Novel: Sinergi – Cerita 14 – Aku Ingin Hatiku Diisi
Cerita 14: Aku ingin hatiku diisi
Yusuf baru pulang. Seluruh tubuhnya rasa letih. Kesejukan di luar membuatkan dirinya tambah rasa letih. Selepas ini, dia hendak studi pula.
“Baru balik?” Satu suara menyapa.
Badruddin menyilang tangan di hadapan pintu biliknya. Yusuf mengangguk.
“Dari mana?” Badruddin bertanya lagi. Wajahnya ada riak tidak senang.
“Intropeksi iman” Perlahan Yusuf menjawab.
Mata Badruddin mencerun. “Intropeksi iman?” Sedikit meninggi suaranya.
Yusuf menentang pandangan Badruddin. “Ya, Intropeksi Iman. Tadi penyampaian oleh Ustaz Ciku” Dia buat biasa sahaja. Walaupun dia tahu, sebenarnya Badruddin sedang marah.
“Kenapa kau bercampur dengan orang-orang di sini?” Badruddin melepaskan silang tangannya, berjalan mendekati Yusuf.
Yusuf tidak terus menjawab. Badruddin semakin mendekatinya. Gaya macam hendak membelasah sahaja.
“Sebab aku rasa, hati aku perlu diisi” Yusuf menundukkan kepalanya, kemudian terus bergerak memasuki bilik tanpa menghiraukan Badruddin.
Badruddin memandang sahaja belakang Yusuf. Dia tidak mahu buat kecoh dengan bergaduh atau bertengkar.
Dan jawapan Yusuf tadi sebenarnya memberi kejutan kepada Badruddin.
******
Musim peperiksaan sudah menjelang. Kini, semua ahli PERMAI berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi peperiksaan masing-masing. Yang JUST bertungkus lumus menghafal segala jenis formula dan sifir serta fakta, manakala pelajar Yarmouk pula sibuk mengulang hadith, ayat Al-Quran dan beberapa kefahaman yang perlu difahami dengan baik.
Musim peperiksaan, PERMAI mengurangkan program. Tiada intropeksi iman, tiada kelas tafaqquh. Yang ada hanya MEKAP. Semua pelajar mempunyai MEKAP masing-masing. Biasanya akan ada pelajar terpilih untuk menjadi ketua MEKAP. Yang lebih tua akan terpilih untuk mengetuai yang lebih muda, manakala di kalangan yang tua itu pula, akan dipilih yang lebih baik akhlaknya.
MEKAP tidak pernah tidak dijalankan. Sistem usrah ini dianggap seperti jantung kepada pergerakan PERMAI. Hal ini kerana, di dalam MEKAP ada proses pembinaan. MEKAP atau usrah ini bukanlah bertindak sebagai ceramah-ceramah kecil, tetapi lebih kepada proses untuk ketua dan anak buahnya sama-sama memperbaiki dan meningkatkan diri.
MEKAP mempunyai silibus yang disusun mengikut kesesuaian dan keperluan masyarakat PERMAI. Kelebihan MEKAP atau usrah ini, objek dakwah atau mad’u itu lebih dekat dengan da’ie atau pembawa usrah. Di sini akan berlaku proses pembentukan. Kekuatan PERMAI hakikatnya bermula dari projek MEKAP. Dari MEKAP, mereka berjaya menyatukan pemikiran mereka dan membuatkan semua faham akan dasar kehidupan insan yang perlu dibina dengan iman.
Ceramah-ceramah umum, tafaqquh, intropeksi iman, program-program umum seperti tadi tidak mampu memberikan kesan sebesar MEKAP, namun ada juga sumbangannya untuk menarik perhatian umum. MEKAP, lebih dekat, lebih banyak sentuhan. Hal ini kerana, tidak semua orang mempunyai masalah yang sama. Di dalam MEKAP, lebih senang individu itu diproses mengikut apa keadaannya, kerana bilangannya sedikit.
Biasanya, satu MEKAP di dalam PERMAI, ahlinya sekitar 6 orang. Salah seorangnya adalah ketua yang akan membawa lima orang yang lain. MEKAP dimulakan oleh mantan Presiden PERMAI yang bernama Wan Mohd Nahar, kemudian diteruskan oleh Presiden seterusnya iaitu Ismat, dan disempurnakan perjalanannya dengan susunan yang kemas dan teratur oleh Irfan. Kini, sistem MEKAP bukan sahaja dijalankan oleh pelajar melayu di Irbid, malah telah menjadi satu program di semua zon yang mempunyai pelajar melayu di Jordan ini.
“Akhirnya, ada juga ahli MEKAP aku” Naqeb tersenyum senang. Dia diberikan tanggungjawab untuk membawa kumpulan Disaster Five. Awal-awalnya, dia ingin menolak, tetapi atas nasihat Faiz Hamzah, juga nasihat daripada rakan-rakan kepimpinan lain, termasuk Irfan dan Asid, dia tabah mengajak walaupun tidak dilayan.
Hari ini, ada keajaiban. Yusuf datang.
“Maaflah, yang lain tak berminat”
“Tak mengapa, insyaAllah, Allah akan buka hati kita semua” Lembut Naqeb melayan. MEKAP hari ini dibuat di rumahnya. Hafiz Shamsuri, rakan serumah dan seangkatannya, sedang sibuk di dapur membuat air dan mereneh sup.
Yusuf rasa senang. Entah kenapa, duduk-duduk begini, mengisi jiwanya.
“Mesti kau kecewa kan masa dapat kami sebagai ahli MEKAP kau?” Yusuf bertanya soalan panas. Naqeb ketawa kecil mendengar soalan itu. Kepalanya digeleng.
“Betul?” Yusuf menjangka dari penglihatannya.
Naqeb mengangguk-angguk. “Awal-awal la. Kemudian aku dapat nasihat daripada Baha, Irfan, dan lain-lain. Aku nampak, kamu semua ni cabaran untuk aku la sebagai yang nak bawa kefahaman Islam pada manusia”
“Apa penting sangat ajak orang buat baik? Kuburkan lain-lain?” Yusuf tidak faham.
“Em… Sebab kubur lain-lain la kita kena sungguh-sungguh ajak orang buat baik. Kalau kubur sama, boleh la tolong menolong” Naqeb menjawab dengan nada berseloroh.
Yusuf tersengih. Pandai juga berlawak Naqeb ni. Namun lawak Naqeb itu menyentuh hatinya. Betul juga.
“Aku ni, dah lama tak solat. Lama tak baca Al-Quran. Boleh lagi ke nak buat-buat benda macam ini?” Yusuf bertanya, ingin tahu yang membuak. Rasa diri sudah berdosa banyak.
“Kenapa tak boleh pula?”
“Ya la, dosa banyak.”
“Dosa banyak, dosa tak banyak, dosa tetap dosa. Dan semua orang yang berdosa, atas rahmat Allah, selagi tak mati dan tidak kiamat, Allah masih buka peluang untuk bertaubat”
“Allah itu, penyayang-Nya sampai macam itu sekali?”
Naqeb mengangguk. “Malu tak buat dosa dengan Yang Maha Penyayang sampai macam itu sekali?”
Yusuf tertunduk. Teringat betapa dia angkuh dengan kekayaannya, betapa dia suka menunjuk-nunjuk, kadangkala menggunakan wangnya ke jalan yang tidak betul, membeli barang-barang tidak berfaedah. Ditambah pula dengan tidak solat, tidak puasa, tidak membaca Al-Quran, cakap mencarut, dan sebagainya.
“Habis, banyak-banyak ni Allah tetap ampun?” Yusuf masih tidak percaya.
“Kalau Allah tak rasa nak ampun, habis kenapa kau ada di sini?” Dan soalan Naqeb itu menusuk jantungnya.
Ya. Dia berada di sini. Dia berada di sini kerana hendakkan hatinya diisi. Dia rasa kosong, jiwa rasa kering. Selepas Irfan bermati-matian berusaha mendekatinya, dia perasan betapa duduk dengan orang seperti Irfan mengisi satu lohong kosong lagi dalam serta gelap di dalam jiwanya. Orang seperti Irfan, yang ada kefahaman macam Irfan, tidak akan meninggalkannya.
Seperti Naqeb di hadapannya. Langsung tidak mengungkit apa yang dibuat oleh Disaster Five sebelum ini.
“Kawan-kawan aku, macam mana?” Yusuf rasa ingin tahu.
“InsyaAllah, kalau Allah hendakkan seseorang itu kebaikan, maka Allah akan perdalamkan untuk mereka agama. InsyaAllah, Allah membuka juga keampunan-Nya kepada mereka, kepada semua. Kita kena usaha la sampaikan kefahaman dan kesedaran itu pada mereka”
“Tapi, aku pun banyak dosa.”
“Sebab itu kita di sini, lalui MEKAP, usrah, untuk pertingkatkan diri. Sambil kita pertingkatkan diri ini, perlahan-lahan kita ajak orang lain.”
“Macam mana nak pertingkatkan diri?”
Naqeb sudah nampak kesungguhan Yusuf. Hatinya rasa lapang. Walaupun Yusuf seorang sahaja, tetapi terasa seakan penat lelahnya cuba mengajak sebelum ini terbayar dengan kesungguhan yang ditonjolkan oleh Yusuf sekarang.
“Sabar, sabar. Nak tingkatkan diri, bukan macam naik lif. Tekan butang, terus sampai atas bumbung. Perjalanannya panjang, dan kita kena sabar serta istiqomah di atasnya”
“Panjang? Boring la macam tu”
Naqeb menggeleng. “Apa-apa sahaja yang mengisi hati, insyaAllah tiada kebosanan. Malah nanti, kita akan rasa kebosanan di atas jalan hendak menuju Allah ini pun, satu tarbiyah, satu didikan”
Yusuf terpana. Kebosanan pun satu didikan? Hebat…
“Apa yang buat kau rasa yakin untuk itu?” Yusuf bertanya. Soalan yang sebenarnya sudah lama ingin dia ketahui jawapannya. Dia hairan kenapa majoriti warga PERMAI mampu bersungguh-sungguh mengejar redha Allah, mengapa Irfan tidak putus asa mendekatinya, kenapa mereka semua mampu istiqomah ke masjid, yang akhawatnya istiqomah menutup aurat, semuanya berusaha berakhlak baik dan sebagainya. Pasti ada kekuatan yang menolak mereka.
Naqeb menguntum senyum. Dia hendak menjawab. Tetapi ketika ini, Hafiz Shamsuri masuk bersama talam, terlebih dahulu berbicara.
“Jawapannya, iman” Hafiz meletakkan talam yang terdapat cawan dan jag air, serta mangkuk sup.
Iman? Perkataan itu membuatkan Yusuf semakin hairan. Iman adalah keyakinan, kepercayaan. Bagaimana…
“Bila kita beriman kepada Allah, kita yakin dengan segala janji-Nya, kita percaya dengan semua amaran-Nya, kita beriman dengan semua kekuatan-Nya, maka hati kita akan sensitif untuk hidup sebagai hamba-Nya dengan baik. Hati kita akan peka dengan keingkaran kepada-Nya. Kita akan rasa lapar dan dahaga untuk berbuat baik mengejar redha-Nya, kita akan rasa takut dan tidak selamat apabila ingkar kepada-Nya” Naqeb menjelaskan.
Yusuf terkelip-kelip. Kata-kata Naqeb itu menyentuh mindanya, menjentik hatinya.
“Sebab apa boleh begitu sekali? Sebab iman. Iman ni ha” Hafiz Shamsuri yang telah duduk di sebalah Yusuf, menepuk-nepuk dada Yusuf.
Yusuf memandang Hafiz. Terasa mesra pula. Hafiz tersenyum.
“Dah Yusuf, makan. Jemput makan.” Naqeb meletakkan mangkuk kecil dan sudu di hadapan Yusuf. Kemudian dia menyendukkan sup.
“Eh? Mana yang kata MEKAPnya? Tak ada ke?” Yusuf hairan. Hafiz ketawa kecil.
“MEKAP bukannya ceramah-ceramah kecil. MEKAP ni, macam inila. Ada masa makan-makan aja. Ada masa, kita buat perbincangan, ada masa kita berjalan rehlah, ada masa kita buat aktiviti yang boleh erat ukhuwwah. Ada masa, kita kongsi masalah. Itulah MEKAP.” Hafiz mengambil mangkuk kecil untuk dirinya.
“Tambahan, sekarang kan musim peperiksaan? Cukuplah kita duduk sekejap macam ini, untuk cas keimanan.” Naqeb menambah.
Yusuf tersenyum sendiri kemudian.
Kenapa dia terasa gembira?
Dia rasa ada pengisian yang masuk ke dalam jiwanya. Satu perkara yang dia tidak akan jumpa sebarangan di mana-mana.
Satu perkara yang istimewa.
*****
Asid kelihatan sedang studi bagai esok tiada lagi waktu untuknya. Peperiksaannya agak lewat sedikit, tetapi itu bukan alasan untuk dia melengahkan studinya. Dia bukan belajar untuk peperiksaan. Dia belajar untuk mencapai kefahaman. Dia ingin menjadi pakar, seterusnya kepakarannya itu boleh disumbangkan untuk Islam.
“Eh, kau nak ambil agama? Aku nak jugak lah macam itu”
Irfan menggeleng. “Tak boleh. Kau kena ambil Perubatan”
“Ha? Kenapa? Aku tak boleh berbakti untuk Islam la macam itu” Asid tak puas hati.
“Asid, berbakti, menyumbang untuk Islam ni, tak semestinya di tangan pelajar agama sahaja. Betul, pelajar agamalah yang akan menjaga agama kerana mereka mendalami agama itu. Tetapi kami ini ibarat pertahanan akhir. Yang berperang di barisan paling hadapan adalah orang-orang yang jadi doktor, jurutera, dan sebagainya”
“Kenapa pula begitu?”
“Sebab orang-orang begitulah yang diperlukan dalam bilangan ramai. Orang agama, sikit cukup, sebagai rujukan. Berapa banyak mazhab dalam Islam?”
“4 yang utama.”
“Ya, nampak? Empat sahaja Mazhab, diasaskan oleh empat orang Islam. Tetapi, boleh ke ada empat sahaja hospital dalam dunia ini? Dan setiap hospital dijalankan oleh seorang doktor sahaja?”
Asid menggeleng.
“Jadi, di sini, kita perlukan doktor-doktor yang bukan sahaja Islam, tetapi mempunyai syakhsiah yang baik, menjadi contoh kepada orang di sekelilingnya, kepada pesakitnya, kepada rakan sekerjanya. Agar semua hospital atas dunia ini, bergerak dengan syariat Islam. Sebab itu Asid, kau kena jadi doktor. Dan jangan jadi doktor yang lekeh-lekeh. Kena jadi pakar. Sebab orang Islam itu, dia adalah yang tertinggi dalam semua perkara”
“Oh, bagus idea tu. Kau tempat rujuk aku, aku kau punya barisan penggempur”
“Lebih kurang la”
Asid tersengih. Teringat pula dia. Sembang-sembang antara dia dan Irfan semasa cuti tingkatan empat. Ketika itu, Irfan memberitahu yang dia ingin mengambil agama selepas tingkatan lima. Sedangkan ketika itu, mereka sama-sama mengambil aliran sains, walaupun mereka tidak sama sekolah.
Irfan ingin mendalami agama lagi, agar boleh menjadi tempat rujukan masyarakat, dan apabila dia menyampaikan kefahaman Islam, kefahamannya solid dan tidak silap.
“Rajin sungguh studi?” Irfan menolak perlahan-lahan pintu bilik Asid yang separa terbuka.
Asid memusingkan kerusinya, menghadap sahabatnya yang tercinta.
“Heiya, baru sahaja teringat kau.” Asid menunjuk ke arah Irfan.
Irfan menggaris senyum, kemudian duduk di atas katil Asid.
“Macam peperiksaan kau? Pelajar Yarmouk dah mula periksa kan?”
Irfan mengangguk. “Alhamdulillah. Boleh la buat”
“Eceh, boleh aja?”
“InsyaAllah mumtaz” Irfan meleretkan senyuman.
“Ha ha, itu la yang kita nak dengar. Kata kena jadi pakar”
“Ho ho, ingat lagi ya?”
Mereka berdua ketawa bersama. Senang hati dengan ukhuwwah yang ada. Jiwa-jiwa jadi segar.
“Aku punya peperiksaan hujung bulan 12 ni. Lambat sikit.”
“Oh, waktu tu aku dah final semester ni. Kau habis cuti lambatkan?”
Asid mengangguk. Cuti pelajar tahun empat yang menjalani praktikal pun pendek. Dua minggu sahaja, berbanding pelajar JUST yang lain, sebulan. Pelajar Yarmouk juga bercuti sebulan.
“Selamat tinggal lah ya” Irfan buat gaya melambai.
“Jahat la, aku nak tahu tunang kau siapa”
“InsyaAllah solehah, jangan risau”
“Ceh, aku pun tahu kau tak akan pilih yang sebarangan. Orang sini ke?”
“Rahsia”
“Umur?”
“Rahsia”
“Orang negeri mana?”
“Rahsia”
“Blah la”
Mereka ketawa lagi. Macam kembali zaman kanak-kanak kecil.
“Semua rahsia.”
“Ala, nanti nak balik Malaysia, aku bagitahu la. Dua tiga minggu aja lagi” Irfan menepuk-nepuk bahu Asid yang kelihatan tidak sabar.
“Ok. Aku ingat, aku nak bagitahu siapa aku punya pada kau hari ini.”
“Ha, bagitahu la”
“Dah kau rahsia-rahsia dengan aku. Kita tangguh la sampai kau bagitahu nanti ya?”
Irfan menggeleng. Ada pukla. “Suka hati kau la Asid”
“Kau nampak senang hati sahaja ni. Ada apa-apa ke? Takkan senang hati sebab dah dekat nak bertunang?” Asid angkat keningnya dua kali.
“Tak ada apa-apa. Cuma kebelakangan ni, kalau kau perasan, Yusuf dah mula ikut-ikut dah dengan program PERMAI. Naqeb cerita, baru-baru ni Yusuf yang suruh dia buat MEKAP”
“Wah, aku perasan la yang dia dah mula datang program Intropeksi Iman, tapi tak sangka pula dia boleh minta Naqeb buat MEKAP. Baguslah. Aku masih ingat lagi muka toya Naqeb masa dapat Disaster Five sebagai adik-adik MEKAP dia” Asid tergelak, mengingati hari pembahagian MEKAP semasa awal sesi dahulu.
“Alhamdulillah. Allah jugalah yang membolak balikkan hati manusia. Kita ni, berusaha sahaja”
Asid mengangguk. Bagusnya punya sahabat seperti Irfan, tidak pernah satu pun amalannya dibawa untuk meninggi diri. Kalau dirasakan bagus, maka dia akan meletakkan sesuatu untuk mengimbanginya. Semua kebaikannya, jika dipuji, dia akan mengeluarkan bicara mengingatkan bahawa itu semua hanya untuk mendapat redha Allah, bukan untuk membangga diri.
Sahabat atas keimanan, memang banyak kelainan. Sentiasa mengingatkan.
“Lagi empat, berapa lama lagi la” Asid mengangkat kepala, belakang pen disentuhkan ke bibir.
“InsyaAllah, Allah bantu dan permudahkan” Irfan yakin, kalau Allah mahukan seseorang itu kebaikan, Allah akan perdalamkan orang itu dengan agama-Nya. Bukan maksud perdalamkan di sini mendapat skor peperiksaan yang tinggi, mendapat PhD, atau tahu berkenaan Islam banyak. Tetapi perdalamkan di sini adalah keberjayaannya memahami Islam dan mengamalkannya di dalam kehidupan.
Untuk itu, tiada manusia yang tidak diberikan peluang.
Allah SWT berfirman:
“Tiada paksaan di dalam agama, tetapi telah jelas yang mana satu petunjuk dan mana satu bukan. Barangsiapa yang berpaling dar kesesatan dan beriman kepada Allah, sesungguhnya dia telah berpegang pada tali yang teguh dan tidak akan putus, dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui” Surah Al-Baqarah ayat 256.
“Kita la kena berusaha mengisi jiwa mereka dengan keimanan. Keimanan itulah yang hendak membawa mereka nampak kebenarann dan kebatilan” Irfan berkata.
Asid mengangguk. “Tiada manusia yang tidak diberi peluang. Kita kena gunakan peluang yang Allah berikan itu untuk diri kita dan mereka”
InsyaAllah, mereka akan terus berusaha. Berusaha mengisi piala hati manusia dengan apa yang Allah telah turunkan melalui rasul-Nya.
*****
“Aku tengok kau makin rapat dengan mereka. Kenapa?” Harith bersuara.
Yusuf yang sedang mengulangkaji mata pelajaran Chemistry perlahan-lahan menolak buku di tangannya. Harith yang telah mengambil tempat di atas katilnya ditatap lembut.
“Aku pun sukar nak jelaskan” Yusuf menghela nafas.
“Sebab kau rasa terhutang budi pada Irfan?”
Yusuf menggeleng. Irfan. Ya, dia rasa terhutang budi pada kesungguhan lelaki itu. Seorang lelaki baik yang berusaha bersungguh-sungguh. Tetapi bukan Irfan sebab utamanya dia merapati kebaikan.
“Dia tu pembunuh tau” Harith mengingatkan.
Yusuf memuncungkan bibir. “Kita tiada bukti Harith”
Harith diam. Betul, mereka tiada bukti untuk membenarkan itu.
“Tetapi, kau tak serik ke dengan kisah belakang kita? Mereka ini mungkin macam Ustaz Khairuddin sahaja”
Yusuf menunduk. Kemudian dia menggeleng.
“InsyaAllah tak. InsyaAllah tak”
Harith rasa hairan. Kenapa Yusuf betul-betul terkesan dengan masyarakat PERMAI?
Kebelakangan ini, dia lihat Yusuf sudah mula solat. Adakalanya di Masjid, adakalanya di rumah. Namun, untuk solat itu sahaja sudah satu peningkatan. Di rumah ini, sebelum ini, yang solat hanyalah Harith dan Muiez memandangkan mereka pelajar agama. Mereka solat pun sekadar tradisi dan tidak merasa keberatan wajib. Kadangkala, mereka ponteng juga. Yang terlepas, tidak diqada’. Namun melihat kesungguhan Yusuf yang telah lama meninggalkan solat, hati Harith macam terkesan.
“Aku rasa, mereka ni lain Harith” Lembut Yusuf memberitahu.
“Lain yang macam mana?”
“Mereka ini mengisi jiwa aku”
Jawapan itu membuatkan hati Harith bergetar. Itu bukan jawapan biasa. Kini dia faham kenapa Badruddin sampai menyuruhnya bersembang dengan Yusuf. Mungkin keyakinan dan kepercayaan Yusuf yang sebegini kuat membuatkan Badruddin sendiri tidak mampu berhadapan dengan Yusuf.
“Habis, kau akan tinggalkan kami?” Harith menyuarakan ketakutan mereka. Sebenarnya, hidup mereka bergantung kepada Yusuf juga. Ayah Yusuf lah yang menyara pengajian dan duit bulanan mereka berlima.
Yusuf tersengih. “Kenapa la aku nak buat begitu kepada kawan-kawan yang susah senang dengan aku?”
Harith diam. Yusuf nampak lain. Sekurang-kurangnya, ketakutan Badruddin akan kehilangan sumber wang mereka telah terpadam. Harith rasa, mereka boleh bertenang. Tetapi, perubahan Yusuf juga menggusarkan. Terasa seakan-akan ada keretakan di dalam Disaster Five.
“Baiklah, aku tak mahu ganggu kau studi. Apa-apa lah Yusuf, jangan kita berantakan sudah” Harith berpesan.
Yusuf tersenyum. “InsyaAllah tak. Kita mahu yang baik-baik sahaja”
Harith melangkah keluar. Selepas dia menutup pintu, dia memandang ke tepi.
Badruddin sedang bersandar di tepi dinding luar bilik Yusuf. Dia mendengar semuanya.
“Macam mana Bad?”
“Nampaknya, macam Secret cakap, mereka bertindak dahulu daripada kita” Badruddin mengetap bibir.
Harith senyap sahaja.


