in Karya

“Assalamu’alaikum wa rahmatullah,” Wajah digerakkan ke kanan.

“Assalamu’alaikum wa rahmatullah,” Wajah digerakkan ke kiri.

Solat Maghrib tamat, namun Mustafa kekal dalam keadaan duduk tahiyat akhir. Selepas berwirid seketika, tangan diangkat sedikit, mulut terkumat-kamit dengan doa. Meminta kekuatan, meminta kecekalan, meminta agar dipermudahkan segala urusan dan diangkat segala masalah. Meminta diberikan kemenangan. Meminta dihujani negara dan dunia ini dengan keamanan.

Selepas doa diaminkan, dia meraup wajah, sebelum berpaling.

Bakri sedang duduk bersila, sambil tangan terhulur untuk bersalaman. Disambut tangan anaknya itu. Spontan Bakri tunduk dan mencium tangannya.

“Bagaimana kesihatan Bakri?” Mustafa bertanya, walaupun dia sebenarnya sudah dapat mengagak.

“Alhamdulillah.” Bakri mengepal-ngepal kedua-dua penumbuk. “InsyaAllah sudah kembali optimum. Tetapi Ayah sudah tahu bukan?” Bakri memandangnya sambil tersengih.

Mustafa mengangguk. Dia perasan Bakri telah aktif berlatih sebelum ke masjid Subuh tadi. Pergerakan anak terunanya itu kembali tangkas. Tambah-tambah, sepanjang seminggu setengah ini, dia tidak duduk diam sahaja. Setiap hari berusaha mengembalikan kecergasan dan kesihatan. Bakri ternyata bukan anak yang malas.

Mereka bangun dari tempat beribadah. Kemudian sama-sama bergerak mendekati salah satu rak buku, yang terdapat di dalam bilik ini.  Bilik ini hanya dipenuhi almari dan buku-buku. Bilik pembacaan dan bilik untuk beribadah. Mustafa selalu berseloroh menyatakan bahawa nama bilik ini ialah bilik ‘Rohani & Minda’.

Namun di dalam bilik yang sama, sebenarnya terdapat bilik rahsia. Mustafa menarik sedikit salah sebuah buku yang terdapat pada almari yang didekati mereka. Almari itu kemuidan bergerak perlahan-lahan masuk ke dalam dinding, sebelum berpisah ke kiri dan kanan, menzahirkan sebuah lif. Mustafa dan Bakri sama-sama masuk ke dalam lif tersebut. Almari kembali terkatup, dan mereka turun ke pengkalan rahsia yang terdapat di bawah rumah.

Pintu lif kembali terbuka.

Bakri terus bergerak ke meja pertukangan senjata. Sementara dia tidak berapa sihat, dia banyak menghabiskan masa di meja tersebut. Bertukang menempa senjata.

“Bagaimana Arashi?” Mustafa sedikit melaung, kerana dia bergerak ke arah berlawanan, yakni pergi menuju ke skrin gergasi.

Bakri mengangkat senapang penembak tepat miliknya. Dia telah menambah beberapa perkara pada senjata tersebut. Antaranya adalah supaya senapang itu dapat digunakan sebagai senjata api jarak dekat. Laras yang panjang, kini boleh dipendekkan, dan automatik senjata itu dapat bertindak dengan baik untuk jarak dekat.

“InsyaAllah, bagus.” Bakri membelek-belek senjatanya, sambil menjawab pertanyaan Mustafa.

Kemudian dia mengisi senjata itu dengan peluru. Untuk peluru jarak dekat, ada magazin di bahagian bawah, manakala untuk peluru jarak jauh, ada ruang untuk memasukkannya di bahagian atas.

“Senang. Tak perlu bawa banyak-banyak senjata api.” Bakri tersenyum sendiri. Dia memasukkan senjata yang dinamakan Arashi itu ke dalam sarung, sebelum digalas sarung itu.

Arashi bermaksud petir di dalam bahasa Jepun. Sama dengan makna kod Pemburunya – Barq. Bakri memang berminat dengan petir dan menganggap itu adalah antara makhluk ciptaan Allah SWT yang unik.

Di atas meja itu juga terdapat beberapa silinder kecil pelbagai warna. Minuman herba istimewa untuk menambah kelebihan seorang Pemburu. Semuanya dibuat oleh Bakri sendiri. Berdekatan barisan silinder tersebut, terdapat beberapa jenis sfera kecil, dikumpulkan mengikut kelas. Semua itu ialah bom. Ada bom untuk menidurkan lawan, ada yang bertindak sebagai letupan membunuh, ada yang mengeluarkan racun, dan ada yang sekadar asap hitam untuk menghalang penglihatan.

Mustafa telah mendidik Bakri untuk menghasilkan itu semua sendiri.

“Seorang Pemburu mestilah mahir selok belok persenjataan. Dia bukan sahaja boleh menggunakan persekitarannya sebagain senjata, bahkan dia juga mampu menempa sendiri senjatanya. Senjata Pemburu pula unik, sesuai dengan kelebihan seorang Pemburu.”

Pesanan yang sudah tertanam kemas di dalam diri Bakri.

Semenjak dia dididik dengan ilmu tempaan senjata, dia memang tidak henti-henti membina senjata idamannya. Arashi adalah yang paling dia sukai.

Bakri memasukkan semua itu ke dalam kantung yang terapat pada sebuah tali pinggang yang turut berada di atas meja. Tali pinggang ini bukan tali pinggang biasa. Kantung-kantung tersebut hanya boleh terbuka sekiranya jari Bakri yang menyentuhnya. Ini untuk mengelakkan bahan-bahan di dalamnya dicuri sekiranya tali pinggang tersebut jatuh ke tangan musuh atau orang lain. Dan sekiranya ada yang berjaya membuka kantung-kantung tersebut selain menggunakan jari Bakri, tali pinggang itu telah diset dengan sistem ‘self-destruct’, sebagai perangkap.

Tali pinggang tersebut disarung pada tubuhnya, diikuti dengan jaket. Pada jaket tersebut terdapat beberapa bilah pisau sederhana besar, terletak pada bahagian dada.

Bakri kemudian mendekati bahagian yang menempatkan pelbagai senjata. Sepucuk pistol serba hitam diambil dan disisipkan pada sarung di belakang pingang.

Kemudian dia bergerak ke arah Mustafa.

“Dah bersedia?” Mustafa merapatkan tubuh pada kerusi dengan tangan bersilang pada dada. Matanya fokus pada skrin gergasi yang kini mempamerkan pergerakan Jagat.

“Kali ini dia sedang buat apa?” Bakri memerhatikan titik yang mewikili diri Jagat, sedang bergerak di tengah-tengah Kotaraya.

“Tiada apa-apa. Mungkin menanti arahan yang seterusnya.”

“Jadi apa misi kita malam ini?”

“Berikan pukulan pertama kepada Kesatuan Pemburu.”

Bakri memandang bapanya.

“Bersedia?” Mustafa memandang Bakri. Pandangan mereka bertaut.

Bakri mengangguk. Mustafa bangun dari kerusi. Tangan kanan menepuk bahu Bakri.

“Apa cara sekali pun, misi malam ini perlu berjaya. Jangan lepaskan dia, dan jangan tumbang dengan apa-apa halangan yang muncul di tengah perjalanan.”

“Semua akan lebih sukar selepas ini.” Bakri membuka langkah.

“Kepada Allah kita meminta semuanya dipermudah.” Mustafa menitip pesan.

Bakri tersenyum, dan terus bergerak ke arah terowong rahsia yang terdapat pada pengkalan tersebut. Terowong itu akan membawanya keluar terus dari kawasan perumahan ini, menghampiri kotaraya.

Jarak yang jauh tidak menjadi masalah bagi seorang Pemburu. Kekuatan fizikal yang ada, ditambah dengan kepantasan pergerakan mereka, menjadikan mereka lebih selesa tidak menggunakan apa-apa kenderaan atau pengangkutan awam. Ini menjadikan pergerakan mereka lebih sukar untuk dijejaki. Namun itu semua bergantung kepada strategi seorang Pemburu. Menggunakan kenderaan dan pengangkutan awam atau tidak, itu semua bergantung kepada strategi yang telah diatur untuk menyelesaikan satu-satu misi.

Yang menjadikan seorang Pemburu itu menakutkan ialah, Pemburu tidak mempunyai corak yang satu. Mereka mampu menjalankan misi dengan pelbagai cara dan gaya. Hingga orang tidak dapat menjangka bahawa sesuatu tragedi itu dilakukan oleh organisasi atau orang yang sama.

Malam ini, Bakri akan memberikan segala-galanya.

 

******

 

Jagat bergerak ditengah-tengah lautan manusia. Pelbagai rencam dan sikap, tidak dihiraukan Pemburu itu. Dia sedang menuju ke sebuah tanah lapang, berdekatan dengan Masjid Utama Kotaraya ini. Masjid tersebut merupakan masjid terbesar di Malaysia, juga antara mercu tanda utama bagi Kotaraya yang sedang pesat membangun.

Dia perlu melihat sendiri kawasan tersebut, kerana beberapa hari lagi, Perdana Menteri Malaysia dijadualkan akan membuat ucapan untuk seluruh rakyat jelata. Perdana Menteri Malaysia hari ini adalah Perdana Menteri yang proaktif. Dia sering kelihatan turun menyantuni rakyat jelata. Setiap dua minggu sekali, ada satu daerah akan dilawatinya. Target yang disasarkan ialah selepas 6 tahun dia dipilih menjadi Perdana Menteri, dia telah menjejakkan kaki ke semua daerah di negara ini, melihat sendiri keadaan marhain dan mengambil berat terhadap pembangunan dan infrastruktur di semua tempat tersebut. Kini, setahun selepas memenangi Pilihan Raya yang berjaya menyambung tempoh pemerintahannya bagi penggal kedua, dia telah berjaya memenuhi sasaran tersebut.

Kotaraya ini adalah daerah terakhir di dalam jadual lawatannya. Dijadikan terakhir kerana pusat pemerintahan terletak di kotaraya ini. Perjalanannya melawati semua daerah lain terlebih dahulu adalah sebagai simbolik bahawa pemerintahannya adalah pemerintahan yang mengutamakan rakyat. Dan apa yang menggusarkan banyak pihak ialah, simbolik tersebut bukan sekadar simbolik di tangan Perdana Menteri Malaysia yang sekarang ini. Dia benar-benar ‘walk the talk’. Malaysia kelihatan dipacu pantas ke arah yang lebih bertamadun, makmur dan moden di bawah pemerintahannya.

Tetapi apa yang ramai tidak sedar, namun disedari oleh Kesatuan Pemburu, hasil pintasan maklumat dan gerak kerja pengintipan, kejayaan Perdana Menteri ini bukan hakikatnya berpunca daripada dia. Dia hanya salah seorang indivdu, yang percaya dengan penuh mendalam, dan bekerja seikhlas hati, untuk mencapai satu sasaran yang sangat besar.

Jagat masih ingat ketika dia diberikan taklimat berkenaan misinya di Malaysia ini.

                “Mereka percaya bahawa mereka sedang mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada perhambaan terhadap Tuhan semua manusia, yakni apa yang mereka panggil sebagai Allah. Mereka percaya bahawa mereka sedang mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia, kepada keluasan akhirat. Daripada kezaliman agama-agama, yakni agama yang sekadar menggunakan agama untuk memeras dan mengawal rakyat bagi kepentingan pihak-pihak tertentu, kepada keadilan Islam, yang mereka percaya mampu mengembalikan kemerdekaan minda dan jiwa kepada manusia sejagat.”

                Jagat mendengar dengan tekun suara yang keluar daripada komputer ribanya itu. Skrin mempaparkan satu bentuk tubuh, hitam tidak berwajah, tidak juga menunjukkan corak pakaian, yang sedang memberikan takilimat kepadanya.

                “Malaysia sedang menuju ke arah menjadi antara kuasa besar dunia, hasil daripada usaha sekumpulan orang yang percaya dengan agenda tersebut. Agenda yang bakal menganggu gerak kerja dan kepentingan-kepentingan kita. Mengikut jangkaan, sekiranya dibiarkan perancangan mereka berjalan lancar, mereka akan berjaya dalam sekitar 5-10 tahun mendatang. Itu kita tidak boleh benarkan.”

                Kemudian Jagat dibentangkan dengan misi-misinya.

                Antara yang perlu Jagat lakukan di Malaysia ialah – pembunuhan rawak dan letupan rawak, supaya memberikan impresi bahawa Malaysia menerima ancaman domestik dan antarabangsa. Kemudian misinya paling utama ialah mengganggu  pertumbuhan ekonomi negara, juga membawa huru-hara politik dengan melakukan pembunuhan kepada Gabenor Negara, sambil mempalitkan kejadian itu kepada Perdana Menteri, dengan bukti-bukti rekaan yang bakal ditanam.

                Setelah menghadam misi-misinya, Jagat menekan ‘spacebar’, dan maklumat-maklumat tersebut hilang dari skrin komputernya.

                “Pulang ke Malaysia nampaknya.”

Kesatuan Pemburu sudah pernah menghantar agen-agennya di negara ini satu masa dahulu. Jagat antara orang yang direkrut oleh agen-agen yang datang ketika itu. Dan ketika itu, mereka berjaya. Pemimpin-pemimpin korup, rakyat hidup tertekan pada masa yang sama kehidupan dipenuhi dengan perkara yang melalaikan. Memang sistem yang diperturunkan adalah untuk membuatkan mereka hidup seperti robot. Tidak sempat berfikir untuk berjuang memerdekakan rohani dan minda, berjuang untuk kehidupan yang lebih baik. Setelah itu, negara ini ditinggalkan dan tidak lagi menjadi fokus Kesatuan Pemburu.

Tetapi semenjak 10 tahun yang lalu, negara ini kembali bangkit.

Rahsianya?

Pergerakan bernama INSANI yang telah berjaya mencetak ramai peribadi berkualiti. Peribadi-peribadi itu bergerak merubah keadaan, di sebalik tema melaksanakan kebajikan. Bermula dari sekadar sebuah NGO, mereka menjadi tempat mengasuh peribadi-peribadi yang baik. Perubahan pesat mula berlaku sedikit demi sedikit di pelbagai lapangan. Ekonomi, politik, teknologi, ketenteraan, pendidikan, kesihatan dan medan-medan lain, mengalami perubahan perlahan-lahan tetapi berterusan, sekaligus membawa kepada perubahan mentaliti dan sikap masyarakat hari ini.

Perdana Menteri hari ini, datang daripada organisasi tersebut. Begitu juga Perdana Menteri yang sebelumnya. Ini yang tidak berapa disedari oleh kebanyakan orang biasa. Kejayaan Perdana Menteri hari ini, hakikatnya bermula daripada Perdana Menteri sebelumya. Pertama kali dalam sejarah, apabila Perdana Menteri berubah di negara ini, Perdana Menteri yang seterusnya telah menyambung gerak kerja dan kejayaan yang ditempa pemimpin sebelumnya. Seakan-akan mereka dua orang yang sama.

Di dalam organisasi tersebut, ini digelar ‘wihdatul fikr’, kesatuan pemikiran. Kerana mereka dibentuk dan diadun dengan idelogi serta prinsip yang sama. Berlaku pula kesatuan semangat dan sikap mahu bersatu padu membangunkan ummat ini.

Maka mereka bergerak konsisten.

Konsistensi sebegini, adalah ancaman bagi Kesatuan Pemburu. Ini dibuktikan dengan Malaysia benar-benar berjaya bergerak menjadi antara kuasa besar dunia pada hari ini.

Pun begitu sejauh mana usaha manusia, tidak ada yang sempurna.

Negara ini masih ada peluang untuk diubah haluannya.

Dalam jutaan rakyatnya, bukan semua berminat dengan perubahan terkini. Bukan semua mengikuti perubahan arus perdana ini. Masih ada di sana sini penjenayah, kongsi gelap, orang-orang yang tidak mahu berubah, orang-orang yang merasakan perubahan baru ini mengongkong kehidupan mereka, rimas dengan perubahan terkini ini. Ditambah pula dengan ancaman daripada luar, negara-negara kuasa besar yang tidak senang dengan kemaraan Malaysia di lapangan antarabangsa. Malaysia sedang diasak kuat daripada luar, melalui media antarabangsa, ekonomi, juga perbahasan-perbahasan intelektual. Malaysia sedang cuba dicorakkan untuk mendapat akibat seperti yang telah berlaku kepada negara-negara Timur Tengah sebelum ini.

Cabaran utama ialah, majoriti masyarakat Malaysia kukuh teguh bersama negara dan kepimpinannya. Tambah-tambah keteguhan itu pula bukan kerana fanatik buta, tetapi kerana benar-benar memahami perjuangan yang diangkat oleh kerajaan. Ditambah lagi dengan kepimpinan Malaysia itu sendiri, adalah manusia-manusia yang jujur dan bebas korupsi serta skandal buruk. Ini membuatkan ancaman luar seperti tidak memberikan kesan signifikan terhadap Malaysia.

Tugas Jagat untuk membuat perubahan dari dalam.

Segelintir rakyat yang masih tidak dapat menerima perubahan terkini Malaysia, akan menjadi katalis kepada apa yang Kesatuan Pemburu usahakan di Malaysia ini. Mereka yang akan menyemarakkan api yang dihidupkan oleh Jagat kelak. Dan ini terbukti apabila Jagat berjaya melaksanakan misi pengeboman dan pembunuhan rawak. Dapat dirasakan yang segelintir rakyat itu tidak lagi duduk diam, bahkan sudah mula berani membuat seruan supaya pemerintahan ditukar agar negara kembali aman.

Misi Jagat telah separuh siap.

Apa yang diperlukan ialah ‘peristiwa besar’ untuk menolak negara ini kepada keadaan domestik yang kacau bilau.

Jika kawalan terhadap Gabenor Bank Negara telah bertambah ketat, dan memustahilkan Jagat untuk menjayakan ‘sketsa’ konspirasi yang telah dirancang, maka perancangan perlu ditukar. Kini sasarannya bergalih kepada Perdana Menteri. Beberapa hari ini dia telah berusaha menanam bukti bahawa Gabenor Bank Negara berkonspirasi untuk menukar Perdana Menteri, atas alasan bahawa keamanan negara semakin terganggu, akibat pembunuhan siang hari yang meningkat mendadak dan beberapa kes pengeboman yang telah mengorbankan sebilangan nyawa.

Perdana Menteri memang telah sedia dikawal ketat. Tetapi untuk Perdana Menteri, dia hanya perlu melakukan tembakan jarak jauh. Cukup dengan cerita ‘pembunuh upahan’ telah dibayar oleh proksi Gabenor Bank Negara untuk melakukan kerja sebegini, setelah usaha dan perbincangan untuk mencapai kata sepakat, gagal. Kehilangan kepimpinan berkaliber dalam keadaan sedemikian rupa, ditambah dengan gosip-gosip konspirasi, sudah cukup untuk membawa negara ini ke dalam keadaan kacau bilau.

Pasukan Hero daripada Skuad Elit Gerak Khas pun tidak akan mampu menjangka apatah lagi menghalang tembakan sejauh belasan kilometer yang bakal dilakukannya beberapa hari nanti.

Sebab itu pada malam ini, untuk melakukan tembakan sejauh itu, yang mana bukan mudah juga untuk Jagat, dia perlu melalui sendiri perjalanan peluru yang bakal dilepaskan. Maka semenjak tadi, dia berjalan dari tempat dia bakal melepaskan tembakan, ke tempat ini.

Dia telah sampai ke padang di hadapan Masjid Utama. Masjid itu amat besar. Sesuai untuk menampung kehadiran warga kotaraya yang ramai.

Jagat memerhati sekeliling. Kosong dan sunyi kawasan tanah lapang ini, selain daripada pentas besar yang telah disediakan. Nampaknya beberapa peralatan lain untuk program tersebut belum tiba. Namun dari situ, dia boleh melihat masjid yang cerah kubahnya, juga orang ramai yang pelbagai ragam di dalam masjid. Tetapi tiada yang perasan akan kehadiran Jagat di tanah lapang tersebut kerana tanah lapang itu sangat besar, membuatkan jarak antara Jagat dan masjid tidak pendek. Tinggal Jagat mampu memerhatikan mereka dan mendengar suara orang-orang di dalam masjid hanya kerana dia seorang Pemburu.

Jagat menilai tiupan angin. Kemudian memandang ke arah tempat dia bakal melakukan tembakan. Seterusnya pentas besar berdekatan diperhati dengan teliti, menjangka posisi Perdana Menteri berucap. Walaupun Jagat tidak membawa apa-apa alatan untuk mengukur, dia tetap berjaya melakukan kira-kira dari segi jarak, ketinggian dan lain-lain hanya dengan melihat sahaja. Antara kemahiran asas bagi seorang Pemburu.

Seorang Pemburu telah dilatih agar tidak bergantung harap kepada teknologi semata-mata. Pemerhatian langsung juga adalah perlu. Lebih-lebih lagi untuk melakukan tembakan sejauh belasan kilometer.

Setelah agak berpuas hati, Jagat berpaling dan bergerak mahu meninggalkan kawasan tersebut.

Tetapi sebaik sahaja dia berpaling, terasa ada lintasan angin yang sangat deras, teramat pantas melepasi pipinya. Matanya spontan terbelalak, sebelum tubuh seperti masuk ke dalam mod ‘auto-pilot’, berguling menjauhi tempat dia berdiri tadi.

Satu tembakan jarak jauh telah dilepaskan.

Jagat tidak berhenti berguling, segera mendekatkan dirinya dengan pentas, terus berlindung di bawah tempat tersebut.

Tetapi Jagat tetap tidak menghentikan pergerakannya. Dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama, hingga menjadikannya sasaran mudah. Untuk tembakan jarak jauh, penembak memerlukan masa untuk memastikan sasarannya. Jagat tidak akan memberikan masa tersebut. Jagat terus bergerak keluar dari belakang pentas, berlari ke arah pokok-pokok yang terdapat di tepi kawasan lapang tersebut.

“Kurang ajar.” Getus Jagat.

Kini dia berlari pantas meninggalkan kawasan tersebut, dengan dilindungi pokok-pokok. Tetapi dia tidak berlari secara terus. Dia melakukan zig zag secara rawak, supaya pergerakannya tidak dapat dijangka. Supaya penyerangnya tidak mampu mengagak di mana dia berada seterusnya, dan tembakan tepat gagal dilancarkan.

Jagat tidak merancang untuk melarikan diri.

Dia mahu menamatkan semuanya malam ini.

Dan dia sebenarnya telah bersedia!

Jagat kini berada di jalan raya, bunyi hon kedengaran apabila Jagat melompat di atas kereta dan kemudian menggelungsur pada bawah lori yang berada di sebelah kenderaan tersebut. Suasana jalan jadi gegak gempita dengan jeritan orang dan hon kenderaan apabila Jagat melintas pula ke jalan kenderaan sedang bergerak pantas. Namun dek ketangkasan tubu seorang Pemburu, Jagat berjaya menyelinap ke dalam sebuah Kafe di seberang jalan.

“Jaga kau.” Jagat mengepal kedua-dua penumbuk. Mindanya pantas mengatur rancangan untuk menyerang balas.

Dia keluar melalui pintu belakang dan cuba mengesan tempat tembakan.

Kemudian dia mengambil salah satu silinder yang tergantung pada tali pinggangnya, cecair di dalamnya dihirup, urat-urat naik pada wajah, sebelum dia bergerak sepantas yang mungkin ke arah sasarannya.

Malam ini, dia akan mengakhiri perkara ini.

Maruahnya akan terbela.

Dia tidak akan biarkan malam ini berakhir tanpa keputusan tersebut!

 

******

 

“Ya Allah!” Bakri menumbuk lantai bumbung bangunan tempat dia melepaskan tembakan jarak jauh sebentar tadi. Geram.

Pada saat akhir, ketika hampir sahaja peluru itu mahu menembusi kepala Jagat, lelaki itu berpaling. Tembakan Bakri tidak mengenai sasaran. Dan Jagat kemudiannya bijak untuk membuatkan Bakri gagal melepaskan tembakan seterusnya, dengan bergerak secara rawak, kemudian pergi ke kawasan orang ramai.

Jagat kini sudah keluar dari pandangan Bakri.

“Itulah, yakin sangat. Ish aku ni.” Bakri seakan memarahi diri. Dia menjangka sesuatu bakal berlaku.

“Barq, lain kali baca bismillah dulu sebelum lepaskan tembakan.” Suara bapanya kedengaran pada alat telekomunikasi.

“Kan dah kata,” Itulah yang dijangkakan oleh Bakri.

“Jadi sekarang bagaimana Ayah?”

“Ayah? Menarik.” Suara yang asing mencelah sebelum Bakri sempat mendengar respon Mustafa. Matanya sempat menangkap kelibat tubuh seorang wanita, berpakaian serba hitam, dengan rambut terikat kemas, sebelum tangannya spontan mengambil bom asap dan melemparnya ke lantai.

Asap hitam pekat berkepul-kepul keluar. Tetapi Bakri tidak berlari, dia terus mara ke arah perempuan itu. Pistol di belakang pinggang disambar, dan tembakan dilepaskan.

“Budak, jangan hina aku sebegitu.” Belakang lutut Bakri disepak. Membuatkannya terjelepuk.

“Racun aku tempoh hari tak membunuh kau ya? Nasib baik.” Kedua-dua tangan perempuan itu pantas mengambil dua bilah pisau daripada sisi pinggangnya.

“Deimonas?” Bakri mengerutkan dahi, tetapi tidak terlupa untuk terus berguling, mengelak dari ditikam dua senjata tajam tersebut.

Terus dilepaskan tembakan. Tetapi tembakannya itu hanya dapat mengenai sebilah pisau sahaja, membuatkannya terlepas dari pegangan Deimonas. Manakala Deimonas kemudiannya terus menghilang di balik asap.

“Ish, silap aku lepaskan bom asap ni.” Bakri mengkritik dirinya.

Memang dia tidak menjangka yang posisinya boleh diketahui secepat itu. Jadi dia sedikit kaget dengan kehadiran Deimonas, menyebabkan reaksinya sedikit caca merba. Inilah bezanya apabila bertarung secara langsung dengan barisan Pemburu Terhandal.

Bom asap itu memang direka khas untuk bertarung dengan Pemburu. Selain kepekatannya yang tinggi hingga menghalang penglihatan, ianya juga mampu menyekat deria bau dan pendengaran seorang Pemburu buat seketika.

Kini seakan-akan keadaan itu telah memberikan kekurangan kepada dirinya sendiri, berbanding Deimonas. Nampak seperti Pemburu wanita itu jelas telah terlatih bertarung dalam keadaan sebegini. Dia perlu keluar dari keadaan ini.

Bakri menghayun pistolnya, ke kiri dan ke kanan sambil melepaskan tembakan. Dia sengaja menembak rambang dengan harapan tembakan lencongnya akan terkena pada Deimonas. Tetapi sebaik sahaja dia menghayunkan tangannya ke kanan, pergerakan tangannya dihalang oleh sesuatu. Deimonas telah menangkap tangan tersebut, dan kini bilah pisaunya sedang pantas digerakkan untuk mengelar urat nadi Bakri.

Tangan kiri Bakri pantas mencengkam tangan kanan Deimonas yang sedang berusaha untuk mengelar pergelangan tangannya.

Mereka kaku seketika. Pergerakan jadi terkunci.

“Kau hanya amatur yang menyangka dirinya punya kelebihan yang besar!” Deimonas menggores senyuman sinis. Bersahaja. Sambil memaksa juga tangan kanannya bergerak mendekati pergelangan tangan Bakri.

Bakri berusaha keras untuk menggagalkan usaha Deimonas itu. Tetapi ternyata wanita itu punya kekuatan yang tidak biasa. Sedikit demi sedikit, bilah pisaunya semakin menghampiri.

Deimonas tertawa melihat Bakri berhempas pulas mengumpul tenaga untuk melawan pergerakannya itu.

“Satu rahsia, pisau ini beracun. Cukup aku lukakan sedikit sahaja, dan….” Deimonas meniup angin pada pipi Bakri. Provokasi untuk membuat Bakri lebih hilang kawalan.

“Jangan terlalu yakin makcik!” Bakri mencengkam dengan lebih kuat tangan kanan Deimonas, dan kemudian mengerah sepenuh tenaga menggerakkan kedua-dua belah tangannya, mencampak Deimonas dari belakang ke hadapan.

Kesempatan ini tidak dibazirkan oleh Bakri. Dia segera berlari dan melompat ke bangunan sebelah. Keluar dari kepulan asap yang memberikan kekurangan kepada pergerakannya. Sebaik sahaja dia mendarat, segera Bakri berguling dan berlindung di balik dinding berdekatan. Strateginya itu tepat, kerana selepas itu dua anak panah mendarat di tempat dia menjejakkan kaki sebentar tadi. Jika dia terlambat sebentar tadi, dia sudah menjadi mayat sekarang.

“Barq? Barq?” Suara bapanya kedengaran tinggi. Dia yakin bapanya telah berusaha berkomunikasi dengannya semenjak tadi lagi. Tinggal kesengitan keadaan menghalang dirinya memberikan tumpuan kepada bapanya itu. “Apa dah berlaku? Kamera tak dapat merakam keadaan. Seakan-akan ada yang menghalang.”

“Deimonas. Deimonas ada di sini!” Bakri menyusun kembali pernafasan. Namun tidak sempat dia mengatur pernafasannya dengan baik, matanya sempat menangkap dua biji sfera jatuh berdekatan dengan tempat dia berlindung.

Bom tidur!

Terus dia hentikan pernafasannya, dan keluar dari perlindungan sambil menghayunkan tangan, melepaskan tembakan. Tembakannya bergerak pantas, melencong ke arah di mana Deimonas sepatutnya berada.

Bunyi dentingan kedengaran.

Dua anak panah pula keluar dari kepulan asap hitam di bangunan sebelah. Bakri mengelak lagi, berguling ke arah satu lagi dinding berdekatan.

Deimonas nyata bukan calang-calang Pemburu. Tidak hairan wanita ini berada dalam barisan Pemburu Terhandal. Apa yang perlu dilakukan?

Tambahan, Arashi masih berada di atas bangunan tadi. Dia tidak boleh meninggalkan senjatanya itu.

“Ya Allah!” Bakri terasa geram dengan keadaan sekarang.

Ketika ini, Bakri dapat menangkap satu bau. Matanya membesar. Kerana dia tahu dugaannya bertambah.

“Budak jahanam!” Satu suara memetir. Bukan suara Deimonas.

Jagat!

Bakri memejamkan mata. “La hawla wala quwwata illa billah.” Dua Pemburu terhandal serentak? Sekaligus keadaan tempoh hari terimbas kembali. Ketika itu dia ada jalan untuk melarikan diri. Bagaimana sekarang?

“Kau celaka Deimonas. Kau jadikan aku umpan ya?” Suara Jagat kedengaran lagi. Tetapi Bakri tidak cuba mengintip. Boleh jadi ianya perangkap, dan apabila dia ingin melihat, nyawanya akan terus melayang.

“Aku tahu semenjak kejadian di rumah Gabenor tempoh hari, yang tubuh engkau telah diletakkan alat pengesan. Kau tahu kita sudah tidak boleh berbuat apa-apa tatkala alat itu sudah berada di dalam badan kita. Jadi aku ambil sahajalah kesempatan itu. Engkau sepatutnya berterima kasih. Kalau bukan kerana aku, budak ini telah lama meninggalkan tempat ini.” Suara Deimonas, tidak tinggi, tetapi ada nada sedikit menghina.

“Sekarang.” Bakri memberitahu dirinya. Karung pada tali pinggang dibuka, diambilnya beberapa butif sfera beracun, dan dicampak ke arah lawan.

Kemudian Bakri terus keluar dari perlindungan, bergerak untuk keluar dari keadaan ini dengan pergi ke tingkat bawah melalui tangga yang terdapat di atas bumbung ini. Tetapi pergerakannya terhalang dek beberapa das tembakan lencong, yang kita sedang melayang ke arahnya.

Bakri tunduk segera. Tembakan-tembakan itu mengenai dinding. Segera dia berguling untuk melepaskan tembakan balas. Tetapi Jagat sudah berada di atas bangunan yang sama dengannya. Kaki Jagat melayang mengenai wajah. Bakri terseret ke tepi.

“Engkau…” Jagat hendak melepaskan geram. Dendamnya menggunung terhadap budak di hadapannya itu. Tangannya segera mencekik leher Bakri, dan mengangkat pemuda itu. “….dah banyak menyusahkan aku.” Cengkaman Jagat semakin kuat. Bakri tidak dapat bernafas. Pistolnya terpaksa dilepaskan, dan kini kedua-dua belah tangan Bakri sedang memegang tangan Jagat yang sedang mencekiknya itu.

Mata Bakri, walaupun dirinya sedang dalam keperitan, dapat menangkap kelibat Deimonas, di bangunan tadi. Asap hitam yang dilepaskannya telah beransur hilang. Wanita itu sedang siaga bersama busur dan anak panahnya. Seakan-akan bersedia sekiranya cengkaman Jagat terlepas.

Mata Jagat terjegil. Hatinya bersorak puas apabila melihat Bakri terseksa.

Tangan Bakri menepuk-nepuk tangan Jagat. Bakri kelihatan berhempas pulas mahu menyelamatkan diri. Tepukan itu terasa semakin lama semakin lemah.

“Budak, engkau siapa?” Jagat bertanya.

Muka Bakri semakin merah.

“Muse mustahil mempunyai anak. Kami para Pemburu tidak boleh mempunyai anak. Jadi engkau siapa? Apa hubungan engkau dengan Muse hah? Atau engkau tidak kenal Muse? Dari mana engkau belajar kemahiran-kemahirannya?”

Ayat itu membuatkan Bakri tersentak. Dia tidak pernah diberitahu akan perkara itu.

Kini tangan Bakri menepuk-nepuk siku Jagat. Semakin lama semakin lemah.

“Tak mengapa, tak mengapa. Engkau hanya perlu mati sahaja malam ini. Jika benar engkau ada kaitan dengan Muse, dia mesti keluar dari persembunyian dengan kematian engkau, atau dia akan menghilangkan diri dan tidak berani menyusahkan kami lagi!”

“Jagat, cepat bunuh dia. Apa yang engkau tunggu lagi? Habiskan misi kita!” Deimonas melaung. Dia rimas melihat Jagat melewat-lewatkan pembunuhan pemuda itu.

Pemburu sepatutnya tidak beremosi dalam melaksanakan misi. Setiap misi perlu diselesaikan dengan cepat dan bersih, mengelakkan apa-apa konsikuensi negatif.

Tetapi Jagat malam ini dirasuk marah yang melampau.

Jagat memalingkan wajah melihat Deimonas. “Kau di…”

“Jagat!” Deimonas meninggikan suara.

Inilah masanya!

Bakri mengumpulkan seluruh tenaga yang berbaki, meluruskan jari jemari di tangan kanan, memasukkan ibu jari ke ruang telapak, dan menghayun sekuat hati tangan tersebut ke arah siku Jagat.

Bunyi tulang yang patah kedengaran kuat. Cengkamannya pada leher Bakri terlepas spontan.

Deimonas spontan juga melepaskan panahannya. Tetapi Bakri telah membuat perkiraan untuk itu, dan berlindung menggunakan tubuh Jagat, yang masih belum sempat mengerang kesakitan pun.

Semuanya berlaku sepantas kilat.

Tiga anak panah menembusi belakang tubuh Pemburu itu.

Deimonas terkesima. Tidak sesekali mampu menarik balik apa yang sedang berlaku.

Dalam keadaan susah payah dek kesakitan yang teramat sangat, Bakri tetap memaksa tubuhnya bergerak pantas, mencapai pistol di lantai dan menghabiskan semua pelurunya ke arah Deimonas, sambil berundur ke belakang, mendekati tangga.

Deimonas kelam kabut mengangkat busur mempertahankan diri sambil mengelak tembakan-tembakan Bakri, terundur beberapa langkah.

Apabila dia menurunkan busurnya, Bakri sudah berada di tangga.

Deimonas melihat Jagat yang kini telah terbaring kaku.

Tetapi kemudian matanya kembali kepada Bakri, dan matanya terbelalak.

“Selamat tinggal Arashi.” Bakri berbisik sambil memerhatikan Deimonas. Tangan kanan menekan punat.

Satu letupan yang kuat berlaku.

Senapang Arashi milik Bakri meletup dan letupan itu telah mengenai sebahagian tubuh Deimonas, serta membuatkan pemburu wanita itu terpelanting ke hujung bangunan.

Deimonas memaksa dirinya untuk segera bangkit walaupun dalam keadaan parah.

Bakri telah hilang.

Nafas Deimonas turun naik. Api yang marak memanaskan suasana, tambah membuat jiwanya membara.

Sungguh tak dijangka.

Segalanya berlaku dengan pantas.

 

******

 

“Barq?” Suara Mustafa kedengaran.

“Tak mengapa Ayah. Kita jumpa di Pengkalan. Misi berjaya.” Kemudian Bakri mematikan alat telekomunikasi. Mengeluarkannya dari telinga, menyimpan alat itu ke dalam salah satu karungnya, sebelum mengeluarkan kord alat pendengar dan menyumbatkan ke dalam telinga.

Dia perlu keluar sebentar dari tekanan keadaan tadi.

Hampir sahaja nyawanya melayang.

Mujur emosi menguasai Jagat.

Di tengah keributan penghuni bangunan tempat dia berada, yang kelam-kabut akibat letupan tadi, Bakri mengambil kesempatan menghilangkan jejaknya agar tidak dapat diikuti, jika Deimonas masih mahu mengejarnya selepas kejadian tadi.

Penutup kepala diangkat, menutup sebahagian wajah.

Telinga dipekakkan dengan suara Dan daripada Imagine Dragons, mendendangkan Shots, sambil tangan kirinya memegang bahagian tekak dek kerana kesakitan yang masih dirasai. Manakala tangan kanannya terasa seperti sedang berdenyut-denyut sakit. Bukan satu perkara yang mudah untuk mematahkan tulang seorang Pemburu, apatah lagi Pemburu yang handal.

Mujur.

Kepada Allah jualah dikembalikan rasa syukur kerana dilepaskan dari ujian tadi.

Apa pula selepas ini?