Kehidupan: Valentine? Cinta? Islam?

Perlukah kita sambut sekali Valentine’s Day? Apa signifikannya sebagai muslim? ~ Picture by UmarMita
14hb Februari saban tahun memang hangat, kerana telah diwar-warkan kepada sekalian makhluk di atas muka bumi ini bahawa itulah dia hari manusia memanifestasikan cinta. Di bawah payungan nama Valentine’s Day, seorang priest bernama Valentinus, dengan lagenda cintanya. Namun apa yang menarik, bukan penganut agama yang sama sahaja sibuk menyambut Valentine’s Day ini, tetapi juga agama-agama lain termasuklah orang-orang dari kalangan orang Islam sendiri teruja untuk menyambutnya sama.
Untuk merawat suasana ini, ada yang mereka cerita bahawa Valentine’s Day sebenarnya adalah hari kejatuhan Islam di Cordova. Hari di mana ditipu ummat Islam beramai-ramai masuk ke kapal yang dikatakan penjajah sebagai peluang ummat Islam melepaskan diri, kemudian dibakar mereka yang masuk ke kapal itu. Namun nyata, cerita ini tidak punya asal usul dan fakta sejarahnya. Antara punca utama jatuhnya Sepanyol bukanlah serangan dari luar, tetapi hakikatnya adalah masalah dalaman kepimpinan dan rakyatnya sendiri. Melainkan ada sumber sejarah yang kuat untuk menyokong cerita tragedi ummat Islam pada 14hb Februari ini, maka sepatutnya kita tidak teruja berkongsi sesuatu yang tidak kita pasti kesohihannya.
Justeru, bagaimana hendak merawat kemabukan manusia terhadap cinta ini?
Ya, cinta adalah fitrah. Kerana itu mungkin, apabila dicari-cari hari istimewa untuk cinta di dalam Islam tidak dijumpai, maka apabila wujudnya Valentine’s Day, ditumpanginya sekali. Namun kita semua tahu, namanya sahaja sudah nama seorang Priest. Maka bagaimana pantas seorang Muslim menyambutnya sekali?
Itu belum kita periksa dengan teliti, bagaimana pula manifestasi cinta yang akan dilakukan pada Valentine’s day ini?
Cinta?
Apa itu cinta?
Saya telah mengarang sebuah buku bertajuk – Buku Motivasi Cinta: Sebelum Aku Bernikah. Buku yang menceritakan akan kefahaman saya terhadap cinta, nikah, kahwin dan rumahtangga, seterusnya membawa pembaca-pembaca melayari juga pengalaman saya ketika mengembara mencari cinta daripada manusia yang saya cinta.
Namun mudahnya saya ringkaskan cinta itu adalah:
“Sekiranya benar cinta, ianya mesti membawa ke syurgaNya. Apa-apa yang membawa ke neraka, itu tidak akan sesekali namanya cinta.”
Ya. Itulah cinta. Kerana Allah SWT telah berfirman:
“Wahai orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.” Surah At-Tahrim ayat 6.
Maka se’sweet’ mana pun kita berbahasa dalam bahasa cinta, mengarang puisi dan romantisnya cerita, mahalnya hadiah dan menariknya suprise, itu semua tidak membawa makna apa-apa jika ianya melempar ke neraka.
Apabila cinta itu dipraktikkan dengan cara yang Allah larang, bersentuhan lelaki dan perempuan yang bukan mahram, keluar berdating dalam keadaan diri belum ada hubungan yang sah, menghabiskan masa dan duit berhubungan sesama kekasih dalam keadaan yang melalaikan dan penuh pembaziran, nyata ini semua telah melanggar banyak perintah Allah SWT. Apatah lagi apabila terjebak di dalam bercumbuan dan zina.
Itu semua bukan cinta.
Tetapi cinta adalah dengan kita mempersiapkan diri menjadi hambaNya yang terbaik. Ya, kita memang tidak akan mampu pasti sepastinya bahawa kita telah menjadi hambaNya yang baik. Namun sekurang-kurangnya kita boleh tanya pada diri ini satu soalan: “Sudah mula usaha atau belum? Sudah cukup bersungguh dalam usaha atau tidak?” Jika kita mampu menanyakan diri kita perkara itu dan menjawabnya dengan jujur, itu antara tanda bahawa kita telah menggapai kematangan dan mampu melangkah untuk memanifestasikan cinta dalam erti kata yang sebenar – yakni bergerak ke arah syurga Allah SWT, berkahwin, membina keluarga yang baik, sambil terus memperbaiki diri dan pasangan serta ahli keluarga.
Itulah dia makna cinta. Bukan terhenti pada perkahwinan semata-mata. Bahkan ianya adalah untuk membina sebuah rumahtangga, merancang untuk menjalani kehidupan dan mati di dalam redhaNya. Cinta yang membawa ke syurga bukan?
Islam.
Cinta tidak murah di dalam Islam. Cinta juga tidak pernah kotor di sisi Islam. Islam mengiktiraf cinta, kerana cinta itu fitrah. Sebagaimana Islam mengiktiraf makan dan minum, juga sebagaimana Islam mengiktiraf keperluan seks dalam kehidupan manusia. Islam tidak mengharamkan semua itu bukan? Tetapi Islam melaksanakan apa? Islam turun dengan ‘pengawalan’.
Maka cinta mestilah tunduk kepada arahanNya. Cinta mesti berada dalam batasanNya. Tiada pembaziran, baik masa atau harta. Tiada kemaksiatan, baik ringan atau berat. Rindu? Tiada masalah. Namun bukannya sampai ke tahap angau hingga mandi tidak basah, tidur tidak lena, makan tidak kenyang.
Kemudian perlu dilihat betapa Islam tidak turun agar manusia menjadi hamba perasaan semata-mata. Salah satu rukun iman adalah beriman kepada akhirat, menunjukkan betapa Islam mengajak manusia agar mempunyai wawasan yang jauh dan bermakna.
Maka begitulah mereka yang bercinta di dalam Islam. Bukannya sekadar ana cintakan enti kerana Allah, ana cintakan enta kerana Allah. Bukan sibuk dengan itu. Tetapi cinta di dalam Islam antara lelaki dan perempuan adalah sebuah penyatuan untuk membina ummah. Bukan semata-mata hendak melempiaskan nafsu antara lelaki dan perempuan.
Justeru perlulah kita meletakkan cinta kita selari dengan fitrah Islam itu sendiri.
Kerana itu cinta di dalam Islam punya disiplinnya. Pengisian cinta yang paling penting di dalam Islam adalah persiapan diri. Intipati ayat 6 Surah At-Tahrim itu perlu dihadami. Ummah pula memerlukan manusia-manusia yang mampu menopangnya dengan baik, agar ummah mampu menjadi ummah yang kuat dan unggul. Jika kita tidak mempersiapkan diri menjadi suami yang baik, isteri yang baik, bapa yang baik, ibu yang baik, maka bagaimana kita hendak membina ummah ini?
Nyata kita punya peranan yang besar.
Jika pada perkara yang amat asas seperti cinta sudah kita rosakkan, maka bagaimana agaknya dengan ummah yang hendak kita bina daripada asas itu?
Akan tiba-tiba menjadi kuat?
Penutup: Mencari Cinta yang diredhaiNya.
Bagaimana manusia yang tidak punya hubungan dengan Allah memanifestasikan cinta mereka?
Dunia hari ini telah dididik tanpa sedar oleh media barat dan timur akan ‘cara’ bercinta. Cinta mesti angau, cinta mesti dating, cinta mesti pegang tangan, cinta mesti peluk, cinta mesti cumbu, hinggalah kepada cinta mesti seks. Tanpa kita sedar, kerangka cara memanifestasikan cinta sebegini telah di’print’ di dalam minda kebanyakan kita.
Tatkala kita hendak bercinta, automatik kita akan mencontohi cara-cara tersebut.
Kerana itu, kita perlu keluar dari penjara minda dan jiwa ini. Kita perlu mencari cinta yang hakiki, cinta yang diredhai Ilahi. Bermula dengan membina kematangan dan mempersiapkan diri menjadi hamba yang Rabbani.
Buat apa kita sambut Valentine yang punya kaitan dengan Priest dari agama lain?
Mengapa kita tidak punya satu hari yang istimewa untuk memanifestasikan cinta di dalam Islam?
Kerana hari-hari seorang Muslim itu hakikatnya perlu dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang, di atas jalan yang benar.
Sama-sama muhasabah.
Keluar dari perangkap cinta yang merosakkan!
———————————–
Ingin dapatkan Buku Motivasi Cinta: Sebelum Aku Bernikah?

Dapatkan di LangitIlahi Store!
http://langitilahi.com/
HOW TO BUY?
http://langitilahi.com/
VIDEO GUIDE:
http://www.youtube.com/
————————–
WHY SHOPPING ONLINE?
No closing times
No carrying heavy bags
No traffic & parking jams
No wasting petrol, toll & time
No over-crowded supermarkets & queues
————————–
Mari Menjadi Hamba!


rose
subhanallah…penjelasan yang baik. terima kasih. saya ada cadangan yang ingin diutarakan.harap dipertimbangkan. saya mempunyai kawan non-muslim daripada korea.ada antara mereka yang tidak mengenal Islam (pernah dengar tapi xkisah sangat). pertama kali kami bertemu,mereka banyak bertnya mengenai adab pergaulan dalam islam, rasional kenapa kita orang islam dilarang minum arak dan mereka juga berasa sangat tertarik apabila saya menceritakan adab pergaulan antara lelaki dan wanita dalam islam. oleh itu, saya berharap ada lebih banyak entry berbahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami insight larangan yang Allah telah gariskan. harap cadangan ini di pertimbangkan. terima kasih.
mohdyusuf
Setuju sangat….