Khamis, 17 Mei 2012   |   25 Jamadilakhir 1433 Hijrah   |   23 Pembaca Online   |   Welcome, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Motivasi » Motivasi: Allah itu jauh?

Motivasi: Allah itu jauh?

Adakah kita sangka Allah itu jauh? ~ Picture by Jean Fan Roseonthegrey of Deviant Art.

Kenapa manusia sering buat maksiat?

Dia tahu maksiat itu salah, tapi kenapa dia lengah-lengah dalam taubatnya?

Kerana dia rasa Allah SWT itu jauh. Lambat hendak dicapai.

Kenapa manusia, jarang berdoa dan menggantuntgkan harapannya kepada Allah?

Kerana dia rasa Allah SWT itu jauh. Dia tidak nampak Allah, membuatkan dia rasa kurang yakin dengannya. Seakan-akan Allah itu sangat jauh dan mungkin lambat sampai untuk membantunya.

Kenapa manusia, tidak mampu hendak mengaitkan seluruh kehidupannya dengan Allah?

Kerana dia rasa Allah SWT itu jauh. Jadi pada dia, tiada makna mengaitkan urusan hidup dengan sesuatu yang jauh. Yang entah gembira atau tidak dengan kejayaan kita. Yang entah sedih atau tidak dengan kebencanaan yang menimpa kita. Yang entah hendak memberi ganjaran atau tidak dengan kebaikan kita.

Kerana kita rasa Allah SWT itu jauh, maka bila kita gundah atau resah, maka kita berlama-lamaan di dalam perasaan yang menyempitkan itu.

Namun, apakah Allah SWT itu jauh?

Jawapan Allah SWT sendiri

Ini masalah hubungan manusia dengan Allah SWT. Kita di pihak yang mengharap, dan pemberinya adalah Allah. Maka saya rasa, layaklah jika saya gunakan jawapan Allah SWT sendiri untuk hal ini.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang “Aku” maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran ( Al Baqarah: 186)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya (Al Qaaf:16)

“Apakah kamu mengira akan masuk surga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kami. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, diguncang (dengan berbagai cobaan). Sehingga Rosul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Kapankah datang pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” (Al-Baqarah: 214)

Mungkin akan ada yang membahaskan, apakah rapat Allah SWT ini bermaksud memang Allah itu benar-benar di sebelah kita, atau hanya ilmu Allah SWT sahaja yang rapat dengan kita?

Untuk saya, saya tidak suka membahaskan hal itu. Sudah cukup pada saya, saya menerima bahawa Allah SWT itu amat dekat dengan saya. Saya tidak peduli sama ada benar-benar Allah yang berada dekat dengan saya, atau yang dekat dengan saya ini hanyalah ilmu-Nya. Kerana jika saya berada dalam salah satu keadaan itu, tiada apa pun kekurangan untuk saya.

Yang penting, Allah kata – Sesungguhnya aku amat dekat…

Dan Allah SWT itu tidak pernah memungkiri kata dan janji-Nya.

Pada saya, habis setakat itu. Allah nak dekat dengan saya macam mana, itu urusan Dia.

Masalah iman sebenarnya

Allah telah mewar-warkan bahawa Dia amat dekat. Dia juga berkata bahawa, Dia tidak akan memungkiri janji dan kata-Nya.

Justeru, hendak merasa keberadaan Allah SWT itu dekat atau jauh, terpulang kepada keimanan kita. Hendak yakin atau tidak Allah itu dekat, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Menngetahui, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, itu semua terpulang kepada kita.

Tiada paksaan dalam hendak mengimani semua ini. Tiada paksaan di dalam melaksanakan tuntutan Allah. Tapi, kebenaran itu tetap tidak akan berubah dengan pilihan kita. Kalau kita memilih untuk tidak percaya sekalipun, kebenaran bahawa Allah SWT itu amat dekat tidak akan terubah.

Hatta, kalau satu dunia ini tidak beriman akan kewujudan Allah, Allah itu tetap wujud. Yang beriman tetap akan masuk syurga walau seluruh dunia menyeksanya. Yang tidak beriman tetap akan masuk neraka walau seluruh dunia menyayanginya.

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Namun tanda kewujudan Allah, keberdekatannya dengan hamba-Nya, sudah terbukti sebenarnya. Kan? Saya yakin ramai orang pernah merasa.

Sekarang pilihan dibuka. Siapa hendak beriman dengan keimanan yang sebenarnya?

Allah itu dekat. Dia tidak jauh.

Keimanan inilah yang membantu kita dalam langkah seterusnya. Bila yakin bahawa Allah itu bukan sekadar ada, malah dekat, sentiasa memerhati, mendengar dan memberikan sokongan, maka dunia ini akan mampu kita lalui dengan baik, segala perintah-Nya mampu kita jalankan dengan kemas.

Siapa yang susah bila dia berdua? Tambahan bila yang bersamanya itu adalah Yang Tidak Terkalahkan Oleh Sesiapa?

Sebab itu, kalau kita sorot kembali dakwah Rasulullah SAW, masalah keimanan ini adalah yang baginda selesaikan terlebih dahulu.

Nah, bagaimana keimanan anda?

Bila sudah yakin

Bila kita sudah yakin bahawa Allah SWT itu amat dekat, maka hilanglah segala resah gelisah. Susah senang dalam hidup ini kita akan harungi dengan tabah. Bila sedih kita ada tempat mengadu, bila gembira kita ada tempat bersyukur. Bila susah kita ada tempat nak minta tolong, bila senang kita ada tempat untuk luahkan kesenangan kita.

Kita juga akan rasa malu untuk membuat kerosakan dan kemungkaran. Ya, bayangkan anda mencuri di hadapan orang ramai. Adakah anda meneruskan pencurian anda dalam keadaan dilihat? Begitulah apabila kita yakin Allah itu dekat. Tidak segan kah anda berbuat maksiat dengan pemerhatian-Nya?

Kalau kita terbuat juga salah, dosa, maksiat, mungkin teralpa, terlalai atau jatuh dalam kecuaian, maka kita dengan keyakinan bahawa Allah SWT itu dekat, akan segera kembali kepada-Nya, segera meminta keampunan daripada-Nya. Terasa malunya diri, bermaksiat di hadapan-Nya, dalam pemerhatian-Nya.

Sebab itu Ibrahim Adham pernah berkata kepada seorang lelaki yang ingin bermaksiat:

“Kamu boleh bermaksiat, dengan syarat kamu cari satu tempat untuk berlindung dari pandangan Allah SWT”

Di manakah kita hendak cari tempat itu? Semuanya yang ada dalam kehidupan ini, hatta sempadan dunia ini sekali pun, semuanya di dalam liputan kekuasaan pemerhatian Allah SWT. Allah SWT itu, berkuasa atas segala-galanya.

Dia meliputi segala sesuatu (Al Fushilat: 54)

Kalau ada gundah, jangan segan menangis di hadapan-Nya. Dia amat dekat, pertolongannya sentiasa ada. Bila susah, segera mengadu kepada-Nya. Dia lebih dekat dengan kita daripada sesiapa yang dekat dengan kita.

Bila sudah yakin, semua ini anda akan rasa kenikmatannya.

Saya dah buat, tapi tak dapat bantuan pun

Ya. Kadangkala, ada situasi, Allah SWT melambatkan bantuan-Nya. Itu adalah ujian. Ujian menguji keimanan kita. Kadangkala, Allah SWT tidak memberikan kita apa yang kita mahu. Namun siapakah kita hendak demand dengan Allah? Kita sendiri tidak tahu apa yang buruk dan baik sebenarnya untuk kita. Allah SWT itu lebih mengetahui.

Sebab itu saya bangkitkan masalah keimanan terlebih dahulu. Yakin kah kita bahawa segala apa yang Allah atur, beri kepada kita adalah yang terbaik?

Jangan risaukan natijah. Yang kita perlu risaukan adalah usaha. InsyaAllah, selepas usaha, segala natijah yang Allah beri adalah yang terbaik. Yakin dengan itu, semua kesusahan, kegundahan, keresahan, akan selesai.

Cuma mungkin, kita hendak rasa apa yang Allah atur itu terbaik, lambat sedikit. Kita tiada pengetahuan seperti Allah SWT. Mungkin kita hanya akan tahu perkara itu baik kepada kita, 10 tahun akan datang. Namun saya yakin, kita akan menyedari. Saya sudah lalui…

Penutup: Maka jangan lengah merapati-Nya

Maka, apakah masih pantas untuk kita berlengah-lengahan terhadap Allah SWT?

Allah amat kasih dan cinta dengan kita. Sangat dekat. Kenapa kita tidak boleh membuat permulaan, walaupun dengan langkahan kecil untuk mendekati-Nya? Kedekutnya, bakhilnya, tidak malunya kita berlagak sedemikian rupa. Sedangkan Allah SWT yang memiliki segalanya merapati kita. Kenapa kita yang memerlukan Allah SWT tidak bergerak mendekati-Nya?

Kita hanya perlu bergerak selangkah, Allah mendekati kita seribu langkah. Kita hanya perlu berjalan merapati Allah, Allah akan mendekati kita dalam keadaan pantas.

Ya Allah, apakah ada lagi yang sebaik Engkau dalam dunia ini?

“Cukuplah bagi kami Allah, dan Dia adalah sebaik-baik wakil(pengurus)” Surah Ali-Imran ayat 173.

Jangan lengah. Nanti kalau peluang benar-benar hilang(mati, kiamat) baru hendak tergadah.

Mari kita rasa Allah dekat dengan kita. Hidup benar-benar dengan perasaan bersama-Nya. Percayalah cakap saya, orang yang punya perasaan ini, dia sentiasa akan berjaya.

About The Author

Hilal Asyraf

Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Kini merupakan pelajar University of Yarmouk, dalam bidang Usuluddin. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi.

Number of Entries : 298

Comments (24)

  • Eszie Effie

    Alhamdulillah, saya suka entry ni.. berhubung dengan keimanan kita dengan Allah SWT. Kalau kita telah berjaya membina dan menjaga keimanan dgn sempurna, insyaAllah, kita dapat melaluinya dengan tenang dan sabar walaupun seganas mana pun badai datang melanda.. Pernah juga terasa dulu, bila saja menghadapi masalah, seolah-olah kita ni tidak mendapat perhatian atau pertolongan dari Allah, tetapi saya ada terbaca, “pernahkah kita bertanya pada diri kita sendiri adakah kita benar2 beriman kepada Allah sehingga melayakkan diri untuk mendapat pertolongan Allah itu?” Sesungguhnya, semua amalan yang kita lakukan itu bukan untuk Allah tetapi untuk keuntungan pengamalnya sendiri. Allah tidak memerlukan kita, sebaliknya kita yang memerlukan Allah SWT kerana semua amal dan ibadah yang kita lakukan, yang menyebabkan kita dekat dengan Allah, itulah sebagai Pembela kita. Ada kaitannya dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum, ayat 47 : “Dan adalah hak Kami untuk menolong orang-orang yang beriman.” Terima kasih Hilal atas perkongsian ilmunya.. semoga diberkati dan mendapat redha-Nya.. Amiin..

    Reply
    • Hilal Asyraf

      Hilal Asyraf

      Iya.
      Itulah hasil keimanan sebenarnya.
      Saya berharap, kita semua mendapat manfaat daripada artikel ini.
      Nyatanya, saya juga berharap agar diri saya tertingkat.
      Harap ini bukan sekadar tulisan dan bicara.
      Harap ini adalah yang menggerakkan amalan dan kerja.
      Amiin. ^^

      Reply
  • umar

    Allah taala itu dekat ,tapi hambanya yang sering menjauh .

    Reply
  • farahfadilah

    perjalanan hidup ini yg mengajar hambaNya erti hidup yg sebenar.. hidup ini adlh pilihan.. Allah memberi pilihan dan manusia yg memilih jalannya.. smoga diminta dijauhkan dr memilih jalan yg salah..

    Reply
    • Hilal Asyraf

      Hilal Asyraf

      Dan bagaimana untuk mengelakkan diri daripada memilih jalan yang salah itu, kita perlukan mekanisma untuk mendidik diri.
      Maka marilah sama-sama kita masukkan diri kita ke dalam proses tarbiyah,
      agar makin kental jiwa dan peribadi kita.
      Makin dekat kita dengan diriNya,
      makin pandai kita memilih jalan yang merupakan jalanNya. ^^

      Reply
  • ummuzuliah

    saya yakin ALLAH SWT benar2 dekat dengan KITA

    Reply
  • ummuzuliah

    MOHON paste artikel ini

    Reply
  • Ad-deen

    Jazakallah Khair for the reminder. Artikel yg best dibaca especially bila tgh ‘down’ =)

    Reply
  • NOREESHA

    NOREESHA

    Dekatnya Dia sehingga mampu membaca yg tsirat di balik hati kita. Tak layak kita melupaNya Yang Maha Pemurah dengan pelbgai kurniaan yg x t’hitungkan. Allah Maha Hebat,

    Reply
    • Hilal Asyraf

      Hilal Asyraf

      Allah SWT itu, sememangnya Maha Mengetahui.
      Semoga kita berjaya mencintaiNya di dalam kehidupan kita ini,
      bukan sekadar dengan bicara dan tulisan semata,
      tetapi juga dengan perbuatan dan amalan diri.

      Reply
  • diariperjalanan

    ALLAH sememangnya sentiasa dekat dengan hamba-hambanya…

    Reply
  • hanisahani

    Alhamdulillah..satu artikel pencerahan jiwa..jazakallah akhi Hilal..setiap kali sy lawat ke langitilahi..mata hati akan celik & segar kembali, jiwa raga rasa bertenaga untuk terus mendaki puncak iman ..mga Allah sentiasa merahmati hamba2Nya yg berusaha untuk dekat kepadaNya..inna Allah ma’ana..=)

    Reply
    • Hilal Asyraf

      Hilal Asyraf

      Alhamdulillah.
      Semoga Allah izinkan kami di sini untuk terus istiqomah di atas jalanNya.
      Mohon doa daripada antum ya.
      Semoga artikel ini bermanfaat buat kita, juga buat semua.

      Reply
  • shuhana_my

    Allah selalu memberi, tanpa perlu kita meminta. Betul, Allah sgt dekat, cuma kita yg xsedar.. =]

    Reply
  • akyda

    sebaik baik tempat mengadu adalah allah..allah tak pernak marah, tak penah jenuh mendengar rintihan hambanya malahan DIA marah jika kita mencari makluk lain selain DIA

    berbeza apabila mengadu dengan manusia

    apabila mengadu pada manusia.. orang akan jemu pada kita,kena marah dan paling teruk orang pulaukan kita menambahkan kesedihan ada la……

    :)

    Reply
  • Siti Rahimah

    Sesungguhnya Allah S.w.t adalah sebaik2 penjaga..

    Reply

Leave a Comment

Copyright © 2012 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top