Umum : Mendepani Kuasa Media Dalam Masyarakat
Idea of media as agenda setter !
~ Picture by portalhunt.com
Media, kenapa menjadi topik perbincangan yang begitu hangat sekali di dalam masyarakat kita?
Kita dapati di Malaysia, media memainkan peranan yang sangat penting dalam mengubah arus pemikiran dan fokus masyarakat.
Mudah saja. Ambillah satu contoh isu, contohnya isu baru-baru ini iaitu Himpunan Kebangkitan Rakyat. Selain dihangatkan melalui media-media di internet seperti akhbar online dan video, sudah tentu media-media utama seperti televisyen dan surat khabar tidak kiralah yang menyebelahi atau tidak menyebelahi mana-mana pihak turut melaporkannya juga.
Tetapi, sudah tentulah bila berbeza tujuan dan kepentingan, maka cara melaporkannya juga turut berbeza. Cara laporan yang berbeza-beza inilah akan menyebabkan penerimaan yang berbeza-beza dalam masyarakat.
Memetik satu kajian daripada Shanto Iyengar dalam bukunya ‘Is Anyone Responsible?’ ketika beliau membuat penilaian terhadap kesan pembawaan berita-berita di televisyen dalam isu-isu politik, beliau mendapati bahawa pembawaan isu melalui berita-berita di dalam televisyen telah membentuk cara faham masyarakat umum terhadap sebab dan solusi kepada masalah-masalah politik yang ada.[1]
Bermakna di sini, boleh jadi media yang menjadi pencipta kepada masalah-masalah yang ada, boleh jadi media jugalah yang menyediakan solusinya.
Kuasa Besar Media Dalam Mencorak Cara Fikir Masyarakat
Kita tidak dapat menafikan lagi betapa besarnya kuasa dan pengaruh media dalam mencorak arus pemikiran masyarakat. Bila ada saja satu isu ditimbulkan oleh media, maka isu itu akan turut diikuti oleh masyarakat sama ada dalam perbincangan mereka, tutur kata mereka, status dan share mereka di Facebook dan sebagainya.
Sebab itu, disebutkan lagi oleh Iyenger bersama rakannya Donald Kinder dalam ‘News That Matters’ :
“Bila televisyen memberi fokus kepada satu masalah, prioriti orang awam pun akan berubah, dan akan berubah lagi sekiranya berita di televisyen berpindah kepada masalah yang baru.”[2]
Kadangkala, isu yang ditimbulkan hanya satu sahaja, tetapi cara olahan yang berbeza menyebabkan sudut pandangnya juga nampak berbeza. Boleh jadi dengan satu olahan isu menyebabkan orang memandang baik pada satu pihak, boleh jadi juga dengan satu lagi olahan isu menyebabkan orang berpandangan buruk terhadap satu pihak.
Media, kalau ia jujur, maka cara berfikir yang benar akan dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat. Tetapi kalau ia menyeleweng dan tidak jujur, maka begitulah juga corak berfikir yang akan wujud dalam masyarakat.
Kerana memikirkan betapa besarnya pengaruh media ini dalam menentukan arus berfikir masyarakat, maka media-media yang ada seharusnya jujur dan amanah dalam membawa apa-apa isu atau tema ke dalam masyarakat.
Melihat realiti media-media yang ada pada hari ini, tidak mudah untuk sesebuah media berdiri sebagai sebuah institusi yang natural atau tidak berbelah kepada mana-mana pihak.
Boleh jadi daripada isu asal yang telah timbul, akhirnya dengan olahan yang berpihak, maka di sebelah A, isu ini nampak sangat berpihak kepada A, di sebelah B pula isu yang sama telah memburukkan pihak A.
Bila media telah menyebelahi mana-mana pihak, maka olahannya terhadap sesuatu isu atau masalah itu juga akan selalu menyebelahi pihak yang didokongnya. Kadangkala, kesilapan dan kesalahan di pihak yang disebelahinya, biar sebesar apapun tetap diusahakan untuk disembunyikan atau dialihkan pula dengan mewujudkan kesalahan baru (yang sebenarnya tidak wujud pun) kepada pihak yang bertentang ideologi atau aliran pemikiran dengannya.
Inilah antara besarnya peranan atau mungkin boleh kita katakan juga risiko sekiranya media itu mengolah isu hanya untuk memenangkan ideologi yang didokongnya. Yang berisikonya adalah nasib dan pemikiran rakyat diperdagangkan dalam ideologi yang rosak.
Itulah risikonya.
Rakyat, Bagaimana Berdepan Dengan Media?
Saya suka untuk berkongsi dengan kita semua berkaitan batu asas yang telah diletakkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran tentang bagaimanakah sikap kita bila berdepan dengan media.
Kerana kita berdepan dengan satu gelombang besar yang tidak dapat ditewaskan hanya melalui kata-kata dan tulisan, maka kita perlu ada asas yang kukuh ketika berdepan dengan media yang pelbagai ini.
Ya, mungkin dahulu belum ada televisyen, belum ada radio, belum ada internet dan sebagainya seperti yang telah wujud pada hari ini. Tetapi inilah yang membuktikan bahawa isi Al-Quran itu sentiasa segar dan bermanfaat untuk manusia sehinggalah akhir zaman.
Allah telah meletakkan batu asas yang cukup berguna untuk memelihara manusia daripada keburukan serta supaya sentiasa berada dalam kebaikan.
Allah berfirman yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu orang-orang fasiq membawa berita, maka selidiklah …” [3]
Ayat ini turun berkaitan dengan peristiwa seorang sahabat Nabi s.a.w., Walid bin Uqbah yang ditugaskan untuk mengutip zakat daripada Bani Mustalik. Hampir sahaja berlaku pertumpahan darah sekiranya utusan Nabi (di dalam sesetengah riwayat mengatakan utusan itu adalah Khalid Al-Walid) yang dihantar semula kepada Bani Mustalik itu tidak menyiasat dahulu apa yang sebenarnya telah berlaku.
Ayat ini sangat signifikan dengan pembawaan media. Media-media yang ada ini, semuanya bertugas menyampaikan berita, informasi dan maklumat kepada rakyat.
Maka, apakah yang perlu kita lakukan bila menerima berita daripada media-media yang ada?
Sayyid Abul A’la Al-Maududi ketika mentafsirkan ayat ini telah menyebut :
“Bila-bila saja kamu menerima berita-berita penting berkaitan dengan satu urusan yang penting, kamu tidak seharusnya terus menerimanya, tetapi pertamanya, kamu harus menyiasat siapakah yang membawanya? Kalau yang membawanya itu adalah orang yang jahat yang sememangnya laporannya selalu tidak autentik, kamu sepatutnya selidik dengan berhati-hati dahulu untuk memastikan kebenaran di samping kamu boleh menerima dan bersedia untuk terus bertindak ke atas berita itu.” [4]
Siasat dan memastikan kebenaran, itulah yang sepatutnya kita lakukan bila berdepan dengan media-media yang pelbagai ini.
Bukan terus-terus sahaja menerimanya secara membabi buta yang boleh menyebabkan kita jatuh ke dalam kesilapan dan fitnah.
Penutup : Media Sepatutnya Menjadi Alat Mendidik, Bukan Diperalatkan Untuk Memperalatkan Rakyat Pula
Mana-mana media pun jika dipergunakan untuk kepentingan sebelah pihak, pastilah ia akan menjadi lidah rasmi pihak itu. Bila bertindak sebagai lidah rasmi, maka segala laporan, berita, isu yang dibawa juga sudah pastilah akan menyebelahi pihak yang didokongnya itu.
Kalau ada kesilapan atau kesalahan yang berkaitan dengan hak umum masyarakat, seboleh mungkin kesilapan itu cuba untuk diputarbelitkan atau disembunyikan agar kesilapan itu tidak dilihat berada di pihaknya.
Kalau media itu adalah media yang jujur dan amanah, maka ia akan menjauhi penyelewengan dan budaya berkompromi dalam kerosakan dan kefasadan kerana itu adalah sangat dibenci oleh Allah s.w.t.
Media sepatutnya bertindak sebagai alat untuk mendidik masyarakat. Media memainkan peranan penting dalam membangunkan cara fikir masyarakat, sama ada mahu membentuk cara fikir yang baik dan bersih ataupun cara fikir yang kotor dan rosak.
Media tidak sepatutnya diperalatkan untuk memperalatkan pula rakyat supaya berfikir dengan cara yang salah. Kesannya nanti akan membawa kepada pembodohan ke dalam masyarakat terutamanya masyarakat-masyarakat terpencil di desa dan kampung yang mungkin sebahagian besarnya masih belum mempunyai akses ke internet.
Ini adalah sebahagian perkongsian saya berkaitan media. Akan berusaha disambung lagi dalam post yang lain berkaitan dengan adab-adab serta penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh media.
Media sepatutnya bertindak sebagai alat untuk mendidik masyarakat, bukanlah alat untuk merosakkan masyarakat.



fauze
Media malaysia perlukan penambahbaikan yg sgt besar!
Afdholul Rahman
Ya.
Ana Isna
Media perlu adil dalam memberi informasi. kerana itu media tidak boleh dipegang oleh pihak tertentu agar mereka dapat menentukan sikap.
Afdholul Rahman
Itulah masalah yang perlu dirawat. Tetapi tanpa menafikan bahawa setiap kumpulan juga mungkin perlukan medianya yang tersendiri, media massa umum untuk masyarakat perlulah bebas daripada campur tangan apa-apa kepentingan yang bersifat politik partisan dsbg. Syukran.
Nabieyl
terima kasih atas perkongsian..
Afdholul Rahman
Sama-sama.
abc
thx 4 sharing ya~~
Afdholul Rahman
Sama-sama.
muhsin
media itu jauh lebih besar dari mencari untung dunia~
Afdholul Rahman
Ya. Untung akhirat itu yang lebih utama. Sebab itu media perlu jujur dan amanah.
Sammi
ialah, untungnya…