Novel: Sinergi – Cerita 15 – Itu Saudara Kita
Cerita 15: Itu Saudara Kita
Penghujung Disember. Rata-rata orang sibuk bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir yang akan dijalankan pada awal Januari. Sama kondisi ini pada pelajar Universiti Yarmouk, mahupun pelajar di JUST. Jika ke Masjid Universiti Yarmouk, akan kelihatan ramai pelajar menghabiskan masa lapang di sana untuk mengulang kaji, memandangkan masjid adalah kawasan yang amat menenangkan.
Rumah Irfan juga mengalami demam peperiksaan ini. Semua bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir dengan bersungguh-sungguh. Justeru, pada musim-musim peperiksaan begini, biasanya semua akan berkubu di dalam bilik. Cuma kadangkala, Irfan akan menziarahi bilik-bilik sahabatnya dan membuatkan mereka kopi bagi membantu menghangatkan studi mereka. Tambahan, studi di musim sejuk memang menduga.
“Ah, nak buatkan mereka kopi” Irfan mengeliat. Dia baru selesai menghabiskan satu kitab. Peperiksaan untuknya bukanlah sesuatu yang terpenting. Pada Irfan, ujian hanyalah untuk menguji tahap kefahaman. Oleh kerana itu, Irfan tidak mengamalkan studi kerana ujian. Irfan studi kerana Allah SWT, untuk mengaut ilmu dan kefahaman agar mampu digunakan di kemudian hari. Sebab itu studinya sistematik dan teratur.
“Tengok internet sekejap la” Irfan melewati lap topnya. Membuka tetingkap mozilla firefox dan menekan akhbar Jordan yang terkenal – Al-Ghard.
Selain membaca akhbar malaysia, Irfan juga membaca akhbar-akhbar di Jordan, Arab Saudi, dan Mesir. Semuanya untuk menambah pengetahuan dan kefahaman. Bagi Irfan, da’ie perlu bernas dan memahami keadaan. Barulah dakwah boleh dijalankan dengan lancar.
Sebaik sahaja muka utama laman web Al-Ghard muncul, Irfan tergamam.
“Betul ke ni?” Irfan mula membaca berita yang padanya amat besar itu.
Selepas selesai membaca baris terakhir, Irfan menutup mulutnya kerana sangat terkejut.
“MasyaAllah…”
Tarikh 26 Disember 2009, Israel mengumumkan untuk menghapuskan Ghazza, satu-satunya daerah Palestin yang masih bebas dan dikuasi rakyat palestin. Hal ini kerana, perjanjian damai sebelum itu telah tamat. Tambahan, Israel memang kebuluran untuk menumbangkan Hamas, agar mereka mampu meruntuhkan Masjidil Aqsa dan membina Haikal Sulaiman.
Serangan pertama, 300 rakyat Palestin telah meninggal dunia.
Mengalir air mata Irfan. Segera dia bergerak ke bilik-bilik sahabatnya memberitahu.
Selepas itu, kedengaran bising-bising di atas bangunan Abu Muhammad. Faiz Hamzah turun memasuki rumah Irfan.
“Palestin kena serang weh. 300 orang mati” Dia memberitahu. Nampaknya ramai yang membuka Al-Ghard malam ini.
Irfan mengangguk sedih.
Sahabat keimanan sedang terluka. Yang beriman semua merasa.
******
“Mereka tanpa belas telah membunuh sahabat-sahabat kita, wanita-wanita kita, anak-anak kita yang kecil dan orang-orang tua kita yang tidak berkemampuan. Semalam, 300 orang telah syahid di tangan yahudi yang terlaknat. Kita berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita, kepada saudara-saudara kita atas hentaman penderhaka-penderhaka ini”
Kemudian Ahmad Djuburi duduk. Dia tadinya berdiri di atas kerusi dewan, sebelum pensyarah memulakan syarahan. Dia meminta izin kepada Dr Mahmud Malkawi untuk mengambil sedikit masa. Dr Mahmud Malkawi, antara ulama’ terkenal Jordan khusyuk mendengar, malah dapat dilihat air mata yang mengalir di pipinya dari tempat duduk Irfan.
“Luka hati kita” Irfan memandang sahabatnya, Nik. Nik mengangguk.
“Mana tak terluka. Semua yang beriman adalah saudara kita.”
Keimanan hakikatnya adalah paksi penghubung semua orang Islam di seluruh dunia. Sebanyak mana pun perbezaan ummat Islam di negara lain,ummat Islam yang berbangsa lain, ummat Islam dalam benua yang lain, ummat Islam dalam mazhab yang lain, mereka semua tidak akan berkhilaf dalam satu perkara. Yakni keimanan.
Agama mereka tetap Islam. Tuhan mereka tetap Allah. Rasul mereka tetap Rasulullah SAW. Rukun iman mereka sama. Rukun Islam mereka sama. Kiblat mereka satu dan sama. Tujuan hidup mereka serupa. Destinasi yang mereka tuju juga tidak berbeza. Kefahaman terhadap hubungan keimanan inilah kunci kepada kesatuan ummat Islam. Cuma hari ini, keimanan telah dilemahkan, maka hubungan persaudaraan terlemah jua.
Dr Mahmud Malkawi memulakan kelas dengan mengeji kebaculan pemimpin-pemimpin negara arab yang tidak bertindak apa-apa. Malah dia menghamburkan rasa dukanya terhadap Mesir dan Jordan yang tidak membuka sempadan untuk sebarang bantuan.
“Pagi tadi, sebelum ke kuliah, aku ada tengok berita. Tahu Perdana Menteri Mesir kata apa?” Irfan berbisik dengan Nik.
“Dia kata apa?”
“Pakestin adalah negara lain, Mesir adalah negara lain”
“MasyaAllah. Mana ada negara itu lain, negara ini lain dalam Islam? Semuanya terhubung atas keimanan. Negara yang kita ada adalah negara keimanan. Mana ada beza-beza macam itu sekali? Ini sudah merosakkan hubungan persaudaraan dalam keimanan” Nik tidak mampu menerima apa yang didengarinya.
“Inilah akibatnya apabila keimanan tidak diasuh. Langsung tidak bergetar dengan penderitaan saudara kita. Sekarang tinggal Ghazza sahaja. Kalau hancur Ghazza ini, habislah Palestin” Irfan mengepal penumbuk. Rasa geram.
“Jadi apa kita boleh buat?” Nik menghela nafas. Dr Mahmud Malkawi masih tidak memasuki mata pelajaran mereka. Dr Mahmud Malkawi terus bercerita berkenaan penderitaan Palestin.
“Sebab itu Nik, kita kena islah diri dan masyarakat kita. Itu sahaja jalan nak membantu Palestin dengan sebenar-benar bantuan. Selain kita beri bantuan wang, pakaian dan makanan. Kita kena bantu mereka dengan melahirkan lebih ramai orang yang faham masalah Palestin ini. Ini bukan masalah kenegaraan hakikatnya. Ini masalah keimanan”
Nik mengangguk-angguk. Kata-kata Irfan benar. Isu Palestin hakikatnya adalah hasil dari kelemahan keimanan manusia. Jika masyarakat dunia memahami konsep keimanan yang sebenar kepada Allah SWT, pastinya Palestin itu sudah terbebas lama. Tetapi, hukum Allah ditinggalkan, kehidupan barat diagungkan, hidup sendiri-sendiri, akhirnya saudara ditinggalkan.
“Palestin ni aku rasa, satu teguran daripada Allah SWT untuk kita semua. Kita semua yang tak sedar-sedar lagi akan betapa lemahnya keimanan kita” Nik membuat satu kesimpulan.
Irfan tidak menyangkal. Benar. Satu teguran. Tetapi teguran ini tidak pernah diambil berat oleh majoriti insan.
“Kita la yang kena mula membina keimanan ini dalam kehidupan insan” Irfan berazam. Dia sudah melihat kepentingan keimanan semenjak berada di sekolah menengah. Dia sudah faham kenapa dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW, Allah berikan fasa pembinaan di Makkah selama 13 tahun. 3 tahun lebih lama dari fasa pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah.
Hal ini kerana, keimanan itu penting.
Dengan keimanan sahaja, semua manusia mampu bersatu. Tidak kira negara, tidak kira mazhab.
“Mungkin PERMAI pun akan buat sesuatu” Nik menenangkan Irfan.
Irfan mengangguk. “Itu semestinya”
*******
Walaupun musim peperiksaan akhir semakin mendekat, PERMAI telah mengadakan program berkenaan Palestin. Program itu adalah lebih kepada membicarakan perihal keimanan yang merupakan kunci kepada pembebasan Palestin.
Momentum yang terwujud dari peristiwa penyerangan besar-besaran Israel ke atas Palestin, mengalahkan kebisingan berkenaan tahun baru yang mendatang. Semua perhatian lebih kepada Palestin. Di masjid-masjid sekarang, setiap waktu solat akan dibacakan doa qunut, memohon pertolongan Allah SWT. Setiap waktu solat, bukan ketika subuh sahaja seperti di Malaysia. Khutbah-khutbah juga berbicara berkenaan perkara ini dan jihad.
Dewan ceramah hari ini penuh dengan ahli PERMAI yang hadir.
“Baru-baru ini, Khaled Mesyal telah diwawancara. Wartawan itu bertanya, apakah yang kami boleh bantu anda” Ustaz Heizal Hezri, berbicara. Dia adalah penceramah yang dijemput oleh PERMAI.
“Jadi, Khaled Mesyal jawab apa Ustaz? Suruh hantar tentera?” Amir Fadhli, pelajar JUST tahun dua bertanya. Dia tahu Khaled Mesyal. Menteri Luar Kerajaan Hamas dan juga dilihat sebagai peganti kepada Abdul Aziz Rantisi, Ketua Hamas yang telah meninggal dunia pada tahun 2004.
“Khaled Mesyal kata, bangunkanlah ummat di kawasan kamu. Itu bantuan besar terhadap kami, selain doa-doa yang kamu lancarkan selepas solat dan ketika qiamullail”
Semua ahli PERMAI, lelaki dan perempuan, yang mendengar terpana.
Bangunkan ummat kamu. Kata-kata itu menusuk. Hamas tidak meminta bantuan senjata. Mereka tidak meminta bantuan ketenteraan. Walaupun kini mereka sedang terhimpit, mereka telah mengajak semua manusia yang berkemampuan untuk terus membina ummat.
“Kenapa bina ummat Ustaz?” Wassiek, seorang lagi pelajar perubatan bertanya.
“Sebab, apabila ummat terbina dengan kemas sahajalah, barulah tanah bernama Palestin itu mampu diselamatkan, dan dibebaskan”
“Nak bina dengan apa ustaz?” Firdaus Shahidin, pelajar tahun tiga dalam pengkhususan Ekonomi Islam di Universiti Yarmouk mengangkat tangan.
Ustaz Heizal tersenyum. “Semestinya dengan keimanan kepada Allah SWT. Kita bina masyarakat kita agar faham akan Islam dan mengamalkannya segenap kehidupan. Hanya mereka yang memahami Islam dengan sebenar-benar kefahaman sahajalah yang mampu bergerak membebaskan Palestina, sekaligus membebaskan Islam dari kehinaan hari ini”
Keimanan. Ayat itu meresap.
Palestin hari ini ditinggalkan, dibiarkan. OIC yang ditubuhkan atas sebab untuk membebaskan Palestin sekalipun tidak mampu bertindak dengan efisyen. Kini, isu-isu yang dibangkitkan hanyalah ekonomi dan kenegaraan. Palestin terbiar. Negara-negara arab yang mengelilingi Palestin seperti Jordan, Mesir, Syria, semuanya tidak berani melakukan apa-apa. Arab Saudi yang kaya raya juga membutakan mata. Palestin terus dicabul. Kerana keimanan pemimpin-pemimpin negara itu adalah mandul. Tidak memberikan kekuatan untuk mereka bertindak, tidak memberikan mereka tenaga untuk mempertahankan. Masing-masing menyelamatkan poket masing-masing.
Maka, keimanan itulah yang perlu ditanam semula. Diasuh sekali lagi di dalam kehidupan insan. Agar keimanan itu bergetar dan membangkitkan kesatuan. Manusia yang beriman sahajalah yang akan menyahut seruan Allah SWT.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” Surah Al-Anfal ayat 2.
Sekaligus berinteraksi dengan ayat-ayat Allah SWT yang mengajak orang-orang beriman bersatu seperti:
“Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara” Surah Al-Hujurat ayat 10.
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya,” Surah Al-Anfal ayat 72.
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berjuang itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” Surah Al-Anfal ayat 75.
Mereka juga akan pantas menyahut sabda Rasulullah SAW:
“Orang Islam itu saudara kepada orang Islam yang lain. Mereka tidak menzaliminya, tidak mengkhianatinya, juga tidak membiarkannya(kepada orang yang memerangi mereka)” Hadith riwayat Abu Dawud.
Sebab itu, keimanan perlu dibangunkan.
Dengan keimanan, segala perkara dan masalah akan selesai. Masalah disiplin, masalah ketaatan, masalah kebersihan, masalah peribadi, masalah gejala sosial, masalah kelemahan, masalah kesatuan dan 1001 masalah lagi.
Sebab itulah Rasulullah SAW datang menyuruh kita beriman kepada Allah SWT.
Ustaz Heizal menamatkan ceramahnya dengan mendoakan agar keimanan yang sebenar itu, meresapi hati semua. Tidak lupa juga dia mendoakan pelajar-pelajar yang sedang bergadang studi untuk peperiksaan yang sudah semakin hampir.
“Terima kasih banyak ustaz. Terima kasih banyak” Faiz Hamzah bersalaman dengan Ustaz Heizal.
“Sama-sama. Tanggungjawab kita semua sebenarnya”
Selepas Faiz, semua pelajar PERMAI yang lelaki berbondong-bondong bersalaman dengan Ustaz Heizal.
Pembawa tabung derma Palestina juga menjadi tumpuan ramai hari itu. Semua berlumba-lumba menderma. Bagi yang ditugaskan untuk menjalankan kempen derma pakaian dan barang terpakai untuk Palestin turut diserbu. Ramai yang mendaftar barangan mereka.
“Kenapa semua macam bersungguh-sungguh? Palestin tu kan negara lain?” Erman menggeleng. Dia tidak mengerti.
Syafiq diam. Dia tidak tahu hendak berkata apa. Erman memang pesimis. Sukakan provokasi.
“Kamu kata apa tadi Erman?” Syihabudin, Presiden MMY yang kebetulan berada berdekatan Erman bertanya.
“Ya la, Palestin tu kan negara lain? Kenapa kita semangat sangat tolong mereka?”
“Mudah. Sebab Palestin itu saudara kita”
“Ha? Saudara?”
“Semua yang beriman itu adalah saudara Erman. Kita saudara mereka. Jadi bila mereka terluka dan teraniaya, kita turut rasa sama. Lebih-lebih lagi, isu Palestin adalah isu keimanan kita. Bayangkan, kita ramai. Ummat Islam ramai. Tetapi kenapa Palestin tidak terbebas?”
“Sebab Palestin itu bukan negara mereka?” Erman menjawab mengikut logik.
“Sebab keimanan mereka tidak cukup kukuh untuk merentasi sempadan yang direka-reka manusia”
Erman terdiam.
Syihabudin tersenyum. “Sebab itu, ceramah kita hari ini bertajuk Keimanan Dan Pembebasan.”
Kemudian Presiden MMY itu pergi ke tempat pelajar sibuk menderma.
Keimanan.
Keimanan.
Keimanan dan keimanan lagi.
Memang jika diperhatikan. Keimanan adalah perkara yang paling banyak diulang di dalam sepanjang kehidupan ahli PERMAI.
“Keimanan itu sangat penting ya?” Erman memandang Syafiq yang sedari tadi senyap.
Syafiq tersengih. “Kau dah sedar ke?”
“Aku tanya”
“Ya Allah… malas aku layan kau malam ni” Syafiq bergerak mengikuti Syihabudin.
Erman tersengih. Dia bukan tidak faham ceramah Ustaz Heizal tadi.
Dia sengaja. Nampaknya keimanan itu adalah benteng keras ahli PERMAI.
Ahli PERMAI terbina atas keimanan.
——————————————————————————-
Novel Sinergi mempunyai 33 bab kesemuanya.
Untuk tatapan secara online, hanya setakat bab ini sahaja.
Jika anda berhajat untuk membaca keseluruhan cerita Novel Sinergi,
sila dapatkan Novel Sinergi di Kedai-kedai buku Malaysia segera.
Novel Sinergi juga boleh didapati di kedai-kedai buku online.

