Kehidupan: Birthday Rasulullah, kita, dan ajaran baginda.
Maulid Nabi.
Kebiasaan di Malaysia, akan ada perarakan, program-program mengingatkan ummah semula kepada Rasulullah SAW, akan ada banyak ceramah fasal maulidur rasul, dan pelbagai lagi. Jika di Jordan, maulidur rasul tidak semeriah di Malaysia dari segi program-program, perarakan dan sebagainya. Namun di Jordan, tidak perlu menanti maulidur rasul, kerana Rasulullah SAW itu seakan-akan sebati dengan majlis-majlis ilmu, suasana ilmiah, yang berjalan sepanjang hari di sana. Kadang, orang-orang Arab ini apabila bergaduh, dan dilaungkan kepada mereka – Sollu ‘Alan Nabiy! – mereka akan berhenti, bertenang, menghormati selawat ke atas Rasul SAW. Suasana yang susah hendak kita temui di Malaysia, walaupun saban tahun menyambut Maulidur Rasul dengan meriah.
Bid’ah kah menyambut Maulidur Rasul?
Saban RabiulAwwal, akan berlaku perbahasan, apakah bid’ah menyambut Maulidur Rasul?
Sebuah negara arab, saya tidak mahu sebut negara mana, para ulama’nya tegas menyatakan bahawa menyambut Maulidur Rasul adalah haram. Sampai kenyataan itu dikeluarkan pada muka hadapan akhbar. Namun, sekitar sebulan kemudian, tiba hari lahir Raja negara arab tersebut. Para ulama’ yang menyatakan bahawa menyambut Maulidur Rasul itu adalah haram kerana bid’ah, sibuk menggalakkan rakyat negara tersebut agar menyambut hari lahir Raja dengan sebab menunjukkan rasa cinta dan berterima kasih kepada amir yang menjaga negara selama ini. Situasi yang menyedihkan pada saya.
Penjelasan mudah – Memang Rasulullah SAW, dan para sahabat tidak menyambut maulidur rasul. Kerana saya tidak nampak keperluan mereka menyambutnya. Zaman mereka bersih, dekat dengan Rasul, sahabat-sahabat masih hidup, dan jahiliyyah juga tidak hebat merosakkan komuniti ummat Islam yang gagah ketika itu. Tetapi hari ini, ummat mula lemah, dan masyarakat mula rosak. Jahiliyyah ada di internet, televisyen, radio bahkan di taman-taman. Idola-idola lain dimunculkan dari Korea, Jepun, Hollywood, Hong Kong bahkan di Malaysia sendiri. Maka di mana salahnya kita jadikan bulan kelahiran baginda sebagai checkpoint agar Ummat cakna, peka, sensitif dengan Rasulullah SAW, dan ajaran baginda?
Namun saya setuju adalah salah jika kita ada-adakan ibadah khusus untuk Maulidur Rasul seperti puasa maulidur Rasul, zikir khas maulidur Rasul, dan sebagainya yang jelas menambah-nambah dalam agama. Namun buat program kebaikan yang bersih dari unsur pemujaan dan penambahan ibadat baru, maka di mana salahnya?
Birthday Rasulullah SAW, Kita dan Ajaran Baginda.
Namun apa yang menyedihkan adalah apabila kita bagai nak rak menyambut birthday Rasulullah SAW dengan pelbagai acara, tetapi pempraktisan ajaran baginda Rasulullah SAW itu tidak kita laksanakan pun dalam kehidupan kita. Kadangkala, maulidur Rasul itu kita layan seperti adat turun temurun. 12 RabiulAwwal, cuti, program Rasul. Masuk Bulan RabiulAwwal, mesti sebut fasal Rasulullah SAW. Habis sahaja bulan RabiulAwwal, Rasulullah SAW pun habis. Ini adalah penyakit.
Kita bukannya menyambut Maulidur Rasul untuk mengingati baginda pada hari tertentu, pada bulan tertentu semata-mata. Namun kita mahu menjadikan Maulidur Rasul sebagai checkpoint, agar kita boleh terus menerus mencintai baginda untuk hari-hari seterusnya, sambil menyebar luas ajaran baginda.
Tetapi apakah itu yang kita usahakan?
Cara sambutan Maulidur Rasul itu sendiri perlu kita perhatikan. Kita perlu pastikan bahawa program Maulidur Rasul kita adalah program yang mampu memberikan impak maksima kepada ummah dan masyarakat. Seakan-akan Rabiul Awwal adalah bulan kemuncak dalam kita hendak mempromosikan Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil alamin dan ajaran baginda.
Bukan pemujaan kepada batang tubuh Rasulullah SAW itu yang perlu difokuskan. Tetapi hakikatnya apa yang perlu kita fokuskan adalah sikap kita terhadap ajaran baginda, dan bagaimana ajaran baginda itu hendak diterapkan dalam kehidupan kita. Itu yang sepatutnya menjadi fokus.
Rasulullah SAW dan Kita.
Jika kita mengkaji sejarah dan Sirah Nabawiyyah, kita akan mengetahui bahawa tiada tarikh yang tepat untuk hari lahir baginda. Cuma disepakati adalah Rasulullah SAW lahir pada Bulan RabiulAwwal, hari Isnin. Manakala tarikh secara tepat, tidak diketahui. Ada yang mengatakan 2hb RabiulAwwal, ada yang mengatakan 8hb, ada yang mengatakan 12hb, ada juga yang mengatakan 22hb.
Jelasnya, atas khilaf ini, kita dapat melihat 2 perkara.
1 – Jelas baginda tidak menyambut tarikh lahir baginda. Jika baginda sambut, sudah pasti tiada khilaf.
2 – Yang mengawal ilmu adalah Allah SWT. Jelas, Allah SWT sendiri merahsiakan tarikh lahir baginda secara tepat daripada kita.
Persoalannya, mengapa?
Jawapan saya: Kerana fokus Islam bukanlah pemujaan kepada individu. Kita kasih dengan Rasulullah SAW, namun kita bukan memuja baginda. Kita kasihkan Rasulullah SAW bersebab. Kerana Allah kasihkan baginda. Itu sebabnya. Fokus Islam adalah pada ajarannya, pada ketundukan kita kepada Allah SWT, pada kita mengimarahkan bumi ini agar tunduk kepada perintahNya. Bukannya mengangkat satu individu, dan memuja-mujanya. Bukan.
Kerana itu, Maulidur Rasul, jika mahu diadakan, hendaklah diadakan selari dengan fokus sebenar Islam ini. Kita menyelak Sirah Rasulullah SAW, bukan untuk menjadi pemuja Rasulullah SAW. Namun untuk belajar daripada baginda, bagaimana hendak meneruskan perjuangan baginda di atas muka bumi ini. Penerusan perjuangan Islam itu adalah fokus sebenar.
Maka jangan rasa sudah menjalankan tugas kita dengan sekadar berarak keliling kampung, buat majlis peringatan terhadap Rasulullah SAW, buat majlis selawat dan sebagainya dalam Bulan Rabiul Awwal sempena Maulidur Rasul ini. Ini hanya checkpoint sahaja.
Fokus sebenar adalah pada penerusan perjuangan baginda, penyebaran Islam untuk dijadikan sebagai ustaziatul alam(mahaguru alam).
Kita sambut Maulidur Rasul, buat pelbagai majlis agar orang ramai kembali kepada ‘track’ yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Namun jika kita sambut Maulidur Rasul sekadar untuk mengangkat dan memuja seorang manusia bernama Muhammad, maka itu nyata Rasulullah SAW pun tidak ajar. Jika baginda ajar, pastinya baginda yang akan anjurkan agar orang sambut birthday baginda saban tahun.
Penutup: Makna Sebenar Mencintai Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna keimanan seseorang dari kalangan kamu selagi mana aku ini tidak dicintai olehnya melebihi anak-anaknya, ibu bapanya, dan seluruh manusia di atas dunia.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka apakah makna cinta kepada Rasulullah SAW?
Ketika Rasulullah SAW wafat, para sahabat gempar dan merasakan dunia seakan-akan telah tamat. Umar RA mengembarkan pedang di tengah jalan, dan melaung: “Barangsiapa yang mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat, maka akan aku cantas kepalanya!” Dan ada beberapa para sahabat yang menutup pintu, bermuram durja, sedih teramat sangat dengan pemergian baginda.
Namun Abu Bakr RA ketika itu, menghentikan tangisannya dan berkata: “Wahai Rasulullah SAW, andai air mata ini ada gunanya buat dikau, maka aku akan menangis hingga kering.” Kemudian dia keluar menenangkan ummat, dan melaung: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” Surah Ali Imran ayat 144.
Kemudian Abu Bakr dipilih menyandang jawatan Khalifah yang pertama, seterusnya bergerak memperkasakan kerajaan Islam ketika itu, dan menyebarkannya.
Itulah dia cinta yang tertinggi. Meneruskan perjuangan Rasulullah SAW. Bukan mudah, apabila orang yang sangat kita cinta, hormati, sayangi, mati. Banyak gerakan di dunia ini, apabila mati Sang Ketua, runtuhlah kumpulannya. Namun Abu Bakr RA menunjukkan ‘cinta yang sebenar’ antara dia dengan Rasulullah SAW. Dia menunjukkan apa yang Rasulullah SAW mahu pada ummat ini. Itulah dia meneruskan perjuangan baginda. Tidak hairanlah, Rasulullah SAW sangat mengasihi Abu Bakr.
“Sesungguhnya manusia yang paling mententeramkan atas diriku di dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar, dan jikalau aku mengambil seorang kekasih selain Tuhanku, nescaya Abu Bakarlah yang aku ambil sebagai kekasih, namun dia adalah saudaraku dan sahabatku.” Hadith Riwayat Bukhari.
Maka bagaimana kita dengan Rasulullah SAW?
Apa yang kita buat sebagai bukti cinta yang sebenar-benar cinta kepada baginda?

Siti Nurul Athirah Abd Halim
Subhanallah!! Mabruk ats cetusan ilmu yg smpaikan! Ilmu yg padat, pnuh pngertian shgga brjaya menitiskn airmata muhasabah. Alhamdulillah ya Allah ats ilmu pd saat ini. Syukran akhi. Teruskn menulis.
shahirah
tetapi bukankah rasulullah sendiri sentiasa menyambut hari lahir baginda dengan berpuasa setiap hari isnin iaitu hari kelahiran baginda dgn menyambut setiap minggu dgn berpuasa..lillahitaala
Hilal Asyraf
Perlu difahami bahawa hadith tersebut bukanlah hendak menyatakan perihal ‘birthday nabi’, tetapi hadith tersebut hendak menunjukkan fadhilat hari Isnin. Nabi bukan berpuasa kerana Isnin itu birthday dia. Bermakna, Nabi bukannya puasa sebab birthday, tetapi Nabi puasa sebab fadhilat hari Isnin.
Sebab itu, perlu dilihat hadith itu dengan jelas, kerana hadith itu bukan semata-mata menyebut Isnin itu Birthday Nabi, tetapi disebut juga Isnin itu sebagai hari Nabi dibangkitkan, dan hari Nabi terima wahyu pertama. So, nabi puasa sebab nabi sambut hari yang dia dibangkitkan? Nabi sambut hari penerimaan wahyu pertama? Tidak bukan? ^^
Kena faham hadith itu betul2.
MUHAMMAD ADIB BIN AZIZAN .
rasul junjungan mulia..