang berbisik-bisik mengenai dirinya. Muzik di telinga, yang kini sedang memainkan Iron dendangan Woodkid, tidak menghalang Bakri untuk menyedari apa yang pelajar-pelajar itu bualkan. Mereka sedang berbicara berkenaan dirinya yang membawa payung pada hari cerah, ditambah dengan jangkaan kaji cuaca yang menyatakan bahawa hari ini kawasan ini tidak akan dibasahi hujan.

Sebaik sahaja Bakri keluar dari ruang membaca, hujan pun turun dengan lebatnya.

Bakri tertawa kecil.

Antara kelebihan menjadi seorang Pemburu ialah kebolehan untuk menilik cuaca. Kerana kebiasaan mereka meneliti pergerakan angin, kelembapan, suhu, dan sebagainya, seorang Pemburu dapat menjangka dengan tepat cuaca pada satu-satu hari. Jangkaan kaji cuaca yang rata-rata menggunakan teknologi moden hari ini, ada kekurangannya. Akurasi tidak setinggi ketepatan pemerhatian secara langsung oleh seorang Pemburu.

“Allah, hujan? Macam mana nak pergi kuliah ni?” Kedengaran satu suara, yang asing bagi Bakri, tetapi bau yang hadir bersamanya membuatkan Bakri dapat menjangka siapa pemilik suara tersebut.

Bakri menoleh ke kanan. Kelihatan Fatihah sedang menyeluk beg mengeluarkan telefon bimbit. Jangkaan Bakri, dari ketiadaan Salma di sisi, Fatihah akan menghubungi teman rapatnya itu untuk mengadu berkenaan cuaca yang menghalang perjalanan.

Tetapi ketika Fatihah merapatkan alat telekomunikasi itu pada telinga, matanya dan mata Bakri bertembung. Membuatkan pelajar perempuan itu terpana.

Bakri sekadar tersengih. Dia tidak pernah berkomunikasi dengan sesiapa di universiti ini, melainkan dengan Afam yang hadir melawatnya tempoh hari.

Siapa sangka, komunikasi pertamanya adalah dengan seorang perempuan.

“Mahu pergi ke kuliah kan?” Bakri menyoal.

“Fatihah, Fatihah, kenapa kau ‘call’ ni?” Bakri dapat mendengar suara Salma dari corong suara telefon bimbit tersebut. Tetapi Fatihah kekal terkesima.

“Er, telefon?” Bakri mengingatkan.

“Ah, ah. Assalamu’alaikum Salma,” Fatihah berpaling sebentar. “Nanti aku call balik ya. Jumpa di dewan kuliah.”

Kemudian apabila Fatihah berpaling semula, Bakri masih setia di situ. Muka Fatihah merah padam.

“Em, ya.” Dia menjawab soalan Bakri sebentar tadi. “Kita sama kelas kan?” Fatihah tidak pasti sama ada Bakri perasan akan dirinya atau tidak.

“Ya.”

Argh, dia perasan la! Jerit hati Fatihah. Malu. Risau jika Bakri perasan juga yang dia selalu memerhatikan Bakri.

Bakri membuka payung.

“Silakan.” Bakri mempelawa Fatihah untuk bersama dengannya meredah hujan.

Mata Fatihah membesar. Apa? Jalan sama-sama bawah satu payung? Gila ke? Ini universiti Islam, kita pelajar jurusan agama, kita beragama Islam, selamba je dia ajak aku jalan bersama dengan dia bawah satu payung!

Bakri mengangkat kening. Seakan bertanya kepada Fatihah, mengapa dia masih tidak membuka langkah.

“Er, tak apalah. Tak manis lah begitu.” Fatihah menundukkan kepalanya. Wajahnya panas.

“Oh.” Bakri menepuk dahi. Dia teringat akan tahap ilmu serta budaya yang berlainan di sini.

Pada kefahaman Bakri, menuntut ilmu itu ialah satu kewajipan dan hujan sedang menjadi penghalang kepada kwajipan tersebut. Jalan sekarang yang ada untuk Fatihah hanyalah bersama dengannya di bawah satu payung, bergerak ke dewan kuliah. Itu sepatutnya dianggap sebagai rukhsah. Tambah-tambah, payungnya besar, dan dia pun tahu dia perlu menjaga dirinya agar tidak bersentuhan dengan Fatihah. Adakah Fatihah lebih rela terlepas kelas berbanding berjalan bersama dengannya di bawah satu payung ketika hujan yang tersangat lebat sebegini?

Jika sekadar renyai-renyai, masih boleh difahami kerelevanan pelawaanya ditolak.

Tetapi seperti agak komplikated mahu diterangkan kepada Fatihah sekarang.

“Kalau begitu tak mengapa. Ambil ni.” Bakri menghulurkan payung kepada pelajar perempuan itu.

Lambat-lambat Fatihah menyambut pemberian Bakri. Serba salah.

“Habis, awak nak pergi ke dewan kuliah macam mana?” Suara Fatihan sedikit meninggi kerana mahu melawan bunyi hujan yang lebat, diselangi guruh dan petir.

Bakri memandang ke luar bangunan.

Dia mengukir senyuman dan berpaling semula kepada Fatihah.

“Tak mengapa. Saya orang lelaki.” Terus Bakri menarik penutup kepalanya, dan berlari sepantas mungkin, meredah hujan lebat.

Sebentar sahaja, Bakri sudah hilang di celah-celah hujan.

Fatihah terpinga-pinga dengan apa yang baru berlaku. Pertama, ini pertama kali dia berkomunikasi secara langsung dengan Bakri. Kedua, Bakri mempelawanya untuk berjalan bersama di bawah satu payung. Ketiga, apabila ditolak, Bakri menyerahkan payungnya kepada Fatihah, dan kemudian berlari meredah hujan.

Fatihah menegakkan payung tersebut di atas kepala.

Membuka langkah bergerak merentas hujan, dengan minda berfikir panjang akan apa yang baru terjadi.

“Macam tak percaya.”

 

*****

 

Nazir melekatkan keratan akhbar pada dinding. Keratan akhbar berkenaan letupan di atas bangunan sebuah syarikat di Kotaraya, menyertai banyak keratan akhbar serta bahan yang lain seperti kertas dan gambar, yang tertampal pada dinding pejabatnya itu. Semua bahan-bahan tersebut, dihubungkan dengan tali berwarna merah, yang bersimpang siur antara satu sama lain.

Inilah papan yang mengumpulkan keseluruhan penyiasatan Nazir terhadap organisasi rahsia yang masih belum diketahui akan halnya yang sebenar.

Keratan-keratan akhbar yang melaporkan pengeboman di Alor Star, Kota Bharu, dan Johor Bahru turut ada, bersama gambar Jeneral Tentera Darat, gambar senjata unik yang berjaya ditangkap semasa nyawanya terancam tempoh hari, juga beberapa gambar individu dari alam politik dan ketenteraan. Laporan-laporan media asing yang cuba menggambarkan keadaan Malaysia yang mula terancam, juga ancaman yang datang kononnya daripada pihak pengganas, turut berada di papan tersebut.

Hujan lebat di luar tidak dihiraukan.

Nazir fokus pada papan tersebut, cuba mencari hubungan.

Intuisinya kuat menyatakan bahawa kejadian baru-baru ini ada kaitan dengan kumpulan yang sama.

Cuma kali ini, tiada nyawa terkorban.

“Anomali?”

Nazir meletakkan tangan pada dagu. Memerah otak untuk lebih berfikir. Perjalanan penyiasatannya sebelum-sebelum ini, peristiwa-peristiwa yang dilalui….

Nazir berhenti pada memori malam dia diserang. Kejadian di atas bumbung Itu bukan anomali. Malam dia diserang, juga tiada kematian. Dia yang sepatutnya dibunuh pada malam tersebut, selamat!

“Terdapat dua penyerang pada malam tersebut.” Dia memerhati gambar pejabatnya yang porak-peranda selepas kejadian tersebut.

“Seorang cuba membunuh aku.” Matanya bergalih kepada gambar senjata yang ditinggalkan penyerang di dalam pejabatnya itu.

“Ada seorang lagi yang menyerang penyerang itu, dari jarak jauh.” Nazir memandang ke sebelah kiri, melihat kepada tingkap yang pada malam itu menjadi mangsa enam das tembakan.

Ada kemungkinan kejadian di atas bumbung baru-baru ini, merupakan tempat dua penyerang yang sama bertembung? Kerana itu tiada kemalangan nyawa. Atau mungkin sahaja, letupan itu terhasil adalah kerana kedua-dua pihak itu bertarung sesama sendiri?

“Bermakna, ada pihak sedang melancarkan perang terhadap organisasi rahsia ini?” Nazir segera mencapai pena penanda. Diletakkan tanda soal pada gambar senjata itu.

Dia mengeluarkan telefon pintar, aplikasi nota dipilih, kemudian dia menaip beberapa perkara berkait jangkaannya ini. Ditutupi dengan ayat: “Perlu mencari mereka – pihak yang memerangi organisasi rahsia.”

Telefon pintar itu kembali dimasukkan ke dalam poket.

Papan di hadapannya ditelaah kembali.

Nafas panjang dihela.

“Sesuatu yang besar sedang berlaku di hadapan kita. Tinggal kita tidak dapat memerhatikannya, kerana semuanya tersembunyi.”

Nazir ada teorinya. Sebagaimana yangd iterangkan kepada Detektif Wong, dia percaya ada tangan ghaib yang sedang cuba membawa huru-hara di dalam kehidupan rakyat Malaysia. Dia percaya kejadian ini semua adalah untuk menggoyahkan kerajaan hari ini yang semakin hari semakin digeruni kuasa-kuasa besar dunia, dan disegani kebanyakan negara dunia ke-3.

Antara agenda terdekat ialah pembebasan Palestin. Dijangka, dalam setahun dua ini, Masjidil Aqsa akan berjaya dibebaskan, sekatan ke atas tanah Palestin akan dapat diangkat sepenuhnya, dan Israel terpaksa berpuas hati dengan sebahagian tanah yang dimiliki mereka.

Ketika negara-negara arab lain menikus, dan juga porak-peranda akibat masalah domestik dan antarabangsa masing-masing, Malaysia maju ke hadapan menjadi juara, bahkan bukan sekadar berkata-kata tetapi juga memberikan implementasi realistik, mengubah padang perbincangan dan mencapai resolusi.

Israel sekarang sedang menerima tekanan hebat. Amerika pula sedang kuat dilobi untuk tunduk mempertahankan tuntutan Israel agar dapat terus berkuasa ke atas Palestin, berbuat sesuka hati mereka. Namun Malaysia bertegas untuk bergerak merealisasikan ‘two state solution’, di mana kerajaan Israel dan Kerajaan Palestin bakal tertubuh sebelah menyebelah.

Ramai yang menentang cadangan ini, ianya merupakan cadangan lama yang popular satu ketika dahulu, tetapi tidak mendapat sambutan selayaknya. Sebahagian orang hanya galak berbincang dari segi relevannya cadangan tersebut, tetapi tiada tindakan realistik dilaksanakan. Sebahagian yang lain pula menentang, kerana tidak redha dengan tanah yang diambil oleh Israel dan meyakini bahawa semua tanah itu wajib dipulangkan semula.

Malaysia kini kembali membawa penyelesaian tersebut, namun berbeza cara pembawaannya. Malaysia terlebih dahulu pergi kepada Ghazzah, dan memberikan perlindungan secara langsung. Ghazzah diangkat sebagai negara angkat Malaysia. Dengan kekuatan ketenteraan dan ekonomi Malaysia yang terkini, Israel dan kuasa besar lain seperti Amerika, hanya mampu menyalak menyelar tindakan Malaysia yang dikatakan masuk campur urusan negara luar.

Tetapi Malaysia tidak berundur. Ghazzah dibina semula, bahkan diberikan pertahanan selayaknya. Dengan satu syarat, rakyat Ghazzah mesti berhenti mengangkat senjata. Urusan pertahanan diserahkan sepenuhnya kepada Malaysia. Rakyat Ghazzah diminta memberikan tumpuan kepada pembinaan infrastruktur dan masyarakat. Pada masa yang sama, Malaysia memberikan amaran keras kepada Israel bahawa menyerang Ghazzah bermakna sedang menyerang Malaysia, dan Malaysia tidak teragak-agak untuk menggerakkan seluruh bala tenteranya untuk melakukan serangan balas. Buat pertama kali, kawasan itu aman tanpa peperangan.

Keadaan tersebut menjemput kepada kemakmuran. Perlahan-lahan, kawasan di bawah jagaan Malaysia berkembang dan berkembang sehingga ke Tebing Barat. Bukan dimenangi dengan peperangan, tetapi dengan siri-siri perbincangan, tuntutan, desakan, dalam erti kata lain, diplomasi. Malaysia satu-satunya negara yang berani bertegas dengan Israel. Kebanyakan perbincangan, dimenangi oleh Malaysia dan rakyat Palestin. Banyak tanah berjaya diambil semula.

Dan kini proses di tanah perjuangan tersebut telah sampai ke peringkat final. Yakni permintaan untuk dibebaskan sepenuhnya pengurusan Masjidil Aqsa kepada rakyat Palestin. Israel perlu berpuas hati dengan hanya apa yang mereka miliki selepas itu. Kedua-dua kerajaan, yakni Kerajaan Palestin dan Israel perlu berusaha untuk hidup secara harmoni, sebelah menyebalah, dan situasi di sana akan diperhati rapat oleh Malaysia.

Tidak lama lagi, itu akan menjadi realiti.

Nazir menganggap itu antara perkara besar dalam sepanjang sejarah dunia ini. Dan mungkin antara petanda bahawa kekuasaan Amerika dan sekutu-sekutunya sudah semakin rapuh serta era mereka sudah berada di penghujung.

Mungkin ini menakutkan banyak pihak.

Pihak-pihak yang hidup berkiblatkan dunia, kuasa, kepentingan diri.

Malaysia dilihat sebagai ancaman.

Antara kunci kejayaan Malaysia adalah kurang kebergantungan dengan negara asing. Ekonomi yang utuh. Kekuatan tentera yang ampuh. Kestabilan Politik dan masalah domestik yang kurang adalah faktor utama Malaysia mampu naik menjadi kuasa besar yang digeruni. Cubaan untuk melakukan embargo pernah dilakukan oleh Amerika dan Negara-negara Eropah, tetapi Malaysia ketika itu telah berjaya berdiri di atas kaki sendiri. Embargo tidak memberikan apa-apa kesan kecuali sedikit. Bahkan, embargo tersebut membuatkan Amerika dan negara-negara Eropah kerugian besar kerana ketiadaan Malaysia sebagai tempat pelaburan dan perniagaan.

Ketika tempoh embargo tersebut, Malaysia membina hubungan lebih rapat dengan Asia Tenggara. Kini Asia Tenggara juga telah membangun maju. Jika dahulu ‘negara barat’ seakan-akan satu istilah yang gah, mendepani tamadun manusia, contoh masyarakat maju, kini tidak lagi. Asia Tenggara juga telah mula meningkat naik, bahkan istilah ‘Negara Tenggara’ pula timbul dan digunakan untuk menggambarkan ketamadunan, kemodenan, ketinggian budaya dan sebagainya. Itu semua diterajui Malaysia.

Perubahan-perubahan ini, walaupun tidak berlaku secara drastik, tetap ianya berlaku secara pantas. Kurang lebih dalam masa sedekad.

Ada yang membandingkan perubahan ini dengan perubahan yang pernah dibawa oleh Reccep Tayyib Erdogan kepada Turki satu masa dahulu. Tetapi ada penganalisa politik yang menyatakan bahawa perubahan yang berlaku di Malaysia, berkali ganda lebih baik lagi.

Maka organisasi rahsia ini mungkin mahu mengeluarkan Malaysia dari haluan tersebut. Malaysia perlu dilemahkan, perlu dihalang dari terus menjadi kuasa besar dunia. Sebab itu berlaku banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini.

Tinggalnya Nazir masih belum mendapat apa-apa bukti kukuh untuk membawa hal ini kepada pihak berkuasa. Jika sekadar diangkat hal ini tanpa bukti yang kukuh, dia hanya akan dituduh sebagai gila konspirasi. Seperti sebahagian orang yang sikit-sikit menuding jari kepada zionis, illuminati dan freemason apabila mahu membicarakan berkenaan perjalanan dunia.

Dia perlukan bukti yang kukuh.

Persoalannya bagaimana?

Bagaimana dia mahu mencari pihak yang menentang organisasi rahsia ini? Sedang organisasi tersebut pun tidak diketahuinya. Dari mana dia patut bermula?

Garu kepala.

“Allah…” Sekali lagi nafas panjang dilepaskan. Seakan menjadi simbolik harapan dirinya yang mahu bebanan ini ditinggalkan daripada pundak. Mahu segera diselesaikan.

“Assalamu’alaikum.” Pintu pejabatnya dibuka.

“Waalaikumussalam.” Nazir, sedikit terkejut, terkeluar dari lamunan, memerhati siapa yang hadir.

Seorang lelaki, kemas tubuhnya, walaupun kelihatan dari wajah individu tersebut, seperti telah berusia. Berjaket labuh. Ada tanda-tanda baru meredah hujan.

“Er…” Nazir tidak pasti bagaimana hendak memulakan perbualan, tetapi lelaki tersebut segera mengangkat tangan menyua salam.

Segera Nazir menjabat tangan lelaki tersebut.

“Amiri Alimi. Ketua Inteligen Kerajaan. Bekas Ketua Skuad Elit Gerak Khas.” Lelaki itu memperkenalkan diri.

Mata Nazir membesar. Lelaki ini tidak pernah dijumpai dan dilihat di mana-mana, tetapi namanya sering kedengaran. Bahkan hampir sahaja kisah mengenainya menjadi seperti mitos.

Dengar kata, dia ialah orang pertama yang mengenakan sut Hero.

“Saya datang atas saranan Detektif Wong.”

“Ah, ya. Saya Nazir.”

“Ya, saya tahu itu.” Amiri bergerak masuk, sambil tangan diletakkan ke belakang pinggang. Dia berhenti di hadapan papan penuh maklumat di bilik Nazir itu. Seketika, suasana di dalam bilik itu hanya diisi dengan bunyi hujan yang masih lebat di luar sana. Nazir sendiri tidak mampu berkata apa-apa. Masih dalam keadaan tidak percaya Ketua Inteligen Kerajaan sedang berada di hadapannya.

Ketua Inteligen tidak pernah muncul di media. Tidak pernah bertemu wartawan. Yang sering memberi komen, taklimat dan penerangan hanyalah wakil. Inteligen Kerajaan adalah antara organisasi paling rahsia di negara ini.

Nazir tidak pasti mengapa Amiri mendedahkan diri kepadanya, dan apa tujuannya berada di sini. Tetapi Nazir yakin, apabila nama Detektif Wong disebut, ianya berkaitan dengan penyiasatannya.

Amiri memandang Nazir. Senyuman terukir.

“Rajin.” Ibu jarinya menunjuk pada papan yang kini dibelakanginya.

Nazir sekadar tersenyum. Tidak tahu hendak bereaksi bagaimana apabila mendapat pujian tersebut.

“Saya ada misi untuk anda Saudara Nazir.” Mata Amiri brubah tajam.

“Misi? Saya?” Nazir terkejut sambil menunjuk kepada dirinya.

Apakah dia sedang bermimpi?

Inteligen Kerajaan mahu memberikan misi kepadanya?

Apa yang sedang berlaku ini?