Selasa, 21 Mei 2013   |   11 Rejab 1434H   |   24 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Pemuda » Pemuda : Kepelbagaian Satu Masalah? Saya Katakan Tidak.

About The Author


Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Number of Entries : 101

Pemuda : Kepelbagaian Satu Masalah? Saya Katakan Tidak.

74574_539850652692469_851187021_n

Adakah berbeza menjadikan itu satu masalah untuk kita saling melengkapkan? Kenapa kita tidak melihat itu sebagai satu peluang? 
~Picture by Umat Mita

Kita hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama, warna kulit, bahasa, cara fikir dan lain-lain.

Tak dapat tidak, kita pasti akan menghadapi kepelbagaian dan perbezaan.

Pelbagai cara fikir, berbeza sudut pandang. Pelbagai buah fikiran, berbeza cara melihat masalah.

Ada orang mungkin melihat penyelesaian kepada sesuatu masalah itu dari satu sudut. Tetapi, ada orang lain pula melihat penyelesaian kepada masalah yang sama dari sudut lain pula. Cara A melihat masalah mungkin tidak sama dengan B. Tetapi adakah berbeza cara berfikir dan cara melihat masalah menjadikan itu sesuatu yang bermasalah dan ancaman buat kita?

Adakah kepelbagaian ini menjadi satu masalah buat kita?

Saya katakan tidak.

 

Satu Tidak Dapat Melakukan Semua, Maka Ramai Dapat Saling Melengkapkan

Tidak semua perkara mampu kita lakukan meski sehebat apapun kita atau sehebat apapun kumpulan kita.

Ada perkara yang kita dan kumpulan kita mampu lakukan, ada banyak lagi perkara yang kita dan kumpulan kita tidak mampu lakukan.

Sebagai contoh, kami di LangitIlahi.

Ya, mungkin di satu sudut kami mampu menghasilkan artikel tazkirah dan perkongsian secara berkala setiap minggu, mengadakan bengkel-bengkel penulisan, memfokuskan kepada pembangunan modal dan kemahiran insaniah, tetapi di satu sudut yang lain pula, pastilah kami tidak punya kemampuan untuk melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh syarikat atau NGO-NGO lain seperti kerja-kerja kebajikan, menguruskan derma dan sumbangan kepada orang-orang Palestin, Syria dan sebagainya.

Maka, ketidakmampuan kami ini secara tidak langsung telah ditampung pun oleh kumpulan-kumpulan, syarikat-syarikat atau NGO-NGO lain.

Begitulah.

Tidak semua perkara kami mampu lakukan. Tidak semua perkara juga kami perlu fokuskan sebenarnya.

Ukuran kemampuan itu satu hal. Ukuran keperluan juga satu hal.

Ada perkara yang kita tidak mampu buat, sekiranya kita menjadikannya sebagai satu keperluan juga untuk kita fokuskan, pastilah ia akan mengundang masalah kepada fokus-fokus lain sekiranya kita tidak dapat melaksanakan fokus yang sedia ada dengan baik.

Kita pun tidak dapat melaksanakan fokus-fokus lain dengan baik kerana terlalu banyak fokus kita. Apa yang A buat, kita hendak buat. Apa yang B buat, kita hendak buat juga. Apa yang C buat pun, kita hendak buat juga.

Mudah cerita, kita hendak buat semua perkara.

Ada banyak isu dan masalah yang perlu difokuskan di dalam masyarakat. Pastilah sebuah pertubuhan, parti politik, kumpulan atau syarikat itu, biar sebesar apapun jangkauannya, ia pasti tidak mampu melakukan semua perkara secara berfokus di dalam masyarakat untuk dilakukan di bawah namanya.

Maka, sebab itulah pentingnya kepelbagaian ini wujud untuk membantu menampung ketidakmampuan ini.

Namun, bagaimana sepatutnya kepelbagaian ini berlangsung?

 

Membenihkan Roh Agama Dalam Menghadapi Kepelbagaian, Bukan Roh Sektarian Yang Memecahbelahkan

Dalam surah Al-Hujurat, sebelum Allah s.w.t. menekankan tentang faedah kepelbagaian ini adalah untuk kita saling mengenali dalam ayat 13, Dia telah menekankan terlebih dahulu kepada kita soal ukhuwah dan adab dalam ayat 1-12.

Saya suka petik salah satu ayat daripada surah Al-Hujurat ini, iaitu ayat 11 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menyindir kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang disindir) lebih baik daripada mereka (yang menyindir)  dan jangan pula perempuan-perempuan (menyindir) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang disindir) lebih baik daripada perempuan (yang menyindir). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk…” [Al-Hujurat : 11]

Adab dan moraliti dalam menghadapi kepelbagaian adalah sesuatu yang amat penting.

Tidak ada masalah untuk berbeza pendapat, berbeza cara berfikir dan cara kita bekerja, tetapi soal adab jangan diabaikan kerana inilah tunjang untuk memelihara suasana kepelbagaian dan perbezaan.

Adab dan moraliti ini pastinya adalah nilai yang datang daripada agama.

Bila kita mengambil agama, khususnya kita yang memilih Islam sebagai cara hidup kita, Islam mendidik kita untuk sentiasa memperbaiki peribadi kita dan bersikap baik dalam hidup kita.

Bila kita mengikut lunas-lunas syariat yang telah diajarkan oleh Islam, sepatutnya ia mampu membenihkan dalam diri kita roh keagamaan, bukan roh sektarian. Kata Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam salah satu bukunya, Aqalliat Ad-Diniah Wal Hillul Islami (Agama Minoriti Dan Penyelesaian Islam Terhadapnya) :

“Roh keagamaan itu selalunya mengumpulkan dan membina, tetapi roh sektarian itu selalunya memecahkan dan menjatuhkan.”

Sektarian itu adalah kita selalu bersikap ingin memenangkan dan mempertahankan kepentingan kumpulan kita dalam menghadapi kepelbagaian meskipun kita salah. Itulah yang seringkali terjadi.

Masalahnya bukan pada kepelbagaian itu, tetapi pada sikap menghadapi kepelbagaian itu.

Adakah kebenaran itu hanya ada pada kumpulan kita saja? Adakah kemahiran dan kemampuan itu hanya dimiliki oleh kumpulan kita saja?

Itu yang menjadi masalah sesetengah orang.

Contoh yang sangat mudah di Malaysia, ada orang mendakwa dia dan kumpulannya membawa perjuangan Islam.

Tidak dapat kita nafikan bahawa Islam itu adalah deen yang benar. Tidak ada masalah apa-apa pada Islam.

Tetapi ada kumpulan muslim yang membawanyalah kadang-kadang menampakkan Islam itu seolah-olah bermasalah. Mereka mendakwa merekalah yang benar dan perlu diikuti. Tetapi akhirnya, bila ada yang menegur dan mengkiritik mereka kerana sikap dan peribadi mereka yang bercanggahan dengan roh Islam, mereka membalas pula dengan dakwaan kononnya ingin menentang Islam ataupun dengan label membawa ajaran yang bercanggahan dengan apa yang diajarkan oleh Islam.

Di manakah roh kebenaran Islam seperti yang didakwakan ketika menghadapi kepelbagaian dan perbezaan pendapat dan cara fikir orang terhadap kita?

Adakah roh kebenaran Islam itu terletak pada tindakan kita yang memberi label ataupun mendakwa orang lain yang cuba menegur kita kerana inginkan kita menjadi lebih baik sebagai cubaan menentang Islam itu sendiri?

Kadangkala, masalah kefahaman terhadap dalil nas Al-Quran dan hadislah menjadi punca segelintir orang mendakwa dirinyalah yang membawa perjuangan Islam yang sebenar, sedangkan mereka sendiri jumud dan sempit dalam membawa Islam. Akhirnya, bila ada teguran dan kritikan datang kepada mereka, mereka bersikap defensif pula dengan mempertahankan kumpulan dan idea mereka yang mungkin sedikit bermasalah itu.

Inilah antara contoh kepelbagaian yang kita hadapi. Sesetengah orang bersikap sektarian dalam hal agama bila mereka mendefinisikan Islam itu sebagai agama yang benar sehingga melayakkan mereka untuk berkata perkara yang tidak baik kepada agama lain, menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

Islam tidak pernah menganjurkan perpecahan dalam masyarakat meskipun berbeza latar belakang agama, cara fikir, cara bekerja dan lain-lain.

 

Masalah Sikaplah Yang Sebenarnya Menampakkan Kepelbagaian Sebagai Satu Masalah

Wacana kepelbagaian adalah satu keindahan dalam masyarakat kita.

Siapa yang melihatnya dari sudut positif, ia akan melihat ini sebagai suatu yang menampung dan melengkapkan.

Kita ini manusia. Tidak lepas dari kelemahan dan kekurangan. Ada kumpulan yang mahir di suatu bidang, ada kumpulan pula yang hebat di satu bidang yang lain. Berbeza-beza kemampuan, cara berfikir dan cara bergerak ini tidak menjadi masalah besar sekiranya ia dihadapi dengan baik.

Ia menjadi masalah besar bila tidak diuruskan dengan baik. Satu kumpulan bersifat ingin menguasai ke atas kumpulan lain. Satu kumpulan bersifat untuk mengaut semua peranan di bawahnya. Satu kumpulan bersikap tidak beradab dan tidak menghormati suasana kepelbagaian.

Itulah yang mengundang masalah sehingga akhirnya orang melihat kepelbagaian itu adalah satu masalah.

Sedangkan, bukan kepelbagaian itu yang bermasalah, bukan perbezaan itu yang bermasalah, tetapi sikap dalam suasana kepelbagaian itulah yang bermasalah.

 

Penutup : Menghargai Kepelbagaian Sebagai Sesuatu Yang Melengkapkan, Bukan Ancaman

Dalam sebuah ucapan Presiden sebuah parti di Indonesia, Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang baru dilantik beberapa hari lepas, Anis Matta,  di sebuah program bertemakan kepemudaan, ia telah mengungkapkan satu visi yang menarik dalam ucapannya iaitu :

“Kita perlu mengembangkan semangat untuk menghargai orang lain. Di samping kita bekerja, ada orang lain yang ikut bekerja bersama kita. Di PKS banyak orang hebat, tetapi di parti lain juga banyak orang hebat. Di PKS banyak reformis, tetapi di kelompok lain juga banyak reformis. Oleh kerana itu, kita mesti keluar dari kandang kita masing-masing untuk kita bertemu dalam lapangan yang luas meneriakkan satu kata yang sama tentang masa depan Indonesia.

Biar dalam lapangan besar itu, kita menggunakan baju kita masing-masing dengan warna yang berbeda-beda tetapi untuk satu kata yang sama. Indonesia !”  [Anis Matta, Panggung Pemuda]

Menarik ucapan ini. Melihat kepelbagaian itu sebagai satu yang melengkapkan, bukan satu ancaman. Meraikan kepelbagaian untuk kita saling menguatkan, bukan untuk kita saling menjatuhkan.

Begitulah sepatutnya kita menghadapi kepelbagaian.

Sebagaimana Allah s.w.t  menekankan dalam ayat 13 surah Al-Hujurat tentang medan kepelbagaian ini adalah untuk kita saling mengenali, maka begitu jugalah kita sepatutnya membenihkan roh itu dalam masyarakat kita.

Kita tidak lengkap, tidak ada masalah. Ada orang lain yang bisa membantu kita.

Kumpulan kita tidak ada semua kemahiran, tidak ada masalah. Ada kumpulan lain yang bisa menampung kita.

Akhirnya, bila kita menerima kepelbagaian ini sebagai suatu yang melengkapkan, kita akan mampu saling belajar dan bertukar pandangan. Kita pun akan mampu mewujudkan satu suasana yang lebih baik dalam masyarakat kita.

Tidak perlu fitnah-memfitnah, jatuh-menjatuhkan.

Bina masyarakat harmoni dengan idea-idea baru. Masyarakat yang bebas dari kepentingan individu-individu atau kumpulan-kumpulan tertentu.

Mengakui kelemahan dan kekurangan itu lebih baik daripada kita terus bongkak dengan kekurangan kita. Biar kekurangan itu diatasi dan ditampung oleh yang lain, tetapi dengan adab dan moral yang baik.

Sebab itulah, sekali lagi saya bertanya adakah kepelbagaian ini satu masalah? Saya katakan tidak. Anda, bagaimana?

Comments (2)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top