Rabu, 22 Mei 2013   |   12 Rejab 1434H   |   41 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Himmah » Himmah : Antara Cintakan Nabi Dan Usaha Untuk Kemenangan Islam

About The Author


Author

Afdholul Rahman bin Che Ani. Lahir pada 3 Oktober 1991. Menetap di Pulau Pinang Pulau Mutiara. Menamatkan pengajian peringkat menengah di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri. Pernah mengendalikan dan melaksanakan program-program motivasi, perkhemahan remaja dan seminar-seminar bersama beberapa badan NGO. Kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Number of Entries : 101

Himmah : Antara Cintakan Nabi Dan Usaha Untuk Kemenangan Islam

 

jejak-langkah-kaki

~ Picture by gentaquran.com

 

Saban tahun, maulid Nabi disambut di pelbagai peringkat sama ada di peringkat kampung, bandar, di peringkat rakyat mahupun kerajaan mahupun di peringkat antarabangsa sekalipun. Saya tidak ingin membahaskan tentang tarikh dan hukum berkaitan dengan maulid Nabi kerana ini telah pun disentuh oleh sahabat saya, Al-Fadhil Ustaz Mukhlis Nasri dalam artikelnya.

Cuma setelah sekian lama menyambutnya, bertahun-tahun kita menyambutnya, berarak dan melakukan pelbagai perkara sebagai tanda menzahirkan kecintaan kepada baginda s.a.w., kita perlu jujur bertanya kepada diri dan masyarakat kita, di manakah kedudukan Islam di dalam masyarakat kita sekarang?

Kedudukan Islam yang saya maksudkan di sini bukanlah sekadar syiar-syiar yang memang jelas kelihatan di mata seperti pembinaan masjid, Al-Quran dan kalimah Allah. Bukan juga sekadar berkaitan dengan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, haji, puasa mahupun berkaitan dengan hukum ke atas manusia seperti hudud, taazir dan qisos.

Bukan hanya sekadar itu. Lalu, apa?

Lebih luas daripada itu. Sudahkah Islam itu menjadi cara hidup di dalam masyarakat kita? Apakah Islam itu difahami secara menyeluruh sebagaimana yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w. satu ketika dulu? Bagaimanakah akhlak dan kefahaman terhadap Islam dalam masyarakat kita?

 

Kita Kagum Dengan Perjuangan Baginda

Kita tidak menafikan bahawa ummat Islam ini, semuanya mencintai Nabi s.a.w. Bila diungkapkan saja nama Nabi s.a.w., terus timbul rasa kekaguman dalam diri pada usaha dan jasa Nabi s.a.w. terhadap ummat ini. Ada yang bahkan tidak tertahan air matanya, terus mengalir bila diungkapkan sirah-sirah perjuangan baginda s.a.w.

Ya, bagaimana mungkin kita tidak kagum pada susuk tubuh yang pernah dilempar perut unta yang busuk ke belakang badannya kala ia sedang solat di depan Kaabah, susuk tubuh yang tercedera di medan Uhud kala bertempur mempertahankan maruah Islam, susuk tubuh yang sanggup berlapar dan hidup sederhana demi menyampaikan Islam ini kepada ummatnya. Bagaimana mungkin kita tidak kagum?

Perjuangannya sangat hebat. Sebab itulah Allah berfirman dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya pada diri Rasul itu ada contoh yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (rahmat) Allah dan hari akhirat.”[Al-Ahzab : 21]

Tetapi, kekaguman dan pujian saja tidak mencukupi. Kekaguman dan pujian ini jika tidak dituruti dengan usaha untuk mengikuti apa yang telah Nabi s.a.w. tinggalkan untuk kita, maka ia hanya tinggal bermakna untuk diri kita, tetapi tidak bermakna untuk ummat.

Ramai orang boleh berceramah dan bersyair memuji Nabi s.a.w., tetapi berapa ramai pulakah yang bersedia menuruti sunnah perjuangan baginda di atas jalan kesusahan dan kepayahan itu?

Ramai orang yang berzikir, kuat beribadah kerana ingin mengikuti Rasul s.a.w., tetapi berapa ramai pula yang menggunakan bekalan ibadahnya itu untuk turun ke medan perjuangan menyampaikan Islam, menghadapi kesulitan sebagaimana yang telah dihadapi oleh Rasul s.a.w.?

Ramai pula orang yang solat, tetapi kadang-kadang di luar solatnya dia menyokong sistem kezaliman dan kemungkaran.

Ramai juga orang yang berzikir dan berselawat di dalam masjid, tetapi di luarnya dia memaki hamun, mencemuh dan mengeji manusia.

Kita kagum kepada Nabi s.a.w., berarak saban tahun memuji dan berselawat ke atas Nabi, akhirnya, ke manakah kita akan membawa kekaguman kita ini?

Adakah kekaguman ini hanya bermula di hari sambutan dan akan berakhir di hari yang sama juga? Adakah kekaguman ini hanyalah hiasan di mulut kita saja dan usai berkata-kata tentang Nabi, kita bisa berkata apa saja termasuk mencaci maki dan berdusta?

 

Cintakan Nabi, Ambillah Islam Secara Keseluruhan

Kekaguman ini, kecintaan ini hanya akan menjadi bermakna bila kita menuruti sunnah perjuangan baginda. Apakah sunnah perjuangan baginda yang terbesar?

Mengambil dan membumikan Islam secara keseluruhan dalam hidup. Itulah kemenangan yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w. dalam diri para sahabat dan menjadi contoh kepada masyarakat dunia ketika itu.

Itulah sunnah terbesar yang perlu kita ikuti. Rasul s.a.w. tidak datang hanya semata-mata untuk mengajar kita cara berpakaian atau jenis pakaian mana paling baik, tidak hanya semata-mata diutuskan untuk mendidik kita cara berpolitik, tidak juga semata-mata diutuskan untuk mendidik kita supaya hanya menjadi abid atau rahib 24 jam dalam kehidupan kita.

Tetapi Rasul s.a.w. datang untuk mendidik manusia supaya mengambil Islam dalam keseluruhan hidupnya. Namun, sayangnya kita yang menginginkan kemenangan Islam ini, mengambil Islam di satu sudut dan meninggalkannya pula di satu sudut yang lain.

Islam itu tidak hanya ada dalam cara berpakaian kita, tetapi ia juga wujud dalam akhlak dan peribadi kita. Islam itu tidak hanya ada dalam ibadah dan zikir kita, tetapi ia juga wujud dalam cara kita berpolitik dan menguruskan ekonomi negara. Islam itu tidak hanya ada dalam bentuk syiar-syiar yang tertentu seperti masjid, Al-Quran dan sebagainya itu, tetapi ia wujud juga dalam kesungguhan usaha dan disiplin menguruskan kehidupan.

Ada orang hari ini yang mengambil aspek-aspek tertentu sahaja daripada Islam. Baginya, itu sahajalah Islam. Itu sahajalah yang dididik Islam.

Ada orang yang memfokuskan pada aspek pembersihan jiwa dan ibadah, baginya itulah saja yang dididik oleh Islam. Ia tidak memberi perhatian dan tidak melibatkan diri dalam usaha-usaha pentadbiran, politik dan ekonomi. Baginya, Islam ini cukup dengan pembersihan jiwa dan kita pasti akan menemui kemenangan yang dijanjikan itu nanti.

Ada pula yang memfokuskan pada bidang politik sahaja. Baginya, itulah cara termudah untuk mendidik masyarakat dengan Islam. Setelah diambil alih kuasa, mudahlah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Itulh tafsiran kemenangan padanya.

Tetapi adakah semudah itu?

Kalau semudah itu, maka Rasul s.a.w. tidak perlu bersusah-payah mengusahakan pendidikan untuk masyarakat dari bawah ketika berada di Makkah. Bukan baginda tidak ada peluang untuk menjadi pemimpin politik, bahkan baginda sudah ditawarkan pun oleh pembesar-pembesar Quraisy, tetapi baginda menolak. Bukan itu yang menjadi tujuan utama baginda.

Baginda juga tidak memfokuskan hanya pada duduk berzikir dan beribadah di dalam masjid semata-mata, bahkan baginda merealisasikan kesungguhan baginda dalam usaha berpolitik dan memelihara ekonomi masyarakat Islam waktu itu. Itu adalah contoh yang ada pada peribadi Rasul s.a.w., bahawa Islam itu syumul (menyeluruh) meliputi semua aspek kehidupan.

 

Tidak Cukup Bermain Kata, Perlu Penuhi Syarat Usaha

Islam memang syamil (sempurna), kamil (lengkap) dan mutakamil (melengkapkan).

Tetapi melaungkan slogan saja tidak akan pernah mencukupi. Begitulah juga, sebagaimana kita melaungkan slogan mencintai Nabi s.a.w., itu saja tidak akan pernah mencukupi.

Selain berkata-kata, bergeraklah membumikan usaha.

Usahalah untuk memahami Islam ini dengan baik dan realisasikanlah ia dalam akhlak kita, peribadi kita, kata-kata kita, disiplin dan kesungguhan kita.

Ramai orang yang inginkan kemenangan, tetapi disangkanya dengan hanya berkata-kata dan melaungkan slogan sudah akan membawanya dekat kepada kemenangan.

Allah akan membantu ummat ini namun bukanlah secara ajaib, tetapi melalui usaha.

Berusahalah untuk memahami Islam dengan baik. Berusahalah untuk mendalami Al-Quran dan hadis kerana itulah sumber utama yang menjadi panduan kehidupan seorang muslim. Berusahalah untuk berinteraksi dengan cara yang baik dengan semua pihak tidak kiralah sama ada yang berbeza agama, berbeza cara fikir dan latar belakang politik.

Berusahalah memperbaiki akhlak dan peribadi kita kerana itu adalah cermin yang paling ketara terhadap Islam. Nabi s.a.w. datang membawa contoh peribadi dengan akhlak yang unggul, bagaimana mungkin kita yang mengatakan kita cinta kepada baginda berakhlak dengan akhlak yang buruk pula?

Berusahalah juga untuk memperbaiki kesungguhan dan keseriusan kita dalam menjaga ibadah, disiplin menuntut ilmu, membaca, berfikir dan berdakwah.

 

Penutup : Penuhi Syarat Dan Bergeraklah Menuju Kemenangan !

Mari perbaiki kehidupan kita, kehidupan masyarakat dan ummat kita.

Maulid Nabi bukan sekadar untuk disambut dengan melafazkan kecintaan di mulut, tetapi ia harus dibuktikan dalam usaha kita.

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita leka berada di atas katil-katil keselesaaan dan kesenangan sehingga melalaikan kita dari tugas-tugas untuk beribadah, memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri kita sebagai seorang muslim?

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita biarkan diri kita dihanyutkan oleh arus nafsu sehingga membuatkan kita seringkali tertipu dengan dunia dan selalu berharap pada kepentingan-kepentingan duniawi serta melupakan masa depan kita di akhirat?

Mari perbaiki cara kita mencintai Nabi s.a.w.

Cinta Nabi s.a.w. harus disertai dengan kesanggupan, kesungguhan dan keseriusan kita untuk memahami Islam dan menyampaikannya pula kepada masyarakat.

Inilah cinta yang sebenar. Ini jugalah cinta yang telah menautkan generasi awal. Mereka tidak hanya sekadar menerima Islam untuk diri mereka sahaja menjadi soleh, tetapi mereka berusaha pula dengan penuh kesungguhan untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Ummat yang memahami Islam ini semakin lama semakin membesar dan bertaut pula di atas keimanan kepada Allah. Akhirnya, setelah syarat-syarat kemenangan itu mereka penuhi, maka tidak ada apa lagi yang tinggal ketika itu melainkan, kemenangan itu milik Islam !

Comments (2)

  • ATIQAH

    Asalamualaikum….alhamdulillah…ana suka pada artikel ni….tapi ana nak tambah sedikit,antara sunah yang paling besar yang ramai manusia tak sedar dan tak tahu adalah Usaha dakwah cara nabi,hakikat dan realiti hari ini mmg ramai yg buat dakwah dgn bermacam2 cara,melalui media,laman sosial,buku,blog dan sabagainya.Tetapi ramai yang tidak sedar apakah yang di katakan usaha dakwah cara nabi? Usaha dakwah cara nabi ialah dengan pergi jumpa manusia dari rumah ke rumah,lorong ke lorong jumpa ummat ikut seperti mana dakwah yang nabi lakukan,di situlah kejayaan sebenar,cara lain seperti menggunakan media sosial,buku,artikel hanyalah sampingan dan belum mencapai erti kata sebenar seperti mana yang dituntut dalam sunnah baginda dalam buat usaha dakwah.Da’wah tulang belakang Agama.Hanya dengan cara nabi ada kejayaan.

    Reply
    • Afdholul Rahman

      Afdholul Rahman

      Ya, usaha dakwah itu pelbagai. Kraetiviti kitalah yang mencorakkannya. Ia tidak terhad pada satu bentuk. Benar, tanpa menafikan keperluan untuk bertemu dan berinteraki secara langsung dengan manusia ketika berdakwah, kita juga bisa melakukan cara-cara lain.

      Setiap zaman itu memiliki cirinya tersendiri, maka kita bergerak seiring dengan zaman tanpa meninggalkan Islam sebagai asas dan akar kepada gerakan itu.

      Reply

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top