Ahad, 26 Mei 2013   |   16 Rejab 1434H   |   15 Pembaca Online   |   Salam, guest!  Login or Register
You Are Here: Home » Sisters » Sisters: Sambal tumis atau goreng berlada?

About The Author


I studied Literature in English for almost four years. I believe my artistic bend led me to pursue in this field through various medium including writing, and this flourishing passion seek to discover new perspectives, new aims to not only earn and learn, yet serve and share the knowledge and experience for a better understanding of becoming a true Muslim and Mukmin.

Number of Entries : 24

Sisters: Sambal tumis atau goreng berlada?

 

 

“Barallahulakuma, wa baraka Alaikuma, Wajama’a bainakuma fii khair”

Ucapan ini saya terima pada penghujung tahun lalu tanggal 22 Disember 2012 dan hingga kini setelah hampir tiga minggu melayari bahtera rumah tangga, ucapan itu sentiasa bermain-main di kotak fikiran sementelah masih ramai yang datang mendoakan dan mengucapkan moga keberkatan dan kebahagiaan sentiasa mewarnai masjid yang baru dibina ini. Amin amin ya Allah. Alhamdulillah segalanya telah selesai dan majlis berjalan dengan lancar penuh kesederhanaan beserta seribu satu harapan, doa dan kasih sayang dari seluruh insan yang terlibat.

Maaf andai perkahwinan ini tidak diwar-warkan secara langsung di Langit Ilahi. Bagi mereka yang tahu dan berkesempatan hadir, jazakumullah khairan kathira saya dan zauj ucapkan. Bagi yang baru mengetahui, doakan kami agar masjid yang dibina ini di bawah lembayung redha dan barakah dariNya.

Permulaan

Saya bagaikan dilahirkan semula pabila sah diri ini dinikahkan dan diserahkan kepada seorang lelaki bernama suami. Masih ingat saat ijab dan kabul yang disempurnakan oleh abah. Ummi menangis usai amanah diserahkan kepada menantunya. Terkesima saat itu mengenangkan tumpahnya air mata ummi menyerahkan anak perempuan sulungnya untuk menjalani kehidupan sendiri. Setelah itu, segalanya yang perlu saya dahulukan ialah si suami. Dan ini bagi saya bagaikan lahir dalam kehidupan yang baru.

Hadirnya seorang suami, Allah kurniakan pakej lengkap ibu dan ayah mertua. Bertambah juga bilangan adik-adik saya. Perhatian dan kasih sayang saya juga perlu dibahagikan. Saya diterima dengan baik oleh keluarga besar suami. Sehubungan dengan itu juga, saya perlu belajar merendah diri menerima dengan hati terbuka keluarga suami.

Dunia kita berbeza

Dalam tempoh singkat menjalani kehidupan baru sebagai seorang isteri, saya lihat terlalu banyak jurang perbezaan antara saya dan suami. Begitu juga dengan kehidupan keluarga saya dan keluarga suami. Minat, kecenderungan hinggalah kepada teknik memasak juga terlalu banyak jurang bezanya yang perlu saya amati, fahami dan cuba laksanakan.

Usai majlis kenduri di sebelah suami, kami tinggal hampir seminggu lebih di rumah mertua. Di kesempatan itu, suami tidak putus-putus menyarankan agar saya belajar memasak dengan ibunya. Belajar selok belok pengurusan rumah tangga dengan ayahnya dan juga belajar memahami kerenah adik-adiknya. Saya kira didikan yang saya terima dari ummi dan abah sudah cukup lengkap dan sempurna untuk mempersiapkan diri saya menjadi seorang isteri yang baik buat suami dan menantu yang baik pada ibu bapanya. Hakikatnya, saya ibarat melangkah ke dunia yang lain. Perlu belajar segalanya dari kosong. Perlu menerima ilmu dan teknik baru dengan penuh lapang dada.

Suami sangat gemar ikan bilis goreng berlada. Dalam tempoh pertunangan yang lalu bakal ibu mertua pernah mengkhabarkan perihal ini dan adiknya juga pernah menasihatkan saya supaya belajar memasak masakan ini. Masakan ini sebenarnya tak jauh bezanya dengan masakan sambal tumis yang biasa ummi ajarkan. Maka saya kira sudah cukup mahir dengan masakan ini. Hanya perlu dikekalkan teknik dan rasa. Rencah dan bahannya sudah saya hadam dan ingat.

Setelah berkahwin, suami berhajatkan ikan bilis goreng berlada. Saya masak cara saya, teknik yang ummi ajar, kebiasaan yang saya lakukan bila memasak sambal tumis. Sambal tumis saya berkuah dan ikan bilisnya tidak terlalu garing. Bila suami makan, ada raut tidak puas di wajahnya. Dengan penuh kelembutan suami menyarankan saya belajar dari ibunya ikan bilis goreng berlada kegemarannya. Baru saya tahu cara saya tidak menepati cita rasanya. Teknik saya jauh berbeza dengan cara ibunya. Sambalnya kering dan kurang berminyak. Ikan bilisnya pula garing dan bila disimpan dan dihangatkan semula masih terasa garingnya.

 

ikan bilis goreng berlada yang dimasak oleh saya buat suami, moga Allah redha ~gambar dari fb suami~

Merendah diri dan berlapang dada

Dalam tempoh yang singkat ini dan masih bertatih belajar menjadi seorang isteri, saya perlu banyak belajar merendah diri dan berlapang dada. Jika sebelum ini, saya berangan-angan ingin membuat itu, berimpian ingin buat ini dalam kehidupan rumah tangga saya, kini pabila berada dan melalui sendiri barulah saya tahu semua ini bukan hanya sekadar tergantung pada angan-angan dan impian. Saya sekarang dalam fasa perlaksanaan dan sungguh bukan semudah angan-angan atau sekadar memasang impian.

Perbezaan yang wujud membuktikan bahawa kami disatukan adalah untuk saling melengkapi. Kurang atau lebih itu sebagai rencah dan warna dalam rumah tangga untuk kami hayati, nikmati, fahami dan pelajari antara satu sama lain. Lengkap keduanya ialah apabila wujudnya persefahaman dan penerimaan. Memang  melaksanakan tidak semudah ungkapan. Bak kata suami dalam tazkirah pendek selepas menjamah hidangan masakan pertama hasil air tangan isterinya, ” 24 tahun kita hidup dalam dua dunia yang berbeza. Dengan sekali lafaz, kita sah menjadi suami isteri dan dari saat itu kehidupan 24 tahun yang lalu akan melalui corak yang berbeza. Suami perlu belajar kehidupan isteri. Dan isteri perlu belajar kehidupan suami. Untuk berubah dalam masa yang singkat tidak mudah. Tapi belajar, faham dan bergerak untuk sentiasa meningkatkan diri itu lebih baik dari tergesa-gesa mencapai kesempurnaan.”

Jika dahulu saya fikir saya boleh membahagikan masa untuk memastikan rumah tersusun rapi, makan pakai suami terjaga dan kepentingan suami terpelihara. Pabila melalui sendiri, baru terasa semput dan lelahnya. Sebahagian diri saya sudah menjadi hak dan milik suami. Begitu juga dengan masa dan kehidupan saya.

Selalu apabila melihat saya kepenatan, suami datang dengan kelembutan memberi kata peransang, “ini semua pahala buat sayang”. Ya Allah, mendengarkan itu bergetar jiwa saya. Betapa semua yang dilakukan ini jika hadir taat dan ikhlas, suami pula redha dan bahagia, akan Allah anugerahkan pahala dan rezeki yang tidak disangka-sangka. Apa lagi yang ingin saya minta selain redha suami dan redha Allah?

Penutup: Medan mengutip pahala buat wanita

Ramai yang tanya apa perasaan setelah berumah tangga? Saya pasti rakan-rakan pembaca yang lain pernah juga berhadapan dengan soalan begini. Jawapan saya pabila disoal hanya satu, “Saya tenang setenangnya.” Rumah tangga ini adalah ketenangan utama yang ingin saya capai dalam menghadapi kehidupan yang lainnya. Kehidupan sebagai seorang pelajar dan pekerja. Rumah tangga ini juga adalah medan mengutip pahala buat wanita. Setiap amal yang kita lakukan buat suami kita, penuh kesabaran dan ketaatan akan Allah ganjarkan dengan nilai pahala yang tak terhingga. Mari kita muhasabah dengan ayat Allah ini dari surah An-Nisa’:34:

“Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (istri), karena Allah telaj melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan karena mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dari hartanya. Maka perempuan-perempuan yang soleh, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, karena Allah telah menjaga (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan akan nusyuz, hendaklah kamu beri nasihat kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidur (pisah ranjang), dan (kalau perlu) pukullah mereka. Tetapi jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari alasan untuk menyusahkannya. Sungguh Allah Maha Tinggi, Maha Besar”

Mudahan Allah redha dengan baitul muslim yang dibina ini.


Comments (15)

Leave a Comment

Copyright © 2012-2013 LangitIlahi.com. All rights reserved. LangitIlahi.com (LI) are registered trademark of LangitIman Resource

Scroll to top